Debaran 12 Disember


Memilih tarikh 12 Disember 2009, Aien bakal melangsungkan majlis pernikahan di Masjid Negeri Shah Alam sekitar jam 12 tengah hari.

Aien berkata, dia berdebar menunggu detik bersejarah itu dan bagaikan tidak percaya akhirnya akan bergelar isteri kepada jejaka yang dicintainya itu.

"Pada usia begini saya memang sudah sedia menjadi isteri, namun, pada masa sama saya gementar menggalas tanggungjawab baru ini kerana ia amanah Allah untuk memastikan rumah tangga rukun dan damai.

"Sebelum ini sudah biasa hidup bersendirian dan membuat keputusan sendiri. Apabila sudah berkahwin kelak tentu semua perkara akan berkongsi bersama suami. Tidak boleh lagi saya memandai kerana hubungan yang harmoni perlukan kesepakatan, persefahaman dan tolak ansur. Tidak boleh lagi mengikut kata hati saya seorang saja.

"Kebetulan bakal suami berstatus duda anak tiga. Justeru, kasih sayang tidak hanya pada suami malah saya juga perlu berlaku adil kepada anaknya," katanya.

Memilih rekaan Cosry pada majlis pernikahannya nanti, Aien menambah, dia mengenali bakal suaminya dua tahun lalu melalui kawan.

Berkongsi pengalaman saat pertama kali bersua, Aien berkata, mereka tidak banyak berkomunikasi bagaimanapun berbeza dengan pertemuan kali kedua.

"Pada pertemuan kedua kami mula berbual. Dia ahli perniagaan dan saya pula memang minat berniaga jadi banyak nasihat dan ilmu yang dicurahkan kepada saya.

"Sejak pertemuan itu, dia sudah berani menghubungi saya mengajak keluar. Selepas beberapa lama barulah kami memutuskan untuk menjalinkan hubungan serius," katanya.

Akui Aien, dia tertawan pada sikap kepimpinan yang ada pada pasangannya itu yang sangat mengambil berat dan bertanggungjawab.

"Berbeza berkawan dengan orang muda dengan yang sudah berpengalaman seperti bakal suami ini. Pada pendapat saya, jika bercinta dengan orang muda mungkin banyak perkara dia akan ambil mudah.

"Tetapi bukan semua begitu kerana ada juga lelaki muda yang bertanggungjawab. Bakal suami saya ini juga seorang yang menyenangkan, banyak membantu dan memberi galakan kepada saya untuk menjadi insan yang lebih berjaya pada masa akan datang.

"Orangnya tidaklah terlalu kacak, tetapi sedap dipandang mata," katanya.

Memandangkan bakal suaminya sibuk, mereka mengambil keputusan bernikah gantung terlebih dulu. Majlis kenduri dan persandingan akan diadakan awal 2010.

"Perkara yang baik buat apa ditangguh. Disebabkan itulah saya dan bakal suami sepakat melangsungkan pernikahan kami secepat mungkin.

"Lagipun pada 20 Disember ini genap setahun Ekin dan Mawi berkahwin dan saya pernah kata dulu mahu berkahwin selepas Ekin mendirikan rumah tangga. Nampaknya impian saya dimakbulkan Yang Maha Esa," katanya masih menjadi duta RNZ.

- HARIAN METRO
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url