Maya mampu tarik penonton Nona
Tahun 2010 menyaksikan program majalah wanita ulung negara, Nona bakal menginjak usia 25 tahun. Sepanjang 24 tahun bersiaran sejak tahun 1985, sememangnya tidak dapat dinafikan lagi program terbitan TV3 itu telah meninggalkan impak yang cukup besar.
Apatah lagi, isi kandungan dan pendekatannya yang penuh informasi dan inovatif tentang kehendak golongan wanita di negara ini menjadikan Nona sebagai santapan wajib setiap minggu.
Namun, harus diakui tunjang utama kejayaan dan kekuatan Nona sebenarnya terletak pada pengacaranya yang menghiasi kaca televisyen saban minggu.
Nama-nama seperti Azizah Mahzan, Dian P. Ramlee, Ezzah Aziz Fawzy, Nurfarahin Jamsari, Azizah Ariffin, Norish Karman, Datin Norjuma Habib Mohamed, Nurul Syuhada Nurul Ain dan terbaru, Siti Hasfizza Aswaty Sab Jahan atau Fizza merupakan wajah-wajah yang pernah mengendalikan program ini.
Tetapi, Datin Seri Normala Shamsuddin yang pernah menggalas tanggungjawab itu merupakan pengacara Nona yang paling popular dan diminati ramai sehingga rating rancangan itu mencanak naik.
Pernah juga rancangan Nona mencatatkan rating setinggi 2 juta penonton pada tahun 2008 apabila pertama kali Fizza muncul di kaca televisyen.
Biarpun kini sambutan yang diberikan terhadap rancangan itu hanya mencatatkan rating sekitar 1.3 hingga 1.5 juta setiap minggu tetapi Nona tetap kukuh di persada seni tanah air.
Kerana itu jugalah, TV3 tidak silap langkah dan percaturan apabila memilih artis ternama, Maya Karin untuk mengemudikan Nona untuk tahun 2010.
sudah teruji
Sememangnya pemilihan Maya dilihat cukup bertepatan memandangkan kredibiliti dan kemampuan Maya sebagai seorang pengacara sudah teruji sebelum ini.
Dan, TV3 juga tidak menafikan bahawa mereka memilih Maya juga adalah mahu Nona terus mencatatkan rating tinggi setiap minggu apabila musim barunya mula ditayangkan bermula 3 Januari depan.
Ini diakui sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan yang mahu mengambil pendekatan baru dalam memberikan sesuatu yang segar kepada penonton setia Nona.
Katanya, pemilihan Maya dibuat berdasarkan penyelidikan serta maklum balas yang diterima daripada pelbagai pihak.
Dia juga menambah selain Maya, ada beberapa nama lain telah disenaraikan tetapi akhirnya pelakon jelita itu dipilih berdasarkan kemampuannya.
"Kami juga mahu bereksperimen dan mahu melihat sejauh manakah penerimaan penonton setia Nona dengan pemilihan Maya sebagai pengacara.
"Bukan itu sahaja, kami juga percaya bahawa Maya mampu memberikan kelainan dengan gaya dan caranya yang tersendiri dalam mengendalikan Nona," ujarnya kepada pihak media pada Majlis Koktel Raikan Nona 2010 di Hotel Crowne Plaza Mutiara, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Penerbit Nona, Syarida Sharif atau lebih mesra disapa Sherry.
Persoalan yang mula bermain di fikiran tatkala itu adakah TV3 kurang yakin dengan kemampuan kakitangannya sendiri untuk meneruskan legasi Nona sehingga perlu mencari wajah popular mengendalikan Nona?
Fizza misalnya merupakan bakat yang dicungkil menerusi rancangan Pesona Nona 2007 dan selama setahun mengendalikan Nona, dia juga memiliki gaya persembahan yang tersendiri.
Menjawab persoalan itu, Farid menjelaskan, perkara itu bukanlah sesuatu yang aneh malah ia merupakan satu tradisi yang dilakukan oleh TV3 setiap dua hingga tiga tahun dalam mencari kelainan untuk Nona.
