Kenali PM di Facebook

Laman Facebook rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bukan sahaja berperanan sebagai platform untuk rakyat menyuarakan pandangan bahkan memberi peluang kepada semua pihak mengenali pemimpin nombor satu negara itu secara mendalam.

Hanya dengan klik ke alamat www.facebook.com/najibrazak, pengunjung boleh berkongsi maklumat peribadi Perdana Menteri yang jarang diketahui oleh masyarakat.

Dalam laman sosial itu, beliau mendedahkan pelbagai aktiviti yang dilakukan daripada menghadiri mesyuarat dan bekerja sehinggalah menonton perlawanan bola sepak membabitkan pasukan kegemarannya Manchester United, makan ikan patin dan mengunjungi kedai buku.

Antara aktiviti beliau yang dipaparkan untuk tatapan pengunjung:

“Keluarga saya, membaca di Hatchards, London – sebuah kedai buku paling tua di United Kingdom (UK), bola sepak dan kemahiran Cristiano Ronaldo, golf dan Tiger Woods, menjamu selera di Lafite and Shook, bertemu orang baru, fotografi, berjalan dalam hutan dan kapal terbang.”

Dengan pengunjung laman Facebook, Najib turut berkongsi minatnya terhadap penyanyi dan muzik pilihan beliau seperti Ronan Keating - When You Say Nothing At All; Harry Belafonte - Jamaica Farewell dan Ben E. King - Save The Last Dance.

Najib turut menamakan filem-filem yang menjadi pilihannya iaitu Gladiator, A Few Good Men dan yang menampilkan aktor Denzel Washington termasuklah Deja Vu.

Saluran televisyen kegemaran beliau pula adalah CNN, History Channel, Discovery Channel dan National Geographic.

Perdana Menteri turut berkongsi dua petikan oleh Colin Powell yang menjadi kegemarannya iaitu “ambil serius mengenai kerja anda tapi jangan terlalu serius dengan diri anda” serta “jangan tergesa-gesa bertindak terhadap sesuatu perkara, ia kebiasaannya dilihat lebih baik pada hari berikutnya.”

Mengenai dirinya, Najib menulis: “Kehidupan saya sangat sibuk tetapi saya sukakannya. Pada masa lapang saya fokus kepada makan tengah hari bersama keluarga pada hari Ahad, menonton televisyen bersama anak-anak dan bercuti.

“Paling banyak mempengaruhi saya ialah arwah ayah saya, Allahyarham Tun Abdul Razak. Tetapi saya mengagumi kemahiran pidato dan sikap tidak mudah mengalah Sir Winston Churchill, Nelson Mandela kerana pengorbanan beliau dan tidak pernah gentar dengan kesusahan dan John F. Kennedy.”

Sementara itu dalam laman blog www.1malaysia.com.my, Perdana Menteri teruja untuk memaklumkan mengenai penyertaannya dalam Facebook.

Katanya, sebagaimana blog 1Malaysia dan penyertaannya dalam Twitter, beliau akan menggunakan Facebook untuk menyampaikan pemikiran dan aktiviti kepada setiap lapisan rakyat.

“Di samping memaklumkan status terbaru, saya juga akan berkongsi pautan foto Flickr, video daripada You Tube dan maklumat berhubung kegemaran peribadi saya seperti masakan dan aktiviti masa lapang kegemaran saya.

“Silalah berkunjung ke laman Facebook saya bila-bila anda ada kelapangan, silalah berikan pandangan anda bagaimana saya boleh menjadikannya lebih baik lagi,” katanya.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url