Tangani kemurungan
rosmaliana@hmetro.com.my
Amalkan gaya hidup sihat. Tidak terkecuali, lakukan aktiviti senaman ringan sekurang-kurangnya berjoging bagi mengeluarkan peluh.
Ia mungkin nasihat yang sering didengari, namun itu antara cara mengelak seseorang daripada terjebak masalah kemurungan, kata penasihat psikiatrik Pusat Perubatan Sunway, Dr Ting Joe Hang.
Menurutnya, individu yang mengalami masalah kemurungan menyebabkan fikiran mereka terganggu hingga menjejaskan hubungan sosial.
Mereka juga akan berasa sedih berlebihan, cepat letih, buntu fikiran dan rasa rendah diri. Selain itu, mereka lazimnya mengalami gangguan ketika tidur, tiada selera makan dan putus asa.
Menurutnya, kebanyakan individu tidak tampil ke depan untuk berhadapan dengan masalah ini kerana beranggapan ia sesuatu yang remeh dan boleh dirawat dengan masa.
|
Malah individu terbabit beranggapan jika berjumpa pakar, masyarakat akan memandang serong dan menganggap mereka mempunyai masalah jiwa.
"Rasa malu untuk bersuara mengenai masalah dialami banyak mendorong mereka menyembunyikan hakikat sebenar hingga membawa kemudaratan kepada diri sendiri, keluarga dan rakan.
"Malah ada antara pesakit berada dalam peringkat kemurungan teruk hingga boleh menyebabkan mereka membuat keputusan untuk membunuh diri," katanya ketika ceramah mengenai cara menangani masalah kemurungan di pusat perubatan berkenaan di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.
Walaupun tidak banyak dilaporkan, menurutnya, ia antara kesan terburuk yang boleh berlaku kepada pesakit kemurungan melampau.
Ini menjadikan kemurungan sebagai masalah global yang boleh dialami semua peringkat masyarakat tanpa mengira bangsa dan pekerjaan.
Dianggarkan 15 hingga 20 peratus daripada penduduk di Malaysia mengalami masalah kemurungan. Ini menunjukkan penyakit berkenaan semakin menghantui masyarakat setempat.
Golongan yang kerap dikaitkan dengan masalah kemurungan adalah wanita kerana mereka mengalami kadar perubahan peringkat hormon terutama selepas mengalami haid, hamil, selepas bersalin, pramenopaus dan putus haid.
Atas dasar perubahan hormon ini, ia menyebabkan wanita paling ramai didapati mengalami kemurungan yang sedikit sebanyak memberi banyak tekanan dalam kehidupan seharian mereka.
Bagaimanapun, katanya, faktor genetik turut sama berperanan menyebabkan kemurungan selain faktor persekitaran dan gaya hidup.
"Ia boleh diwarisi jika ada antara ahli keluarga yang pernah mengalami masalah ini," katanya.
Selain itu Ting berkata, jangan terlalu memberi tekanan kepada diri untuk mencapai sesuatu yang tidak mampu dilaksanakan kerana ia boleh memberi kesan kepada emosi dan perasaan.
Dia menyarankan seseorang itu sentiasa membuat pertimbangan sewajarnya dalam keadaan tenang tanpa perlu tergesa-gesa bagi mengelakkan masalah tidak diingini pada masa depan.
"Justeru, kita seharusnya mendapatkan rehat yang cukup dan tidak terlalu berfikiran negatif sepanjang masa.
"Jalani hidup secara sederhana dan amalkan persaingan sihat sesama sendiri untuk mengelak tekanan terhadap diri sendiri," katanya.
- HARIAN METRO