Jus soli bukti kemurahan Melayu
Penganalisis politik yang juga tokoh akademik, Prof. Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, perbuatan yang berterusan mempersoalkan ketuanan Melayu adalah perbuatan biadap dan tidak menghormati kaum Melayu sebagai teras bangsa Malaysia.
"DAP sepatutnya bersyukur kerana diterima sebagai rakyat Malaysia melalui kaedah jus soli. Di China, kerakyatan ditentukan berdasarkan darah keturunan dan jika negara mengamalkan dasar yang sama, DAP dan kaum minoriti di negara ini adalah sekadar pendatang," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tulisan Awang Selamat dalam kolum di Utusan Malaysia hari ini yang membayangkan sama ada DAP cuba menjadikan negara ini sebagai sebuah republik kerana menolak ketuanan Melayu yang sekali gus turut menolak kedudukan Raja-Raja Melayu.
Bagi Awang Selamat, hasrat DAP itu jelas kerana secara sistematik pemimpin-pemimpin kanan parti itu mempersoalkan ketuanan Melayu yang didakwa kononnya menzalimi kaum lain, malah, lebih berani turut mempersoalkan peruntukan pembinaan banyak masjid berbanding rumah ibadat lain.
Ditanya sama ada DAP berhasrat untuk menjadikan negara ini sebuah republik, Mohamed berkata, semua orang sedar bahawa itulah matlamat parti pembangkang tersebut melalui perjuangan Malaysian Malaysianya.
Menurutnya, untuk mencapai matlamat Malaysian Malaysia, DAP perlu menghapuskan ketuanan Melayu dan kedudukan Raja-Raja Melayu kerana selagi raja mempunyai kuasa matlamat jahat mereka tidak akan tercapai.
"Sebab itu, DAP mempergunakan kumpulan politik Melayu untuk memecah-belah perpaduan masyarakat Melayu.
''Jika perpecahan berlaku, hasrat berkenaan lebih mudah dilaksanakan tanpa banyak penentangan. Pada ketika itu Melayu akan kembali menjadi seperti waktu dijajah dahulu," jelasnya.
Dalam pada itu, seorang lagi penganalisis politik, Prof. Datuk Dr. Zainal Kling berkata, tidak mustahil tragedi 13 Mei 1969 berulang tetapi dalam skala yang lebih besar jika orang Melayu tidak segera bersatu bagi menyekat cita-cita DAP yang mahu menjadikan Malaysia sebagai negara republik.
Jelasnya, kemungkinan itu berasas jika melihat kepada tindak tanduk DAP yang begitu 'rakus' mempersoal dan mengguris hati masyarakat Melayu dewasa ini.
"Itu sebelum mereka berkuasa ... bayangkan apa akan jadi jika negara ini dipimpin oleh DAP atau boneka mereka pada masa depan. Kita boleh menilai destinasi melalui langkah pertama (DAP) lagi. Sudah pasti tiada lagi ketuanan Melayu dan hak serta kuasa Raja-Raja Melayu juga akan dihapuskan.
"Jika ini berlaku, maka saya pasti tragedi berdarah akan berulang kembali kerana sebahagian besar masyarakat Melayu masih lagi menghormati raja memandang institusi tersebut adalah lambang sebuah identiti Melayu," katanya.
Mengulas lanjut, Zainal berkata, DAP mungkin percaya bahawa mereka akan berkuasa selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti, maka, pemikiran rakyat cuba dimomok secara agresif agar masyarakat menolak ketuanan Melayu.
"Ini bagi memastikan hasrat mereka untuk menjadikan negara ini sebagai sebuah negara republik lebih senang kerana pada masa itu nanti pemikiran-pemikiran Melayu moden ini sudah menolak semua yang menjadi asas yang dipertahankan dalam Perlembagaan," katanya.
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali percaya, usaha terancang DAP itu adalah lanjutan perjuangan komunis yang dijelmakan melalui pertubuhan politik.
Kata beliau, tindakan DAP secara berterusan mempersoalkan ketuanan Melayu adalah tidak lebih untuk meraih sokongan politik penduduk bukan Melayu, kerana fakta jelas membuktikan kaum minoriti di negara ini menikmati kehidupan yang selesa sehingga boleh menguasai ekonomi.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan supaya tidak berlembut dan memberi muka kepada golongan yang berani mempersoalkan Perlembagaan.
- UTUSAN