"Kami melihat pendekatan Fizza lebih kepada gaya bual bicara dan apabila kami meletakkannya dalam rancangan Wanita Hari Ini, ternyata dia kelihatan lebih berkeyakinan tinggi.
"Bukan bermakna dia tidak menjalankan tanggungjawabnya dengan baik sewaktu bersama Nona tetapi kami mahu memberi peluang kepada mereka ini untuk mencuba program yang lain pula," ujarnya panjang lebar.
Pada masa yang sama, Farid juga menyangkal dakwaan dan khabar angin yang mengatakan Maya kini sudah menjadi hak milik eksklusif TV3.
Bagi Maya pula, dia sememangnya teruja dan gembira dengan tawaran yang diberikan oleh TV3 kepadanya serta menyifatkannya bagai bulan jatuh ke riba.
Dan, jelas Maya lagi, gelaran sebagai seorang artis ternama bukanlah satu jaminan untuknya bagi mendapatkan tawaran itu kerana dia juga perlu menghadiri uji bakat.
Apatah lagi, sejak mula menceburkan diri dalam bidang seni pada tahun 2000, Maya sendiri sudah menyimpan hasrat dan memasang impian untuk bergelar pengacara Nona.
tertekan
"Walaupun begitu, saya tidak menafikan saya juga sedikit tertekan apabila memikirkan tentang penerimaan serta pengharapan orang ramai apabila memikul tanggungjawab ini.
"Memanglah sebelum ini pun saya pernah mengacarakan beberapa buah program tetapi melibatkan diri dalam Nona adalah pengalaman yang berbeza sekali.
"Saya cuba sedaya-upaya untuk tidak kelihatan sama dengan bekas pengacara Nona yang lain kerana saya mahu mempunyai identiti yang tersendiri," katanya yang anggun bergaun labuh rona firus pada malam itu dan tampil dengan penampilan terbaru demi menuntut watak dalam filem terbarunya, Cun Melecun yang kini sedang dalam penggambaran.
Sebelum Nona, aktres berdarah kacukan Jerman-Melayu ini pernah terlibat dalam beberapa buah program seperti Wavelength, Beauty Secrets From The East dan Ratu Sehari.
Teraju utama filem Pisau Cukur dan Anak Halal ini juga mengakui, dia berasa sedikit kekok pada hari pertama di lokasi.
Kini, selepas menjalani penggambaran sebanyak tujuh episod, Maya sudah dapat membiasakan diri dan semakin teruja untuk melalui hari-harinya selepas ini bersama Nona.
"Setakat ini semuanya berjalan lancar dan pihak produksi juga begitu fleksibel dalam mengatur jadual mereka agar tidak bertembung dengan penggambaran filem terbaru saya," kata Maya yang mengikat kontrak selama setahun dengan TV3 sebagai pengacara Nona.
Sementara itu, sebagai penerbit, Sherry menjelaskan, dia optimis dengan pemilihan Maya sebagai pengacara musim baru Nona.
Baginya, Maya memiliki karisma dan kredibilitinya yang tersendiri dalam usaha menarik perhatian penonton setia Nona dan juga penonton baru khususnya dari kaum lain.
"Tidak cukup dengan itu, Nona kali ini juga banyak berubah dari setiap segi termasuklah muzik tema, montaj serta sentuhan baru menerusi segmen yang ditampilkan.
"Bukan itu sahaja, wartawan penyiaran Nona untuk musim baru ini juga semuanya muka baru yang belum pernah terlibat dengan Nona.
"Jadi, saya percaya pendekatan baru ini mampu menarik perhatian ramai kelak," katanya yang mula menjadi penerbit Nona pada Mei 2008.
Segmen lama yang masih lagi dikekalkan tetapi akan diperlihatkan Fokus, Fesyen, Perkahwinan, Buletin dan Kecantikan.
Perkahwinan misalnya, antara segmen yang diminati dalam Nona akan memperlihatkan pendekatan dan sentuhan baru dalam mengeksploitasi dunia perkahwinan itu sendiri.
Nona 2010 turut menampilkan beberapa segmen baru seperti Dapur Nona, Mahligai, Kerjaya dan Memori Cinta yang akan memantapkan lagi perjalanan program tersebut.
- UTUSAN