Koleksi Terbaik Cerita Dari Mekah – Mastika

Judul : Koleksi Terbaik
Cerita Dari Mekah - Mastika
Penerbit : Utusan Karya Sdn. Bhd.
ISBN : 967-5459-00-9
Harga : RM7.50
Pengulas : NOOR AZIZAH

Penulis belum pernah ke Mekah. Dan seperti orang lain, penulis juga amat teringin ke sana, sama ada untuk menunaikan haji mahu pun umrah. Rasa terlalu ingin untuk beribadat di depan Baitullah dan mengucap syukur kepada-Nya kerana memberi peluang menikmati hidup yang indah ini. Cuma rezeki belum tiba. Tabungan belum mencukupi untuk membawa terbang ke tanah yang penuh berkat itu.

Anehnya, seorang rakan baik yang rezekinya boleh dianggap melimpah ruah, agak takut apabila disebut Mekah.

Apabila ditanya kenapa, dia mengatakan belum tergerak untuk ke Tanah Suci kerana bimbang akan ditimpa bencana, misalnya jatuh sakit, sesat, gila, tidak nampak Kaabah, hilang selipar dan sebagainya, seperti yang dialami oleh segelintir jemaah.

Kata kawan tersebut, itulah bahana yang akan kita lalui akibat perbuatan tidak elok yang kita lakukan selama ini.

Pandangannya itu sebenarnya silap. Sebenarnya, apa yang berlaku kepada jemaah adalah ujian dari Allah. Ujian datang dalam bentuk yang berbeza-beza. Ada yang kelihatan baik, ada yang kelihatan buruk.

Maknanya, ujian Allah bukan setakat di Mekah sahaja! Kita pula terus lalai sebab kita tidak ditimpa sesuatu yang boleh menyebabkan kita insaf.

Ujian-ujian itu adalah untuk membersihkan jiwa kita daripada sifat-sifat buruk, supaya kita insaf, bertaubat dan tidak lagi melakukan perbuatan-perbuatan tidak elok itu.

Ujian itu juga untuk mengingatkan jemaah supaya mempersiapkan diri dengan ilmu dan kemampuan fizikal serta mental semasa berada di sana.

Oleh kerana faktor itulah, maka Koleksi Terbaik Cerita Dari Mekah mungkin boleh merungkai sedikit sebanyak kekeliruan itu.

Buku ini memang ditunggu-tunggu oleh penulis yang sangat berminat dengan kolum Cerita Dari Mekah di dalam majalah Mastika sebelum ini.

Buku ini mengandungi 27 cerita termasuk dua cerita terbaru dari Hijjazlegend.

Menariknya, selepas membaca cerita-cerita itu, penulis dapati semuanya adalah “cerita terbaru”. Sebab, biarpun sudah membacanya dahulu, tapi penulis sudah lupa jalan ceritanya.

Kebanyakan cerita itu pernah disiarkan sekitar 1996 hingga 1999.

Paling menarik ialah kisah anak derhaka yang diceritakan oleh Datuk Mazlan Nasron (KSB Travel); cerita jemaah ‘diseksa’ oleh lalat dan dikejar wanita berbogel (Datuk Dr. Haron Din al-Hafiz); Datin sombong yang tiba-tiba sahaja badannya kejang ketika sedang marah dan menyindir orang (Datuk Md. Daud Che Ngah) serta jelmaan-jelmaan yang tidak ghaib selepas membantu jemaah yang sedang menghadapi kesulitan.

Ringkasnya, buku ini bukan buku mistik, khayalan atau khurafat. Ia adalah sebuah buku kerohanian kontemporari.

Banyak kisah yang boleh diteladani dan dijadikan sempadan bila membaca buku koleksi ini.

Apatah lagi terdapat kisah mengenai jemaah yang mendapat keseronokan, ketenangan dan dipermudahkan ibadah mereka hasil daripada amalan hidup yang baik selama ini.

Koleksi itu juga memuatkan mengenai kisah seorang GRO yang dipermudahkan ibadatnya, kemudian bertaubat dan selepas itu membawa rakan-rakan “seperjuangannya” ke Tanah Suci. Akhirnya, kawan-kawannya juga meninggalkan pekerjaan tersebut.

Pembaca boleh mendapat banyak manfaat daripada koleksi ini termasuk apabila kita cuba mendalami maksud kata-kata Daud Che Ngah dalam buku itu.

Kata Daud: “Janganlah berasa gentar dengan cerita-cerita tentang jemaah yang ditimpa ujian kerana ia adalah petanda kasih sayang Allah kepadanya, supaya mereka sedar akan kesilapan diri dan segera bertaubat.”

Memang benar, Allah sudah mengingatkan perkara ini di dalam al-Quran, yang bermaksud: “Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (perbuatan-perbuatan salah dan dosa) dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian daripada dosa-dosa kamu.” Surah Asy-Syura ayat 30.

Koleksi cerita jemaah di tanah suci itu dapat mengingatkan kita bahawa begitu ramai jemaah yang mendapat rahmat Allah SWT semasa berada di sana.

Hidup mereka selepas itu berubah kepada yang lebih baik.

Cerita-cerita yang dimuatkan di dalam koleksi ini sememangnya sangat menarik dan perlu dimiliki oleh semua orang yang bercita-cita menjejakkan kaki ke tanah suci itu.

Apa yang boleh dikatakan ialah, penulis tidak sabar untuk menunggu koleksi kedua cerita dari Mekah ini. Dengan harga semurah RM7.50, banyak manfaat boleh dikutip oleh kita menerusi koleksi ini.
Next Post Previous Post
2 Comments
  • Shamsinar
    Shamsinar Selasa, 26 Januari 2010 pada 3:36:00 PTG SGT

    bagaimana nak dptkan Koleksi Terbaik Cerita Dari Mekah – Mastika??saya mahu membeli.

  • MOHD ADHA MOHD ZAIN (ADHA ZAIN)
    MOHD ADHA MOHD ZAIN (ADHA ZAIN) Selasa, 26 Januari 2010 pada 9:36:00 PTG SGT

    Salam
    setahu saya, kat kedai buku yang jual Mastika, ada jual buku Koleksi ni :)

Add Comment
comment url