FBI dedah fail siasatan Jacko


LOS ANGELES - Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) kelmarin mendedahkan ratusan muka surat fail-fail siasatan penyanyi Michael Jackson.

Antara pendedahan itu ialah FBI membantu siasatan pencabulan kanak-kanak melibatkan Michael yang popular dengan panggilan Jacko.

Agensi itu mengeluarkan lebih 300 muka surat melibatkan beberapa dokumen berkaitan Michael yang meninggal dunia pada Jun lepas semasa berumur 50 tahun kerana pengambilan ubat terkawal secara berlebihan.

Dokumen-dokumen itu tidak mengandungi sebarang maklumat terbaru mengenai kematian misteri Michael yang menjadi kes jenayah membabitkan doktor peribadi penyanyi tersebut, Conrad Murray.

Bagaimanapun, fail-fail itu mendedahkan maklumat mengenai satu komplot pada 1992 membabitkan seorang penghendap yang mengancam untuk membunuh Michael.

Lelaki itu turut membuat dakwaan palsu bahawa dia adalah anak Ketua Mafia New York, John Gotti.

Beberapa lagi dokumen menyatakan, FBI menghulurkan bantuan dalam siasatan berhubung dakwaan pencabulan kanak-kanak terhadap Michael dari tahun 1993 hingga 2003.

Raja Pop itu akhirnya bebas dari semua tuduhan pencabulan kanak-kanak pada perbicaraan di California pada 2005.

- Agensi

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url