Mengharap 2010 lebih ceria
Tahun 2009 berlabuh pergi dengan pelbagai peristiwa kejayaan dan kesedihan yang silih berganti. Sebahagian besarnya diwarnai dengan kisah-kisah kejayaan personaliti, kepimpinan dan pencapaian hebat individu, institusi mahu pun negara.
Sebahagian lagi kisah duka lara sebahagian umat yang terus menderita, merintih sedih, mengharap bantuan orang lain dan berperang atas nama keganasan, persepsi sempit kaum dan agama serta tekanan yang tiada noktah penyelesaian.
Di dalam negara, kita berhadapan dengan kisah-kisah sedih manusia yang meragut, membunuh dan meruntun jiwa kemanusiaan kita dengan kisah-kisah derita anak-anak kecil yang dibuang, didera dan dilakukan keganasan yang mengulangi keluh kesah dan kemarahan yang sama.
Kita dihimpit oleh keresahan oleh mereka yang membuat tafsiran pelbagai perkara mengikut emosi, kisah-kisah personaliti yang mencari publisiti hebat termasuk sesetengah menjadi sebahagian selebriti sensasi, kemalangan ngeri yang meragut nyawa insan tidak berdosa, kejayaan dalam sukan, kisah pencapaian dalam penyelidikan dan pencapaian negara yang boleh kita banggakan.
Semoga 2009 yang pergi menjadi iktibar dan sumber kekuatan untuk meneruskan perjalanan kita selanjutnya. Biarlah sejarah yang berlalu itu mengajar kita erti ketabahan, keberanian dan kekuatan untuk memastikan 2010 yang dilalui lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya.
Paling tidak, pengumuman sekumpulan saintis Asia yang membuktikan secara saintifik melalui jujukan DNA, bahawa kita semua mempunyai pertalian genetik dan menyedarkan kita betapa perpaduan sepatutnya tidak lagi menjadi masalah.
Kajian dilakukan oleh 93 orang penyelidik yang mewakili 40 buah institusi dari 10 buah negara Asia bergabung tenaga menjalankan kajian kepelbagaian pemetaan genetik manusia di rantau ini. Mereka berjaya membuktikan bahawa daripada 73 etnik yang bertaburan, terdapat persamaan yang ketara dari segi genetiknya walau pun terpisah dari segi sempadan geografi, sekali gus menunjukkan bahawa kita datang dari rumpun yang sama.
Seperti mana ditegaskan di dalam al-Quran, Tuhan menjadikan kita berpuak-puak, bersuku-suku dan mempunyai pelbagai bahasa. Oleh itu, kepelbagaian bukanlah sebab untuk kita terus bercakaran dan menimbulkan keresahan yang tiada sudahnya, selagi kita tahu batas sempadan yang ada, hormat menghormati dan tidak mementingkan diri.
Kepelbagaian adalah sesuatu yang wajar dihargai. Perbezaan bahasa, budaya dan anutan agama menjadi rencah yang warna-warni penuh keindahan untuk diraikan, dihormati, dipelajari, difahami dan menjadi kelebihan untuk mengajar kita bahawa manusia juga mempunyai cita rasa yang berbeza-beza, minat yang tidak sama dan pemikiran yang tidak serupa untuk kita lebih bertoleransi dan menghormati satu sama lain secara matang dan bijaksana.
Namun kita bersatu di bawah satu bendera, di dalam satu negara yang berdaulat dan satu kesatuan yang membolehkan kita hidup bersama, rukun damai berteraskan sejarah masa lalu yang tidak boleh diubah dan dipadamkan.
Kerana itu, sepanjang 2010 dan tahun-tahun akan datang, kita harus bersama-sama meningkatkan lagi tahap keceriaan dan kebahagiaan hidup, meningkatkan tahap kasih sayang sesama insan, melakukan transformasi minda yang lebih terbuka dan positif, mempertingkatkan kecemerlangan institusi yang ada dan membasmi segala bentuk keganasan.
Pertubuhan-pertubuhan sukarela yang ada di negara ini harus menggembleng tenaga bersama, termasuk mengadakan perarakan raksasa untuk menunjukkan kebencian dan kemarahan kita terhadap keganasan, isu-isu alam sekitar yang menjejaskan kualiti hidup manusia, keganasan terhadap bayi dan kanak-kanak malah juga menangani kes-kes kemalangan jalan raya secara bersepadu.
