Perbankan Islam dan prestasinya kini

Oleh WAN JEMIZAN WAN DERAMAN

Perbankan Islam ialah perbankan yang berlandaskan undang-undang Islam (syariah), iaitu fiqh muamalat (peraturan Islam dalam transaksi). Kesemua peraturan dan amalan di dalam fiqh muamalat berasal dari al-Quran dan al-Sunnah dan sumber undang-undang Islam sekunder yang lain.

Antaranya seperti kesepakatan pendapat oleh ulama mujtahid tentang sesuatu hukum syariah (ijmak), menyamakan perkara baru yang tiada nas secara analogi (qias) dan hasil usaha daripada para mujtahid dalam merumuskan sesuatu hukum dan nilai melalui kaedah istinbat (ijtihad). (http://www.bankinginfo.com.my)

Usaha awal penubuhan perbankan Islam di Malaysia bermula seawal penubuhan Tabung Haji pada November 1962 yang telah memulakan operasinya pada 30 September 1963.

Kejayaan Tabung Haji mendorong pelbagai pihak untuk mengemukakan cadangan kepada kerajaan agar menubuhkan sebuah bank Islam sepenuhnya. Gerakan ini adalah hasil pelbagai perbincangan dan kajian demi kajian yang akhirnya menghasilkan rumusan bahawa wujudnya keperluan menubuhkan sistem perbankan yang berteraskan syariah.

Gelombang ini turut dicetuskan di peringkat antarabangsa di mana usul untuk menubuhkan bank Islam di negara-negara Islam telah dibincang dalam Mesyuarat Kedua Menteri-Menteri Luar Negara Islam dalam tahun 1971. (www.bankislam.com.my)

Hasilnya, Kabinet meluluskan penubuhan bank Islam yang pertama pada tahun 1983 yang dikenali sebagai Bank Islam Malaysia Berhad yang dikawalselia di bawah Akta Perbankan Islam 1983.

Setelah lebih kurang 10 tahun bank Islam pertama beroperasi, industri perbankan Islam melakar satu lagi sejarah di mana pada tahun 1993 diwujudkan Skim Perbankan Tanpa Faedah (SPTF).

Melalui skim ini, institusi perbankan konvensional dibenar menawarkan produk dan perkhidmatan perbankan Islam menggunakan prasarana yang sedia ada termasuk kakitangan dan cawangan. (Bank Negara Malaysia (BNM) dan Sistem Kewangan di Malaysia Perubahan Sedekad 1989-1999).

Walau bagaimanapun, berkuatkuasa 1 Disember 1998, SPTF ditukar kepada Skim Perbankan Islam (SPI) kerana penggunaan istilah SPTF tidak mencerminkan penampilan sebenar operasi perbankan Islam yang dilaksanakan oleh institusi perbankan.

Sistem kewangan dan perbankan Islam di Malaysia telah menunjukkan perkembangan dan peningkatan yang memberangsangkan. Sebelum 1993, Malaysia hanya mempunyai sebuah bank Islam dengan 36 cawangan yang terhad.

Namun selepas kerajaan memperkenalkan SPTF pada 1993, perbankan Islam boleh diperoleh dihampir 2,500 cawangan bank Islam, bank perdagangan, bank saudagar dan syarikat kewangan.

Alhamdulillah, industri perbankan Islam kini diperkukuhkan lagi apabila institusi perbankan konvensional yang menawarkan SPI diberi pilihan untuk mengubah operasi SPI mereka kepada sebuah bank Islam sepenuhnya.

Bagi menyemarakkan lagi perkembangan industri perbankan Islam ini pihak kerajaan juga menawarkan lesen perbankan Islam kepada bank-bank asing.

Pada tahun 2008, pendapatan yang dijana oleh industri perbankan Islam mencatatkan pencapaian yang sangat memberangsangkan. Ia memperoleh pendapatan kasar melebihi RM9 bilion dan kini aset perbankan Islam telah menghampiri RM300 bilion.

Bagi menjamin pematuhan syariah, semua bank Islam perlu menubuhkan Jawatankuasa Syariah bagi membimbing mengenai hal-hal Syariah dan memastikan bahawa fungsi bank tersebut adalah mematuhi kehendak syariah.

Selain itu, Majlis Penasihat Syariah iaitu badan syariah tertinggi yang ditubuhkan di BNM diwujudkan bagi memastikan keseragaman dalam pendapat dan amalan.

prinsip syariah

Perbankan Islam adalah perbankan yang menawarkan produk-produk kewangan yang berteraskan prinsip-prinsip syariah. Konsep dan mekanisme operasi telah berubah daripada konsep pinjam meminjam yang menjadi teras sistem perbankan konvensional kepada konsep jual beli, perkongsian, kerjasama dan sebagainya.

Di antara konsep-konsep syariah dalam perbankan Islam yang diaplikasi dalam pelbagai produk perbankan Islam ialah Wadiah (Simpanan) yang digunakan dalam produk-produk berasaskan deposit, Mudarabah (Perkongsian keuntungan) yang digunakan dalam produk-produk berasaskan pelaburan, Bai' Bithaman Ajil - BBA (Penjualan dengan harga tertangguh) yang diaplikasikan dalam pelbagai produk pembiayaan.

Murabahah seperti mana BBA, Musyarakah (Usaha sama) yang diaplikasikan dalam produk pembiayaan usaha sama, Ijarah Thumma Bai' (Sewa Beli) yang lazimnya digunakan dalam membiayai barangan pengguna terutama- nya pembiayaan kenderaan dan sebagainya.

Bermula dengan satu bank dengan produk yang terhad dan ringkas, kini Perbankan Islam telah mampu memenuhi keperluan semasa umat. Ia kini bukan lagi satu alternatif tetapi satu kewajipan terutamanya ke atas umat Islam untuk menyokong produk-produk perbankan Islam.

