BSN perkenal perbankan Internet tahun depan

Bank Simpanan Nasional (BSN) bakal memperkenalkan perkhidmatan perbankan Internet, myBSN.com.my kepada 7.5 juta pelanggannya selewat-lewatnya pada akhir suku pertama 2010.

Pengurus Besar dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Adinan Maning berkata, pelancaran myBSN.com.my itu tepat pada masanya dalam usaha bank tersebut bersaing dengan institusi perbankan lain di negara ini.

Beliau berkata, BSN agak terlewat memperkenalkan perkhidmatan itu kerana perlu melengkapkan infrastruktur dan memberi keutamaan kepada aspek-aspek yang lain terlebih dahulu.

''Kita bukan institusi perbankan yang terakhir memperkenalkan perbankan Internet, meskipun begitu perkhidmatan ini ditawarkan pada masa yang tepat kepada pelanggan-pelanggan BSN.

''Ini kerana, jumlah pelanggan generasi muda yang berumur antara 15 hingga 45 tahun semakin meningkat serta kesediaan pelanggan yang ada untuk menggunakan perkhidmatan tersebut,'' katanya pada majlis menandatangani perkhidmatan tersebut antara BSN, IBM Malaysia dan Cyber Village.

myBSN.com.my itu bakal menawarkan perkhidmatan pemindahan dana, bayaran bil secara online, pembelian Sijil Simpanan Premium dan nombor pengenalan diri, permohonan secara online bagi permohonan deposit dan kad kredit.

BSN juga masih bekerjasama dengan beberapa agensi kerajaan untuk menawarkan perkhidmatan pembayaran pelbagai cukai dan utiliti.

Malah, katanya, bank itu turut merancang untuk meluaskan perkhidmatan permohonan bagi pinjaman melalui perbankan Internet pada masa depan.

Adinan berkata, BSN yang melabur kira-kira RM5 juta bagi menyediakan perkhidmatan tersebut yakin perbankan Internetnya mampu melonjakkan pertumbuhan pelanggan sebanyak 10 peratus pada tahun pertama.

Katanya, perkhidmatan itu bakal ditempatkan di 13 cawangan negeri dan 90 cawangan zon.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url