Kita tahu dan sedar bahawa statistik juga menunjukkan yang keruntuhan institusi keluarga kita semakin membimbangkan. Bilangan penagih dadah dan mereka yang menghidapi penyakit berbahaya juga bertambah dengan banyaknya. Sebahagian besarnya ialah anak-anak muda kita yang terlibat dalam gejala-gejala songsang, jenayah seksual, pesta arak dan sebagainya yang menunjukkan semakin jauhnya mereka dengan agama.
Puncanya juga kita tahu iaitu masalah rumah tangga, kerenggangan ikatan keluarga, tekanan ekonomi dan banyak lagi. Oleh sebab sibuk dengan kisah-kisah sensasi selebriti dan mungkin seronok dengan kisah-kisah politik sensasi, kita makin lupa masalah ini yang jangka panjang akan meruntuhkan bangsa.
Kerana itu, transformasi minda dan pemikiran jangka panjang amat penting. Rakyat negara ini harus berhenti menuding jari kepada orang lain, sebaliknya bersama-sama menyumbang buah fikiran dan mengambil bahagian dalam usaha menghadapi kemelut sosial yang ada.
Ironisnya, kita mampu membeli kereta mewah dan telefon bimbit mahal, tetapi tidak mampu memiliki alat pendengaran untuk menggunakan telefon bimbit semasa memandu sehingga mengganggu orang lain. Sesetengah kita berbangga dengan kereta yang dijaga sempurna, tetapi tidak mahu membayar untuk tempat letak kereta lalu meletakkannya di tepi jalan yang menyusahkan pengguna jalan raya lain.
Masalahnya ialah, selagi kita hanya bergantung kepada orang lain, termasuk agensi-agensi kerajaan, maka sukar untuk menyelesaikan sebahagian besar masalah yang ada. Usaha bersama yang bersungguh-sungguh harus diambil untuk menghadapi apa jua masalah bersama yang ada.
Konsep kejiranan yang kental, penyertaan pemimpin tempatan termasuk pemimpin-pemimpin yang dipilih melalui parti politik dan lain-lain lagi wajar diperkukuhkan untuk menangani masalah bersama yang ada. Konsep turun padang tanpa mengira masa, ikhlas dan bertanggungjawab harus menjadi pegangan semua pihak.
Perkukuhkan semua institusi yang ada, terutamanya institusi agama dan institusi amanah. Para pemimpin yang diamanahkan memimpin institusi agama harus melihat semua masalah ini, tanpa mengira siapa sahaja untuk membuktikan bahawa persepsi salah yang ada pada agama selama ini dapat diperbetulkan.
Perkukuhkan juga institusi amanah yang ada termasuk agensi-agensi kerajaan. Sesetengah orang yang berada dalam institusi amanah ini masih mengamalkan sikap lama yang menjarakkan antara rakyat biasa dengan agensi-agensi yang ada.
Mereka lupa terhadap konsep amanah dan tanggungjawab terhadap amanah yang dipegang dan rakyat seluruhnya. Inilah yang menimbulkan kejengkelan dan sesetengahnya dengan mudah menimbulkan kemarahan orang ramai.
Institusi pendidikan kita perlu diperkasakan oleh setiap individu di dalamnya. Kita telah mempunyai satu sistem yang hampir sempurna. Yang perlu difikirkan dan diselesaikan ialah manusia di dalamnya yang harus melakukan transformasi minda yang menggerakkannya untuk melakukannya dengan lebih baik, sedia berubah dan mengambil tindakan yang perlu dengan penuh kasih sayang bagi membangunkan generasi akan datang.
Proses pendidikan bukan hanya tiket untuk mendapat sijil, diploma dan ijazah, tetapi berupaya melahirkan insan yang mampu berfikir secara berhemah, bijaksana dan berpegang kepada nilai universal dengan berjiwa kemanusiaannya yang kental. Ia harus bermula dalam kalangan mereka yang berada di dalam institusi-institusi berkenaan.
Tahun 2010 seharusnya membuka lebih laluan untuk kita berfikir dengan penuh inovatif dan kreatif sesuai dengan perisytiharan Perdana Menteri baru-baru ini.
Kita harus bersama-sama mencari jalan terbaik untuk menjadikan 2010 lebih membahagiakan dan meningkatkan tahap keceriaan hidup kita.
Kebahagiaan dan keceriaan tidak hanya diperolehi dengan harta benda, tetapi ketenangan jiwa dan kasih kasih melimpah-ruah yang menghormati orang lain, bertoleransi, tenang dalam tindakan, mempunyai akauntabiliti dan integriti yang tinggi serta tidak mudah menuding jari.
Sebaliknya kita sedar yang setiap rakyat ada peranan yang harus dimainkan, tidak kira siapa dan apa yang kita lakukan.
- UTUSAN