Ini kerana perbankan Islam dari sudut produk telah berupaya menawarkan lebih 40 jenis produk yang berdaya saing dan kreatif yang merangkumi produk-produk berkaitan deposit seperti akaun simpanan, akaun semasa, akaun pelaburan dan sebagainya, pembiayaan perumahan, pembiayaan kenderaan, pembiayaan peribadi, sewaan dan sebagainya mahupun pelaburan seperti Deposit Murabahah Berstruktur.

Sistem Perbankan secara Islam berbeza dengan Sistem Perbankan Konvensional dan ia boleh dilihat kepada konsep dan operasinya. Perbezaan utama di antara perbankan Islam dan perbankan konvensional ialah perbankan Islam mesti berlandaskan syariah.

Perbankan Islam juga mesti mengelakkan aktivitinya daripada unsur-unsur yang diharamkan seperti riba, gharar (ketidakpastian yang berlebihan), perjudian dan penipuan. Manakala sistem konvensional muamalatnya dijalankan secara riba dan tidak mengambil kira unsur-unsur keadilan dalam transaksinya.

Mengumpul keuntungan

Dari sudut objektif, perbankan konvensional menerusi pelbagai aktivitinya adalah mengumpul keuntungan peribadi ataupun kumpulan tertentu seperti pihak pemegang saham. Usaha digembleng hanya bertujuan untuk memaksimumkan keuntungan tanpa mengambil kira kesan dan akibat kepada umat.

Hal ini berbeza dengan sistem Perbankan Islam di mana dari sudut teorinya adalah untuk menjamin kemaslahatan dan kesejahteraan umat khususnya dalam perkara yang berkaitan sosioekonomi umat Islam.

Ini dapat dilihat apabila perbankan Islam tidak mengamalkan riba yang memang jelas menindas dan menzalimi terutamanya golongan yang lemah.

Dosa riba ini telah disepakati oleh seluruh ulama akan pengharamannya dan ia termasuk dalam kategori dosa besar. Malah riba diharamkan oleh semua agama. Allah melaknat mereka yang melibatkan diri dengan riba.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Rasulullah SAW. melaknat pemakan riba, pemberinya, dua orang saksinya dan juru tulisnya." (riwayat Ahmad, Abu Daud, Tirmizi, An Nasa'i dan Ibn Majah)

Riba adalah salah satu dosa besar. Ia berdasarkan hadis nabi SAW maksudnya: "Jauhilah tujuh dosa besar, syirik, sihir, membunuh tanpa hak, makan harta anak yatim, makan riba, lari dari medan peperangan (kerana takut) dan menuduh perempuan yang suci dengan zina (tanpa saksi adil)." (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Terlibat dengan riba menjadi sebab mendapat kemurkaan Allah SWT. Pemakan dan pemberi riba sebenarnya mereka memerangi Allah SWT dan Rasul-Nya sebagaimana firman Allah yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah SWT dan tinggalkanlah saki baki riba sekiranya kamu benar-benar beriman, sekiranya kamu tidak meninggalkannya, isytiharkanlah perang dengan Allah dan Rasul-Nya. (al-Baqarah: 278).

Begitu juga jika dilihat dari sudut hubungan di antara pelanggan dengan pihak bank. Bank konvensional hanya terhad kepada hubungan antara pemiutang dan peminjam sahaja. Tetapi di dalam perbankan Islam, hubungan lebih kepada kebersamaan di mana sebagai contoh di bawah konsep Musyarakah, pihak bank dan pelanggan adalah rakan kongsi untuk melaksanakan satu-satu projek dan sebagainya.

Ini selaras dengan falsafah di sebalik pinjaman dalam Islam iaitu untuk memenuhi keperluan seseorang yang dalam kesusahan, memupuk semangat tolong menolong dan untuk menyuburkan kasih sayang di antara satu sama lain.

Dengan mengenakan caj tambahan yang kadang-kadang berkali ganda seperti yang dilakukan oleh perbankan konvensional melenyapkan nilai-nilai mulia ini malah dengan amalan riba ini telah menyuburkan sikap mengeksploitasi dan menindas golongan yang sedang dalam kesusahan.

Akhirnya lahirlah manusia yang tamak, mementingkan kepentingan sendiri dan menjadi hamba kepada harta.

Biar pun telah wujud sistem kewangan yang berasaskan prinsip Islam, namun, masih ada di kalangan umat Islam hari ini yang masih terlibat dengan perbankan konvensional. Mereka mencipta 1,001 alasan untuk mengelak terlibat dengan Sistem Kewangan Islam seperti produk-produk yang ditawarkan oleh Perbankan Islam mahal harganya jika dibandingkan dengan produk-produk syarikat konvensional.

Sebagai Muslim yang beriman, sudah pasti kita ingin memastikan apa yang dilakukan seharian selari dengan kehendak dan prinsip-prinsip Islam.

Namun, adakah kita sedar, dengan melibatkan diri dengan perbankan konvensional, kita mendedahkan diri kita dengan dosa riba di mana Allah dan Rasul-Nya telah mengisytiharkan perang ke atas orang-orang yang terlibat dengan riba tidak kiralah sama ada pemberi, penerima, penulis perjanjian berkaitan riba dan sebagainya.

Adakah kita masih ingin melibatkan diri dengan dosa besar tersebut sedangkan sudah ada pilihan.

Mengajak manusia melaksanakan ekonomi Islam dan beramal dengannya merupakan suatu ibadah yang pasti mendapat ganjaran baiknya di sisi Allah SWT. Persoalannya, adakah kita benar-benar ingin melaksanakannya atau mengharap orang lain melunaskan 'tugasan' tersebut bagi pihak kita.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url