Kajian pilihan raya
Keputusan pilihan raya umum (PRU) ke-12 tahun lalu menyaksikan pelbagai fenomena menarik tercetus termasuk kelainan pola pengundian berbanding pilihan raya umum sebelum ini.
Umumnya, pola pengundian etnik kepada parti politik ternyata memberi kesan kepada sokongan dan kemenangan sesebuah parti kerajaan mahupun pembangkang.
Fenomena itu menarik minat pensyarah Jabatan Geografi, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Amer Saifude Ghazali untuk menjalankan penyelidikan mendalam berkaitan geografi pilihan raya menerusi kajian Model Kelakuan Pilihan Raya ke-12 dan implikasinya kepada PRU ke-13.
Menggunakan data kuantitatif pilihan raya dan penganalisaan statistik, kajian antara lain bertujuan mengenal pasti corak pelakuan pengundian berasaskan komposisi etnik, kewilayahan dan ruangan di negara ini.
Selain itu, kajian turut mencadang dan menjelaskan fenomena politik baru negara yang jelas menggambarkan kematangan masyarakat hari ini.
Amer Saifude berkata, kajian dilakukan dengan mengambil data kuantitatif keputusan pilihan raya parlimen dan dewan undangan rakyat (DUN) sebelum ini antaranya Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Manek Urai, Permatang Pasir dan Penanti.
Katanya, data kuantitatif merangkumi sokongan rakyat kepada parti dan komposisi etnik dalam kawasan pilihan raya mengikuti saluran pengundian.
“Hubungan antara komposisi etnik antara kawasan pengundian dan sokongan yang diperoleh parti di setiap saluran kemudian dikaji sehingga akhirnya kita berjaya merangka model pengundian dan sokongan.
“Model dikenali Model Kolerasi Pearson itu mampu dijadikan panduan kepada pihak tertentu khususnya parti politik bagi meramal sebarang keputusan sekiranya pilihan raya diadakan lagi selepas ini,” katanya kepada Berita Harian.
Beliau menjelaskan, Model Kolerasi Pearson merumuskan kawasan pilihan raya yang mempunyai komposisi pengundi Cina atau bukan Melayu lebih daripada 20 peratus berpotensi untuk dimenangi parti pembangkang.
Selain itu, katanya, penguasaan parti pembangkang di kawasan pilihan raya yang majoriti pengundi Cina atau bukan Melayu melebihi 50 peratus akan terus berkekalan.
“Lebih membimbangkan, model itu turut mendapati kawasan pilihan raya bercampur yang dikuasai parti Barisan Nasional dalam pilihan raya umum ke-12 yang bermajoriti sekitar 3,000 undi berpotensi untuk ditawan pembangkang pada pilihan raya akan datang.
“Justeru, sekiranya strategi atau langkah perubahan tidak dilakukan di kawasan berciri demikian, contohnya aspek kebajikan rakyat tidak diberikan atau kempen tidak ditumpukan, berkemungkinan berasaskan model ini, kawasan itu jatuh ke tangan pembangkang dan kerajaan akan gagal untuk terus menguasai kerusi di kawasan itu,” katanya.
Beliau berkata, peratusan tinggi etnik Melayu pula tidak menjanjikan kemenangan kepada kerajaan kerana berlaku pecahan antara pengundi Melayu yang menyokong pembangkang dan kerajaan.
Justeru katanya, komposisi dan majoriti pengundi etnik Cina serta bukan Melayu lebih tepat dijadikan kayu pengukur atau panduan bagi meramalkan kemenangan pihak kerajaan mahupun pembangkang.
Amer Saifude berkata, kajian yang meraih pingat emas pada Pameran Penyelidikan dan Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi Antarabangsa (Pecipta) 2009 di Kuala Lumpur itu dibuat memandangkan tiada penyelidikan berbentuk kuantitatif dilakukan mana-mana pihak sebelum ini di Malaysia.
Katanya, kebanyakan kajian pilihan raya yang dilakukan ketika ini lebih menumpukan kepada pendekatan kualitatif berdasarkan pemerhatian, perbualan atau temubual yang bersifat asas.
“Berbanding kuantitatif, dapatan kajian lebih mendalam kerana kita menganalisa statistik dan mengkaji hubungannya antara setiap parameter sekali gus memberi makna dan gambaran yang lebih luas terhadap faktor kemenangan dan kekalahan sesebuah parti dalam setiap pilihan raya.
“Malah, kajian akan menjadi lebih lengkap sekiranya kedua-dua pendekatan iaitu kualitatif dan kuantitatif digabungkan. Justeru kita mengalu-alukan mana-mana pihak termasuk parti politik untuk memanfaatkan Model Kolerasi Pearson sebagai panduan kepada corak pengundian dan sokongan yang bakal diperoleh pada pilihan raya akan datang,” katanya.
- BERITA HARIAN