Gadis Melayu bukan tipikal Melayu


Apabila berbicara soal gadis Melayu, secara kasarnya ia berkait rapat dengan kelembutan, sopan santun, kecantikan dan nilai-nilai tradisi lain yang juga seharusnya dimiliki termasuklah tahu tentang adat serta budaya bangsa mereka sendiri.

Namun, dalam melalui era pemodenan yang semakin mencabar, harus ada juga elemen-elemen lain pada diri gadis Melayu seperti ketahanan mental yang tinggi bagi mengharungi cabaran-cabaran yang bakal mendatang.

Rancangan televisyen (TV) realiti Gadis Melayu musim kedua terbitan TV9 turut tidak terkecuali cuba menyematkan nilai-nilai tambahan itu di kalangan pesertanya bagi melengkapkan personaliti yang akan mereka tampilkan pada masa depan.

Menurut juri tetap Gadis Melayu, Nurfarahin Jamsari, TV9 berhasrat melahirkan gadis Melayu yang bukan setakat tipikal sifatnya, tetapi pada masa sama turut berdaya saing serta mampu menyesuaikan diri dengan sebarang keadaan dan cabaran.

"Sebab itu, melalui tugasan-tugasan yang diberikan kepada setiap peserta, ia mempunyai matlamat-matlamat tertentu di mana antaranya bagi mempertingkatkan lagi nilai-nilai keyakinan dalam diri mereka.

"Kita tidak mahu melahirkan gadis Melayu tipikal yang hanya bergantung kepada kecantikan, lemah lembut dan sebagainya. Sebaliknya, elemen-elemen lain seperti soal pendidikan juga amat dititikberatkan untuk mencari juaranya.

"Contohnya, sekurang-kurangnya setiap peserta mestilah mempunyai pendidikan peringkat diploma. Cuma ada seorang sahaja peserta yang mempunyai tahap pendidikan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) tetapi sudah tersingkir," katanya.

Karisma yang tinggi

Bagi melahirkan seorang gadis Melayu yang bukan sahaja berperwatakan menawan, program TV itu turut menggunakan tugasan-tugasan yang diberi ke atas para pesertanya demi mencetuskan karisma yang tinggi di kalangan mereka.

Antaranya dengan menjalani aktiviti-aktiviti lasak serta mendalami lagi pengetahuan mereka tentang nilai-nilai seni, budaya serta tradisi yang sepatutnya ada dalam diri seseorang gadis Melayu pada era zaman globalisasi hari ini.

"Zaman sudah berubah. Gadis Melayu juga harus menyesuaikan diri mereka dengan keperluan pada masa kini. Justeru, tugasan-tugasan yang diberi kepada mereka akan mempertingkatkan lagi skil dalam diri masing-masing.

"Tugasan-tugasan yang diberi itu secara tidak langsung akan melahirkan sifat tanggungjawab. Ia juga akan menggambarkan perwatakan dan tingkah laku mereka dalam mengharungi cabaran-cabaran tersebut," ujarnya.

Selain Nurfarahin, juri Gadis Melayu yang memasuki musim kedua itu ialah Datin Seri Normala Shamsudin, Pengarang majalah Cosmopolitan, Izza Safinaz Ibrahim, pelakon Rosyam Nor, Syafinaz Selamat dan Adam Salleh.

Gadis Melayu yang menawarkan hadiah wang tunai RM10,000 dan trofi itu akan beranjak ke peringkat akhir pada 5 November ini menerusi siaran langsung dari Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur mulai pukul 8.30 malam.

Ketika ditanya tentang kriteria penting yang ada pada bakal juara Gadis Melayu, Nurfarahin menjelaskan ia tidak bergantung kepada sesuatu faktor semata-mata. Sebaliknya, ia lebih berbentuk sebuah pakej secara keseluruhan.

"Antara perkara penting yang harus ada pada diri bakal juara pertandingan ini ialah tahap keyakinan yang tinggi, skil berkomunikasi, bertanggungjawab, perwatakan dan bagaimana mereka membawa diri dalam sesuatu situasi.

"Sifat kepintaran banyak memainkan peranan dalam membantu menjana kesemua elemen tersebut. Kalau semua elemen ini dapat diterapkan, secara tidak langsung Gadis Melayu akan bukan setakat tipikal Melayu," jelasnya.

Lima finalis yang akan bersaing merebut gelaran Gadis Melayu musim kedua itu ialah Shazfinas Hasim (Finas), Nadia Adrianna (Nadia), Putri Noor Nawal Ramlan (Putri), Siti Nur Syafiqa Amirul Melvin (Fiqa) dan Hazlin Hussain (Lyn).

Setiap peserta mempunyai peluang sama rata dan kelebihan sama ada daripada segi kecantikan, taraf pendidikan serta menyelesaikan tugasan-tugasan yang telah mereka laksanakan dengan baik sepanjang program TV realiti itu berlangsung.

Walau bagaimanapun, pertandingan yang menentukan pemenangnya menerusi 50 peratus menerusi undian khidmat pesanan ringkas (SMS) dan 50 peratus lagi atas pemilihan juri itu turut dipengaruhi oleh populariti pesertanya.

Hits difahamkan, Nadia merupakan salah seorang peserta yang popular dan mendapat undian SMS tertinggi, selain Lyn dan Putri yang mempunyai kelebihan daripada raut wajah gadis Melayu yang berada di luar kelompok tipikal tersebut.

Pada masa sama, kelebihan Finas dan Fiqa yang boleh dikatakan banyak bergantung kepada daya intelektual mereka mampu mempengaruhi terutamanya panel juri bagi menambahkan lagi jumlah pemarkahan masing-masing dalam pertandingan itu.

Apa pun, pada pertandingan akhir kelak, kelima-lima peserta terbabit haruslah kemas dalam menyudahkan segala tugasan yang diberi selain bijak mendepani setiap soalan daripada panel juri sebagai ruang untuk menonjolkan kelebihan diri masing-masing.

Untuk persaingan peringkat akhir atau episod yang ke-13 itu kelak, pasangan pelakon suami isteri, Adlin Aman Ramlie dan Emelda Rosmila akan diberi tanggungjawab mengacarakan pertandingan yang semakin mendapat perhatian ramai penonton di saluran TV tersebut.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url