Dasar bersama Pakatan Rakyat sasar Putrajaya


Pakatan Rakyat mempertingkatkan usahanya untuk menguasai Putrajaya dengan mengumumkan dasar bersama Pakatan yang menjanjikan pembaharuan segera dan kesaksamaan.

Sebagai respons kepada musuh politiknya, Barisan Nasional, dasar bersama itu berjanji untuk mengurangkan dasar-dasar yang berasaskan kaum dan menggubal akta hubungan kaum dan akta peluang saksama serta dasar-dasar lain yang berasaskan merit seperti pemberian biasiswa kerajaan.

Ia turut menjanjikan layanan istimewa kepada Sabah dan Sarawak - di mana pengaruh Pakatan tidak kuat - dengan menjanjikan akses kepada royalti minyak serta berjanji untuk menyelesaikan masalah-masalah yang sudah lama berlanjutan.

Pakatan juga berjanji untuk menubuhkan suruhanjaya diraja untuk menyelesaikan isu-isu membabitkan isu pendatang haram, yang didakwanya tidak diberi perhatian oleh kerajaan pusat.


Sokongan kuat dari dua negeri Malaysia Timur itu amat penting dalam usaha Pakatan untuk menguasai Putrajaya dalam pilihanraya umum kerana satu perempat jumlah kerusi parlimen adalah dari sana.

Pakatan juga berjanji untuk menangani isu-isu agama yang selama ini telah menimbulkan pergeseran antara parti Islam PAS dan parti sekular DAP.

Di samping itu, Pakatan juga berjanji untuk mewujudkan satu mekanisme yang komprehensif untuk menangani kes-kes di mana berlaku bertindihan antara undang-undang sivil dan Syariah.

Untuk tujuan itu, sebuah suruhanjaya diraja akan ditubuhkan untuk mengkaji secara mendalam isu-isu yang berkaitan dengannya.

Agihan ekonomi negeri

Di peringkat institusi pula, Pakatan berjanji untuk memastikan kebebasan dan ketelusan sepenuhnya Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman bagi memulihkan keyakinan rakyat terhasdap sistem kehakiman.


Pembaharuan lain yang dijanjikan termasuk menjadikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Petronas dan institusi-institusi kerajaan yang lain dipertanggungjawabkan terus kepada Parlimen.

Ini termasuk mendapatkan kelulusan Parlimen bagi pelantikan jawatan penting kerajaan seperti ketua polis negara, peguam negara, pesuruhjaya SPRM dan ketua audit negara.

Mengenai ekonomi, Pakatan bercadang mendesentralisasikan pengurusan ekonomi negara bagi meningkatkan kecekapan, produktiviti dan taburan pembangunan yang seimbang.

Cadangan ini termasuk pengagihan kuasa pentadbiran dan ekonomi dan pelaksanaan kerja-kerja infrastruktur kepada kerajaan negeri.Dasar Pakatan Rakyat itu merangkumi empat perkara, iaitu demokrasi telus dan tulen; memacu ekonomi berprestasi tinggi, mampan dan adil; keadilan sosial dan pembangunan insan; dan hubungan persekutuan-negeri dan dasr luar negara.

- MALAYSIAKINI

Next Post Previous Post
2 Comments
  • Tanpa Nama
    Tanpa Nama Ahad, 20 Disember 2009 pada 5:28:00 PTG SGT

    Nampak seperti satu harapan baru bagi rakyat Malaysia. Sudah bersediakah orang Melayu bersaing secara meritrokasi? Jangan nanti ada orang kita yang terus tercicir. Bagaimana dengan Perlembagaan Negara? Tiada akuan dibuat bahawa Perlembagaan Negara di pertahankan dan Raja-Raja Melayu terus didaulatkan. Adakah salah satu agenda utama mereka nanti untuk mengubah Perlembagaan Negara? Jangan nanti jadi seperti Melayu Singapura.....

  • Islam Didahulukan....
    Islam Didahulukan.... Ahad, 20 Disember 2009 pada 10:11:00 PTG SGT

    Dunia dh nak kiamat (akhir zaman) pun masih nk cakap pasal melayu?

Add Comment
comment url