Pensyarah turut berkhatan
ROMPIN 16 Dis. 2009 - Berkhatan selalunya dikaitkan dengan kanak-kanak yang akan memasuki alam dewasa tetapi lain pula ceritanya di Kampung Pontian Jaya di sini semalam.
Selain 15 kanak-kanak lelaki dan perempuan, majlis berkhatan dianjurkan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) itu turut disertai empat orang dewasa, masing-masing dua lelaki dan dua wanita.
Malah lebih menarik, salah seorang peserta adalah pensyarah sebuah kolej yang baru memeluk Islam.
Pegawai Agama Islam Daerah Rompin, Adnan Mohamad menjelaskan, kesemua mereka adalah penduduk Orang Asli di kawasan itu yang memeluk Islam dengan bantuan JAIP.
"Kita memang membantu mereka mendalami Islam dengan pelbagai cara termasuk mengadakan kelas fardu ain," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pengislaman dan Berkhatan Bagi Saudara Baru di sini semalam.
Sementara itu, Adam Zaidi Mahidin, 24, yang merupakan pensyarah kolej, bersyukur kerana niatnya untuk memeluk agama Islam terlaksana.
"Gurauan rakan sekerja untuk menakut-nakutkan saya sebelum berkhatan sama sekali tidak benar kerana ia tidaklah teruk seperti yang digambarkan," jelasnya yang kini menetap di Kuala Lumpur.
Tambahnya, selepas memeluk Islam, dia mengakui semakin tenang dan mempunyai hala tuju dalam kehidupannya.
Bagi Chia Tek Chong, 23, keinginan untuk mendalami Islam adalah kehendaknya sendiri tanpa paksaan atau pun untuk berkahwin.
"Saya terpaksa merahsiakan perkara ini (memeluk Islam) kerana mereka tak mengizinkan.
"Buat masa ini saya akan tinggal bersama seorang abang angkat di Kampung Sungai Meranti di sini bagi membantu saya untuk mendalami Islam," ujarnya yang merupakan seorang pekerja kilang.
- UTUSAN