PM gembira Piala Monsun ditonton 1 bilion orang

KUALA TERENGGANU 6 Dis. 2009 - Datuk Seri Najib Tun Razak gembira dengan sambutan terhadap penganjuran kejohanan kapal layar Piala Monsun di Pulau Duyong di sini yang berakhir hari ini.

Perdana Menteri berkata, kejohanan tersebut telah menarik kira-kira satu bilion penonton dari seluruh dunia yang menyaksikan kejohanan itu menerusi televisyen.

Berdasarkan sambutan positif itu, kata beliau, kejohanan berprestij itu akan diteruskan sehingga 2012 yang mana kontrak penganjurannya berakhir.

Menurutnya, selepas tarikh itu, kerajaan akan menyerahkan kepada Kementerian Belia dan Sukan untuk mempertimbangkan sama ada untuk meneruskan atau sebaliknya kejohanan tersebut.

''Alhamdulillah, saya nampak Piala Monsun dapat sambutan kian meningkat dan saya berbual dengan pihak penganjur, mereka dapati kualiti penyertaan bertambah dan Piala Monsun dijadikan acara kelayakan amat penting.

''Kita lihat dari segi bilangan yang menonton menerusi televisyen mencecah satu bilion di seluruh dunia.

''Ini tentu sekali menunjukkan Piala Monsun mendapat sambutan di persada antarabangsa dan berharap peserta tempatan dapat beri saingan pada kejohanan tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan penyerahan Bantuan Ihsan Bencana Banjir peringkat daerah Kuala Terengganu di Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks Gong Badak di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Datuk Tengku Putera Tengku Awang yang mewakili Menteri Besar Terengganu dan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Mokhtar Nong.

Menurut Perdana Menteri, Piala Monsun kali ini juga berjaya membantu juragan pasukan Black Match Racing iaitu Adam Minoprio yang menjadi juara baru dunia hasil kejayaan pada pusingan kelayakan di Kuala Terengganu.

''Dia tak mungkin dapat jadi juara dunia, jadi menerusi Piala Monsun ini, kita berjaya lahirkan pemenang atau juara dunia ini," kata beliau.

Kemenangan itu membolehkan pelayar dari New Zealand berusia 24 tahun itu dinobatkan sebagai juara WMRT ISAF dengan mengumpul 138 mata selepas melalui sembilan sirkit jelajah dunia itu.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url