Penjenayah disanjung, polis disinggung
Ada saja tindakan anggota polis yang tidak disenangi pihak tertentu. Apabila kadar jenayah meningkat, polis disalahkan dan dituduh tidak buat kerja. Polis dilabel makan gaji buta. Mereka juga dikatakan tidak peka.
Apabila ada penjenayah ditembak mati, lain pula cerita. Polis dikatakan membunuh dengan niat. Polis dituduh menyalahgunakan kuasa. Lebih teruk lagi tindakan polis dikaitkan dengan perkauman.
Tetapi jika polis yang ditembak mati oleh penjenayah atau polis terkorban dalam gerakan membanteras jenayah, tidak ada siapa peduli.
Tiada siapa yang membangkitkan kaum atau bangsa apa si penjenayah yang menyebabkan anggota polis itu terkorban atau tercedera. Tiada siapa juga mencadangkan supaya ditubuhkan suruhanjaya bagi menyiasat kematian anggota polis.
Seperti yang ditegaskan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan tidak ada siapa yang simpati, jauh sekali mahu menghulurkan bantuan.
Paling-paling pun ayat yang terlontar daripada mulut kumpulan tertentu adalah: ''Oleh kerana dia (anggota yang terkorban) memilih untuk menjadi polis, maka ditembak penjenayah adalah takdir.''
Tidak pula mereka mengaitkan takdir dengan pilihan orang tertentu untuk bergelumang dengan jenayah sehingga rekod jenayah yang dicatatkan boleh saja dijadikan siri ensiklopedia.
Adakah di paras itu ukuran rasa hormat dan penghargaan rakyat negara ini terhadap tugas anggota polis? Adakah sebegitu adab rakyat Malaysia - penjenayah disanjung, anggota keselamatan disinggung?
Secetek itukah pemikiran kalangan rakyat negara ini sehingga tindakan polis dinilai berasaskan kaum dan bukannya alasan munasabah setiap das 'tindakan' yang dilepaskan?
Begitu juga dengan kes kematian penjenayah dalam tahanan. Jika melibatkan kaum tertentu, pantas anggota polis atau petugas penjara dituduh sebagai pembunuh. Seolah-olah apabila penjenayah itu terdiri daripada kaum tertentu maka niat polis tidak lain tidak bukan semata-mata untuk menamatkan riwayat hidup mereka?
Hakikatnya persepsi yang mengaitkan tindakan polis dengan penjenayah yang tercedera atau mati ditembak berasaskan kaum cukup untuk menggambarkan sejauh mana rakyat di negara ini saling percaya mempercayai.
Dan selepas lebih 50 tahun merdeka masih ada tanggapan seperti itu menunjukkan hubungan antara kaum masih rapuh. Lebih bahaya lagi apabila kerapuhan itu diserlahkan dalam usaha pihak berkuasa membanteras jenayah. Sedangkan proses membersihkan negara daripada jenayah hakikatnya tidak mengenal kaum dan tidak pernah ada batas atau sempadannya.
Bukankah sepatutnya kefahaman yang mesti ada dalam pemikiran rakyat Malaysia begini bentuknya - jika anggota polis terkhilaf dalam tindakannya sehingga membawa kematian di pihak penjenayah, ia bukan kerana perkauman.
Kekhilafan itu semestinya didorong oleh kelalaian di pihak polis itu sendiri dan bukannya kerana bangsa seseorang atau kumpulan penjenayah yang terlibat.
Secara asasnya, tugas polis itu sendiri berhadapan dengan jenayah dan penjenayah. Justeru mempertahankan diri sendiri dan orang lain adalah 'senjata' utama mereka. Jika ada yang terkorban dalam proses tersebut, perlu diteliti puncanya. Mengaitkan tindakan tersebut dengan kaum tertentu sahaja bukan jawapan malah ia mengundang bahaya yang boleh memporak-perandakan negara.