Norasni Ayob - Pegang konsep setia


>Profil

NAMA: Norasni Ayob

JAWATAN: Pengarah Bahagian Deposit dan Pengurusan Saluran, Perkhidmatan Peruncitan Perbankan dan Sokongan, Public Bank

PENDIDIKAN TERTINGGI: Sarjana Pengurusan Perniagaan, Universiti Nottingham Trent, United Kingdom

STATUS: Kahwin

ANAK: Mohd Nirwan, 26, Nor Emelia Ilyana, 21, Mohd Nazman Shah, 16

Bermula sebagai pegawai operasi sebaik menamatkan pengajian dalam bidang pengurusan pelancongan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), tidak mematahkan hasrat Norasni Ayob, 47, untuk memiliki kerjaya dalam bidang perbankan biarpun diploma diperolehnya 25 tahun lalu berbeza bidang.

Daya juangnya yang tinggi dan komitmen dalam kerjaya sering diletak di tempat teratas, membariskannya sebagai antara pencetus wanita Bumiputera dalam industri perbankan.

Resipi kejayaannya adalah kerja keras selain mempertaruhkan kesetiaan dengan tidak pernah bertukar kerjaya sebaliknya setia dengan satu bank saja walaupun tawaran mencurah diterima daripada bank lain.

Tugasnya sebagai pengurus Melayu pertama bank yang dianggap gergasi ini ketika 1990 di cawangan Port Dickson, Negeri Sembilan, terus melonjakkan kedudukannya.

"Apa yang penting bagi saya adalah setia. Saya tidak suka melompat kerja semata-mata untuk mengejar gaji lebih seperti dilakukan kebanyakan anak muda hari ini yang akhirnya tidak ke mana.

"Pada saya, kalau kita kekal dalam tempoh yang lama, akhirnya mendapat ganjaran. Raih sebanyak mungkin pengalaman, isikan diri dengan ilmu bantu dan cedok pengetahuan yang pasti membolehkan kita mendapat kepercayaan berbaloi suatu hari nanti," jelas ibu kepada tiga anak ini apabila ditanya mengenai prinsip diamalkannya.

Menggalas tugas kini sebagai pengarah bahagian, menyertai ahli majlis mesyuarat gabungan seluruh industri perbankan, aktif mengaplikasi sistem perbankan di samping terbabit dalam aspek penggalakan orang ramai memanfaatkan e-payment, bukanlah suatu tugas mudah.

Beliau juga sentiasa komited mengepalai perbincangan bersama ahli bank dan orang ramai serta menjalin hubungan dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri selain berperanan dalam aspek periklanan.

"Saya tidak berasakan tugas sebagai satu beban. Bahkan, ia sesuatu yang memberangsangkan dan memberi kekuatan berdepan dengan masalah selain mencabar diri sendiri kerana sememangnya saya sukakan cabaran.

"Apabila melakukan sesuatu didorong minat yang mendalam selain iltizam untuk berjaya, ia pemangkin hebat dalam diri ini. Apabila dapat menempatkan diri di bidang perbankan dan kebanyakannya dimonopoli bukan Bumiputera terutama dalam jawatan berprofil tinggi, ia sesuatu yang memberangsangkan.

"Apa yang terpenting bukan jawatan semata-mata, tetapi apabila diberi peluang, dahulukan kejujuran serta amanah di samping buktikan kita mampu melaksanakan tanggungjawab yang besar dengan berhemah," katanya.

Menurutnya, wanita yang berkedudukan tinggi dan berjawatan penting dalam industri perbankan boleh dibilang dengan jari. Namun, beliau amat berharap supaya golongan hawa menguasai bidang itu untuk menjadi penerus dalam mengembangkan kerjaya berkenaan.

Sifat keprihatinannya yang nyata, beliau suka membantu bahkan sering memberi peluang kepada golongan muda terutama mereka yang susah untuk bekerja di bank berkenaan.

Tugas yang disandang kini agak besar tanggungjawabnya, tetapi Norasni mengakui selain komited, banyak pengorbanan diri diperlukan untuk berjaya. Antaranya, sanggup pulang lewat malam dan bersedia dihantar ke mana saja apatah lagi dalam diari hidupnya tiada jalan pintas untuk berjaya.

"Saya berterima kasih kepada keluarga terutama suami dan anak yang tidak pernah merungut walaupun sering ditinggalkan. Ada kalanya kerjaya menuntut saya ke luar daerah bahkan ke luar negara dan suami banyak mengambil peranan menjaga anak.

"Semangat yang diterapkan kedua-dua orang tua saya juga saya manfaatkan. Pada saya, persefahaman dan kejujuran amat penting dalam memacu kebahagiaan rumah tangga.

"Untuk itu, selepas banyak tugasan di luar, apabila pulang saya seolah-olah membayar pengorbanan keluarga dengan cara tersendiri sama ada keluar makan bersama atau bercuti," kata wanita yang sentiasa menjaga penampilan ini.

Wanita berasal dari Kota Bharu, Kelantan ini tidak hanya bangga mewarisi darah Cik Siti Wan Kembang yang terkenal dengan semangat kental serta mendahulukan kerja keras sebagai sandaran malah akur nilai positif dan semangat ingin sentiasa maju meletakkan dirinya pada tahap sekarang.

- HARIAN METRO

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url