Ilmu hitam di Selangor
Mungkinkah negeri paling maju di Malaysia, Selangor, sedang bergelut untuk membersihkan minda rakyatnya daripada pemikiran mundur iaitu mempercayai bomoh yang ramai bilangannya di negeri itu?
Baru-baru ini, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dilaporkan sedang giat memburu 20 orang bomoh yang dikesan menawarkan pelbagai khidmat seperti menilik nombor ekor, menjual tangkal pelaris perniagaan dan ubat pengasih untuk memikat wanita.
Pegawai Perhubungan Awam JAIS, Mohd. Hidayat Abd. Rani memberitahu Jurnal, 20 bomoh itu akan terus dipantau oleh pihaknya dan tindakan keras pasti diambil jika terbukti mereka melakukan penyelewengan.
"Selangor negeri maju yang menjadi tumpuan golongan perantau termasuk dari Indonesia. Mereka mungkin sudah memiliki ilmu itu sebelum sampai ke sini.
"Selain itu, faktor persekitaran dan permintaan juga memainkan peranan. Mereka tidak akan bergiat aktif kalau perkhidmatan mereka tidak mendapat sambutan daripada orang ramai.
"Lagipun bomoh juga mengikut perkembangan semasa terutama dari segi alatan dan khidmat yang ditawarkan bagi meyakinkan pelanggan," katanya.
Hukum pengamalnya
Selasa lalu, Mufti Selangor, Datuk Tamyes Abdul Wahid pula berkata, negeri itu sedang menimbangkan untuk mewujudkan satu enakmen bagi menyekat amalan sihir dan ilmu hitam.
"Ilmu sihir bercanggah dengan kehendak syarak. Masalahnya adalah untuk mendapatkan bukti bagi tujuan perundangan memandangkan ilmu sihir tidak dapat dilihat oleh pancaindera.
"Maka, kita harapkan cadangan yang dibincangkan di peringkat pakar membolehkan pembuktian dilakukan bagi melaksanakan apa-apa hukuman," katanya selepas merasmikan Muzakarah Pakar: Bentuk-bentuk Sihir Pengasih dan Metodologi Diagnosis di Shah Alam.
Tambah Tamyes, enakmen sedemikian perlu diwujudkan di negeri itu bagi membanteras penggunaan ilmu hitam yang semakin berleluasa terutama dalam perkahwinan dan aktiviti jenayah.
Jelasnya, sekiranya tiada enakmen tersebut, ia akan membolehkan pasangan suami isteri, bomoh atau penjenayah yang mengamalkan ilmu sihir dan melakukan jenayah serta menganiayai orang lain terlepas daripada hukuman kerana tiada peruntukan undang-undang.
Berdasarkan pengalaman penulis menemui beberapa 'pengamal perubatan tradisional' di Selangor, mereka dikenali kerana kepakaran tertentu seperti mampu mencari jodoh, merawat gangguan jin, urutan seksual lelaki malah mengubati sakit jantung.
Alatan-alatan yang digunakan untuk menjalankan upacara perbomohan itu pula agak pelik. Ini termasuk limau nipis, beras kunyit, daun sirih, pinang, kain kuning, keris kecil, gunting, pisau, tuala, telur dan bunga.
Persoalannya, bagaimanakah benda-benda tersebut mampu memberi manfaat apatah lagi mengubati orang yang sakit?
Profesor di Jabatan Fiqh dan Usul, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid, berpendapat, sesuatu yang ada pada alam ghaib yang tidak dapat dicapai oleh pancaindera dan tidak terdapat dalam al-Quran dan hadis adalah amalan yang mirip kepada nujum.
"Rasulullah sendiri melarang sesiapa daripada menggunakan khidmat nujum kerana mempercayai kata-kata mereka bagaikan mendustai ajaran Nabi Muhammad sendiri.
Ayat al-Quran diharuskan
"Malah ia membawa kepada amalan sihir yang merupakan tujuh amalan dosa besar yang membinasakan," kata Mahmood Zuhdi tegas.
Bicaranya lagi, Allah telah menjelaskan bahawa iblis dan syaitan itu tidak berupaya menguasai manusia, kecuali mereka yang tunduk menurut kehendak makhluk ini, yang terdiri daripada orang yang sesat.
"Penggunaan ayat-ayat al-Quran oleh mereka yang melibatkan diri dalam rawatan tradisional tidak membuktikan amalan mereka tidak bertentangan dengan ajaran Islam.
"Dalam jampi serapah Melayu yang sebahagian daripadanya dituturkan ketika melakukan rawatan melibatkan sebutan bismillah, salam, menyebut nama nabi, nama khalifah dan sebagainya, termasuk sebutan syahadah di akhir pertuturan tersebut," jelasnya.
Katanya lagi, lebih malang, mereka yang tidak mengetahui bahasa Arab meyakini orang yang menggunakan ayat-ayat al-Quran itu, pada hal sesetengah ayat itu telah diseleweng daripada ayat yang sebenar, pada barisnya atau kalimah tertentu.
"Penggunaan ayat-ayat al-Quran atau doa-doa diharuskan. Namun, sekiranya ia disertai dengan sihir, iaitu melibatkan jin, perbuatan tersebut adalah salah kerana amalan itu termasuk dalam kategori dosa besar iaitu sihir," terang beliau.
Mahmood Zuhdi juga menegaskan, sesuatu penyakit atau masalah berlaku disebabkan oleh faktor fizikal, mental juga saintifik.
"Lakukan semuanya dahulu. Demam bukan disebabkan gangguan jin tetapi ia terjadi disebabkan faktor fizikal badan yang lemah seperti perubahan cuaca.
"Seseorang juga harus berusaha sebaik mungkin dan diselarikan dengan tawakal sejak awal dan bukannya berserah semata-mata pada bomoh dan pawang," ujarnya.
- KOSMO!