Keterujaan Twitter - Seronok bila ada pengikut
adham.shadan@kosmo.com.my
Jika kebanyakan laman sosial yang lain menggunakan istilah friends (kawan) bagi merujuk kenalan dalam laman, Twitter membahagikan kenalan dengan dua istilah iaitu followers (pengikut) dan following (orang yang kita ikut).
Jika anda ingin mengetahui apakah perkataan yang paling popular pada tahun ini, topik artikel ini adalah jawapannya. Menurut Global Language Monitor, perkataan Twitter paling banyak digunakan di seluruh dunia pada tahun ini mengalahkan perkataan Obama dan H1N1.
Meskipun penggunaannya di Malaysia belum cukup meluas, namun Twitter yang merujuk kepada satu media rangkaian sosial atau perkhidmatan menulis blog mikro sudah menjadi fenomena di dunia.
Twitter mula dicipta oleh Jack Dorsey pada 2006. Tahun demi tahun, popularitinya meningkat dan ia mula menyaingi pesaingnya. Nielsen.com pernah melaporkan Twitter merupakan laman Internet yang paling pantas berkembang (bagi kategori laman komuniti) dengan peratusan kenaikan bulanannya 1,382 peratus, diikuti Zimbio 240 peratus dan Facebook 228 peratus.
Twitter meledak bagaikan satu letusan. Di Amerika Syarikat (AS) sahaja, daripada seramai 500,000 pengunjung pada Februari 2008, ia melonjak sehingga 23 juta pada Julai tahun ini.
Selebriti
Digunakan oleh selebriti dan ahli politik berpengaruh dunia seperti Barack Obama, Lance Armstrong, Oprah Winfrey, Demi Moore dan Ashton Kutcher, ia sedikit sebanyak meningkatkan popularitinya.
Bukan sekadar menjadi medan untuk berkawan atau mencari kenalan baru, ia juga digunakan sebagai medium untuk mendapatkan informasi dan menjadi alat untuk pelbagai perkara. Twitter digunakan sebagai alat publisiti dalam pilihan raya Presiden AS 2008, digunakan oleh para pemprotes pilihan raya Presiden Iran 2009, digunakan untuk mengemas kini perkembangan wabak H1N1 dan memberi maklumat tentang serangan di Mumbai, India.
Kegilaan terhadapnya juga telah menyebabkan beberapa syarikat tampil dengan gajet khas melayari Twitter seperti TwitterPeek keluaran syarikat gajet digital Peek. Di Jepun, Twitter versi bahasa Jepun untuk telefon bimbit turut dihasilkan.
Twitter secara asasnya digunakan untuk mengemas kini status pengguna. Dengan pertanyaan what's happenning?, anda boleh memberitahu semua orang apa yang sedang anda lakukan atau apa yang sedang berlaku. Ia bukan terhad kepada rakan anda sahaja. Sebab itulah, ada yang menyifatkannya sebagai kiriman sistem pesanan ringkas (SMS) ke seluruh dunia, jika mereka mahu membacanya.
Sebaik sahaja mendaftar sebagai pengguna Twitter, anda boleh menulis mesej yang dinamakan tweet. Setiap tweet hanya membolehkan anda menulis mesej ringkas sehingga 140 aksara.
Penulis buku, Alain de Button menyifatkan: "Menerima tweet ibarat seorang rakan sedang berbisik sesuatu ke telinga anda. Twitter bagai satu cara untuk anda memastikan yang anda terus berhubung dengan seseorang dan seseorang akan kekal bersama anda."
Pengasas bersama ImageShack, Jack Levin pula menggelar Twitter sebagai hibrid mesej segera (instant messenger) dan e-mel.
Followers dan Following
Di Malaysia, Twitter sudah mula meraih perhatian terutamanya sejak awal tahun ini. Simbol burung comel pada Twitter juga sudah semakin banyak dilihat terutamanya di laman-laman iklan.
Jika kebanyakan laman sosial yang lain menggunakan istilah friends (kawan) bagi merujuk kenalan dalam laman, Twitter membahagikan kenalan dengan dua istilah iaitu followers (pengikut) dan following (orang yang kita ikut).
Seorang blogger yang mula menggilai Twitter, Shafique Shuib, 23, menjelaskan, pengikut ialah individu-individu yang berminat untuk mengikuti perkembangan kita dan kita sanggup berkongsi maklumat dengan mereka. Tetapi, kita tidak memerlukan maklumat daripada diri mereka.
"Following pula ialah orang yang kita ingin mengikuti tentangnya. Maka, tweet yang dia tulis akan dikirimkan kepada kita dan tertera pada laman Twitter kita.
