Kepuasan bekerja sendiri

Seorang graduan yang memiliki Ijazah dalam bidang Komunikasi dan Pengajian Media (Kewartawanan), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Irawan Ibrahim memilih untuk menceburi bidang perniagaan.

Remaja
yang ditampilkan pada minggu ini memiliki jiwa keusahawanan yang besar apabila dia berani menyahut cabaran untuk berniaga sendiri di dalam bidang perkhidmatan teknologi dan informasi dalam usia yang masih muda.

Bagi sesetengah remaja yang memiliki segulung ijazah, sudah tentu mereka memilih untuk menyandang jawatan di salah sebuah syarikat.

Namun itu tidak berlaku pada Irawan Ibrahim, 26, apabila graduan yang memiliki ijazah dalam bidang Komunikasi dan Pengajian Media (Kewartawanan), Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu memilih untuk mencari wang dengan cara bekerja sendiri.

Bagi jejaka berasal dari Kem Terendak, Melaka itu, asalkan ada kemahuan, di situ pasti ada jalan.

"Strategi pemasaran yang baik memainkan peranan penting untuk menentukan kejayaan, mahupun kegagalan sesebuah perniagaan. Lantaran itu, saya menggunakan kemahiran komunikasi yang ada untuk menarik minat orang ramai menceburkan diri dalam bidang teknologi dan informasi,"ujarnya.

Untuk mengenali Irwan dengan lebih dekat, GenK mengajukan lima soalan kepadanya:

Kenapa memilih bidang keusahawanan?

Banyak kursus keusahawanan yang telah saya sertai. Antaranya kursus asas keusahawanan siswazah anjuran UiTM dan kursus-kursus keusahawanan anjuran badan-badan kerajaan mahupun swasta.

Secara tidak langsung, ia telah menyuntik semangat dan minat saya untuk menceburkan diri dalam bidang ini. Lebih-lebih lagi, saya juga mendapat dorongan daripada keluarga dan kawan-kawan.

Selain itu, bidang keusahawanan juga mempunyai hubung kait dengan apa yang saya pelajari semasa menuntut di dalam bidang komunikasi di UiTM dahulu.

Adakah anda terus mengambil keputusan untuk bekerja sendiri selepas tamat belajar?

Sebelum ini, saya pernah bekerja di Unit Perhubungan Antarabangsa, UiTM dalam skim khidmat pelajar. Namun, ia tidak memberi kepuasan.

Apakah impian dan harapan anda?

Impian saya agar dapat mengembangkan bidang keusahawanan ini dan menarik minat lebih ramai golongan muda lain untuk menceburkan diri.

Saya juga akan mencuba sedaya-upaya untuk menjadi usahawan berjaya di dalam bidang perkhidmatan kelak.

Saya menjadikan Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary dan adik- beradik Kumpulan Naza sebagai idola.

Apakah hobi anda pada masa lapang?

Saya sangat suka membaca bahan-bahan ilmiah termasuk surat khabar dan majalah. Selain itu, saya juga gemar melancong di dalam Malaysia. Namun, saya menyimpan keinginan untuk menjelajah di seluruh dunia.

Tip kepada remaja yang ingin menceburkan diri dalam bidang keusahawanan?

Pastikan anda memulakan perniagaan sendiri berdasarkan sesuatu yang anda benar-benar mahu dan minat. Gunakan segala bakat dan minat ke arah yang lebih baik. Jangan berputus asa dalam mengejar impian dan sentiasa bersikap positif.

- KOSMO!

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url