Factory Overrun - Bukan pakaian tiruan atau reject


Stigma bahawa pakaian berjenama terlalu mahal untuk dimiliki dan jika ia dijual di butik atau premis bukan eksklusif adalah produk tiruan masih menebal dalam kalangan masyarakat tempatan.

Melihat sahaja deretan pakaian berjenama popular yang dipamerkan di galeri butik berkenaan, pasti tiada siapa menyangka ia dijual pada harga yang sangat murah.

Kualitinya tetap sama, tidak mempunyai sebarang cacat cela pada jahitan dalaman mahupun luaran menyebabkan mereka yang sebelum ini tidak berminat pada pakaian berjenama terus terpikat.

Sebutlah jenama-jenama terkenal seperti Ralph Lauren, Tommy Hilfigure, Carters, Calvin Klein, Burberry, Brooks Brothers, Marks n Spencer, Evisu, Nordstrom, Replay, AX dan GAP, semuanya ada di bawah satu bumbung.

Hakikatnya, koleksi jenama pakaian popular dari Eropah dan Amerika Syarikat itu harganya mungkin mencecah diantara RM600 sehingga RM1,000 sehelai atau sepasang, namun di butik Factory Overrun di Greentown Nova, Ipoh, Perak, ia boleh dibawa pulang pada harga serendah RM49, bahkan ada yang lebih murah daripada itu!

Itulah hasil usaha gigih usahawan muda, Azmi Abdul Malik, 35, yang mengusahakan Factory Overrun, syarikat tempatan yang mempelopori penjualan terus dari kilang pakaian-pakaian berjenama sejak lapan tahun lalu.

Azmi memberitahu, obsesinya terhadap pakaian berjenama sejak menuntut di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor lebih sedekad lalu telah 'memahirkannya' untuk mendapatkan bekalan barangan tersebut pada harga murah.

"Sebagai peminat pakaian berjenama, saya sentiasa mencari jalan untuk mendapatkannya pada harga yang lebih murah berbanding dengan harga di pasaran dan pada masa sama, kualiti fabrik serta mutu jahitannya masih tulen.

"Pencarian saya akhirnya membuahkan hasil apabila saya mengetahui terdapat pakaian-pakaian berjenama dikilangkan dan ia dipasarkan pada harga yang jauh lebih murah berbanding di pasaran," katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Menurutnya, stigma bahawa pakaian berjenama terlalu mahal untuk dimiliki dan jika ia dijual di butik atau premis bukan eksklusif adalah produk tiruan masih menebal dalam kalangan masyarakat tempatan.

"Setiap pelanggan yang datang ke butik Factory Overrun akan diberi penerangan mengenai perbezaan antara pakaian cetak rompak, dinyah asing (reject) dan koleksi tulen yang terdapat di premis ini," katanya.

Jelasnya, pakaian 'berjenama' tiruan pada kebiasaannya boleh dinilai berdasarkan fabrik dan kualiti jahitan, begitu juga barangan reject yang dikesan melalui kecacatan pada jahitan dan potongan.

"Pakaian berjenama di butik ini dihasilkan di kilang-kilang berlesen di negara ini dan rantau Asia yang mendapat kebenaran dan tempahan pemilik jenama di Amerika Syarikat dan Eropah untuk mengilangkannya.

"Bekalan yang diperoleh Factory Overrun merupakan lebihan tempahan pakaian dan atas sebab itu, logo atau jenama pakaian berkenaan yang terletak pada tengah dalam kolar kemeja dan sebagainya mempunyai kesan guntingan.

"Prosedur ini juga sebagai tanda pakaian berkenaan adalah tulen dan asli. Jika ia tiruan, pasti tanda berkenaan tidak 'dikerat'," katanya.


Selepas lebih setahun membuka premis pertamanya di Greentown Nova, Azmi kini boleh berbangga kerana butiknya yang kedua telah beroperasi di Pusat Bandar Seri Manjung. Butiknya yang terbaru iaitu di bandar Taiping pula akan dibuka tidak lama lagi.

"Saya yakin penjualan pakaian berjenama ini mempunyai peminatnya sendiri kerana mereka lebih mementingkan kualiti kerana keselesaan pemakainya," katanya.

Menurutnya, Factory Overrun kini menawarkan berpuluh-puluh jenis jenama pakaian popular untuk lelaki dan wanita dewasa serta koleksi kanak-kanak seperti GAP, Old Navy dan OshKosh.

Selain itu, Azmi juga bertindak sebagai pemborong dan membekalkan pakaian berjenama terbabit kepada peniaga berminat di Kuala Lumpur, Selangor, Kedah dan Pahang.

Dalam pada itu, Azmi memberitahu, pihaknya menyasarkan jualan bersih sebanyak RM1.5 juta bagi tiga buah butiknya sepanjang tahun 2010. Katanya, sasaran itu mampu dicapai berikutan permintaan yang menggalakkan daripada pelanggan terhadap pakaian-pakaian berjenama tetapi pada harga mampu dibeli.

"Saya yakin penjualan pakaian berjenama akan terus mendapat sambutan menggalakkan lebih-lebih lagi masyarakat mengetahui ia adalah original.

"Selain itu, penjenamaan semula Factory Overrun sedikit masa lagi diharap dapat meningkatkan jualan," katanya.

Ketika ini, Factory Overrun menawarkan potongan harga sehingga 70 peratus untuk beberapa jenis pakaian terpilih dan peluang itu harus direbut oleh mereka yang tidak mampu membeli pakaian berjenama pada harga asal.

"Apa yang pasti, pakaian yang terdapat di butik kami merupakan fesyen terkini seperti yang terdapat di pasaran," katanya.

Orang ramai yang berminat bolehlah berkunjung ke Factory Overrun di No.14, Jalan Greentown 1, Greentown Nova, Ipoh, Perak. Sebarang pertanyaan, boleh dibuat melalui talian 019-5761807 atau menerusi laman web www.factoryoverrun.com

- KOSMO!
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url