Hijrah Rasulullah iktibar ummah kukuh ukhuwah - Sultan Kedah

PUTRAJAYA: Umat Islam diminta mengambil iktibar peristiwa pelantikan pengganti Nabi Muhammad SAW bagi memantapkan ikatan ukhuwah di kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mua'dzam Shah, bertitah ia kerana sikap toleransi dan mengutamakan kepentingan ummah ketika itu menyebabkan masalah diselesaikan dengan mudah.

“Umat Islam zaman itu berjaya mengamalkan sikap ukhuwah, silaturahim, hormat-menghormati, bantu-membantu dan berbaik sangka sesama mereka sama ada orang Islam atau bukan. Mereka juga dapat mengawal diri daripada fitnah, adu domba, buruk sangka dan apa saja sifat jahat.

“Dengan ini masyarakat dapat hidup dalam suasana aman, damai dan tenteram,” titah baginda merasmikan sambutan Maal Hijrah 1431 peringkat kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, semalam.

Hadir sama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Sakaran Dandai; bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Datuk Wan Muhammad Sheikh Abdul Aziz.

Baginda bertitah, umat Islam mesti meletakkan kepentingan syariat mengatasi segala-galanya kerana dengan berbuat demikian ummah akan selamat daripada pelbagai gangguan, tohmahan, pergeseran dan perpecahan.

“Umat Islam mesti membina jati diri yang unggul, memiliki dan mengamalkan sifat mahmudah dan menjauhkan sifat mazmumah, selain meletakkan kesatuan ummah melangkaui kepentingan diri dan kelompok.

“Umat Islam perlu mencontohi sikap, semangat, kepemimpinan dijana Nabi Muhammad yang terbukti mampu menghasilkan keadilan, ketulusan dan kebenaran,” titah baginda.

Tuanku Abdul Halim bertitah, tema sambutan Maal Hijrah tahun ini, ‘Memantap Ukhuwah Memperkasa Ummah’ bertepatan dengan tuntutan Islam yang mengutamakan persaudaraan dan kasih sayang dalam usaha memperkasakan ummah.

“Umat perlu kembali kepada kekuatan persaudaraan sebenar kerana hanya melalui ikatan ukhuwah yang kukuh memastikan kelangsungan ummah yang utuh.

“Semua pihak perlu memainkan peranan supaya hasrat ini tercapai. Perbezaan pendapat yang merugi dan memecahbelahkan ummah harus diselesai dengan bijaksana,” titah baginda.

Sementara itu, Jamil Khir meminta masjid lebih aktif sebagai nukleus, penggerak dan pembangun kecemerlangan umat di negara ini

Katanya, menjadi tanggungjawab umat Islam terutama ahli kariah mengurus dan mempelbagaikan kegiatan masjid dengan program spiritual, fizikal dan intelektual bagi melahirkan umat beriman, bertakwa dan berakhlak mulia.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url