Skim baucar diskaun RM5,000 untuk kereta lama mungkin diteruskan
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Mukhriz Tun Mahathir berkata, ketika ini pihaknya sedang mengumpul maklum balas daripada pelbagai pihak berhubung pelaksanaan skim berkenaan.
Sebelum ini katanya, skim tersebut ditamatkan setelah semua dana yang disediakan habis digunakan tetapi kerajaan sentiasa fleksibel dan akan menyelami hasrat rakyat terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan yang melibatkan kepentingan mereka.
"Misalnya cadangan mewajibkan setiap kenderaan yang berusia 15 tahun ke atas menjalani pemeriksaan yang diutarakan sebelum ini, apabila rakyat membantah kita telah mengubah semula cadangan itu.
"Begitu juga dalam isu ini, walaupun tidak dapat membuat sebarang pengumuman ketika ini namun maklum balas mereka diperlukan bagi membolehkan kita mengambil tindakan susulan yang dirasakan wajar," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Ibadah Korban dan Jamuan Mesra Rakyat di Rawang, Selangor.
- KOSMO!