"Justeru, ada kenalan yang mungkin followers sahaja atau following sahaja dan ada yang menjadi kedua-duanya," jelas Shafique ketika ditemui di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Shafique mengakui, pada awalnya, dia juga berasa Twitter tidak menyeronokkan.
Tulis mesej penting
"Masa mula-mula menyertai Twitter, saya tidak faham apa yang menyeronokkan tentangnya. Sudahlah pada masa itu, tak ramai kawan yang ada Twitter. Jadi, saya tak tahu nak berborak dengan siapa.
"Saya tertanya-tanya juga, kalau saya tulis mesej, adakah orang akan baca. Jadi, pada satu hari, saya tulis satu mesej yang sangat bermakna. Tak sangka selepas itu, ada orang nak jadi 'pengikut' saya. Memang seronok bila sudah ada 'pengikut'," katanya yang kini sudah memiliki 239 followers dan 145 following. Antaranya, Sazzy Falak, Oprah, Ellen DeGeneres, Ashton Kutcher dan Demi Moore. Terdapat juga kenalan dari AS, Singapura dan Brunei.
Shafique secara tidak langsung menegaskan, itulah tip bagi mereka yang baru hendak memulakan Twitter. Tulis mesej yang benar-benar penting atau bermakna!
Shafique yang asalnya merupakan pengguna aktif Facebook berkata, kini dia lebih banyak meluangkan masa di Twitter berbanding Facebook.
"Kalau saya tidak menggunakan komputer riba, saya akan melayari Twitter dengan telefon BlackBerry saya," katanya.
Ditanya bagaimana untuk menambah kenalan, Shafique berkata selain pergi terus ke alamat halaman Twitter individu berkenaan, Twitter turut menganjurkan Follow Friday untuk mempromosikan kenalan-kenalan kita kepada orang lain pada hari Jumaat.
Menyifatkan Twitter sebagai kaedah menjenamakan diri, Shafique berkata, sebagai blogger, laman itu nyata membantu dalam meneruskan minat penulisan blog atau mempromosikan blog.
"Kadangkala saya tak sempat hendak menulis artikel yang panjang dalam blog. Jadi, saya hanya mengemas kini status di Twitter sahaja. Kalau saya sudah kemas kini blog, saya cuma tweet untuk beritahu bahawa saya sudah kemas kini blog. Kaedah ini dapat membantu menaikkan rating blog seseorang," katanya yang merupakan pemilik blog shafiqueshuib.com.
Ditanya tentang mesej tweet yang begitu ringkas, Shafique berkata, keadaan itu memerlukan pengguna untuk menulis maklumat yang dirasakan perlu sahaja.
"Ia tidak menjadi masalah sangat sebab kami boleh menggunakan bahasa ringkas SMS. Untuk berkongsi maklumat, kadang-kadang kami hanya memasukkan pautan ke laman web dan untuk berkongsi gambar, kami menggunakan laman Twitpic," katanya.
Shafique bagaimanapun mengingatkan pengguna Twitter agar tidak terlalu ghairah mengklik pada pautan yang dikirimkan seseorang kerana bimbang mengandungi virus.
Terbuka dan global
Sementara itu, pengguna Twitter, Grace Look, 22, berkata, sejak menyertai komuniti Twitter pada Mei lalu, dia merasakan Twitter adalah sebahagian sumber maklumatnya.
"Saya sangat suka Twitter. Sukar untuk saya mengatakan apa yang saya tidak suka tentangnya. Ia sangat terbuka dan global. Pernah saya bercadang hendak membeli komputer riba, lalu saya tulis mesej pertanyaan di Twitter, komputer riba bagaimana yang lebih baik? Tidak sangka ada orang jawab dan orang itu bukan kenalan saya.
"Dari situ, saya membina kenalan dan mengenal kepakaran kenalan-kenalan saya. Kemudian, saya mengkategorikan kenalan-kenalan mengikut kepakaran mereka menerusi aplikasi Tweetdeck," ujar eksekutif pemasaran itu yang kini mempunyai lebih 437 followers dan lebih 300 following.
Lebih menyeronokkan Grace apabila novelis terkenal yang begitu diminatinya, Paulo Coelho menjadi pengikutnya (followers).
"Bermakna, bukan sahaja saya mengikuti perkembangannya, bahkan dia juga mengikuti perkembangan saya," ujarnya.
Ditanya siapakah yang lazim menjadi komuniti Twitter, Grace berkata, berdasarkan pandangan peribadinya, pengguna Twitter ialah individu yang mempunyai sifat ingin tahu dan up to date.
"Twitter bukan sahaja tempat untuk individu berhubung atau memastikan dirinya tidak berjauhan dengan rakan dan kenalan tetapi juga tempat untuk bertanya dan mengetahui banyak perkara," katanya.
- KOSMO!