Potongan 30% saman bagi pesalah jalan raya
Timbalan Ketua Pengarah JPJ, Ruhaizah Mohamad Rashid berkata, pihak JPJ akan memberikan potongan kepada pembayar yang mematuhi tempoh tersebut.
"Selepas 15 hari saman itu tidak dibayar, kadar potongan berkurangan kepada 15 peratus dan jika ia tidak dijelaskan dalam tempoh 30 hari dari tarikh saman dikeluarkan maka tiada potongan akan diberikan," kata beliau.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Lesen dan Penutup Program Satu Komuniti dan Satu JPJ (SKSJ) di Dewan Orang Ramai Felda Raja Alias II Jempol di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengarah JPJ negeri Mohd. Kamal Saad. Pada majlis berkenaan sebanyak 672 penunggang motosikal di Felda Raja Alias 2 serta kawasan sekitar menerima lesen kelas B2.
Kata Ruhaizah, pembayaran saman boleh dibuat secara dalam talian sekali gus membolehkan pembayar melangsaikan saman mereka dengan pantas selain tidak perlu beratur lama di kaunter JPJ.
''Pesalah lalu lintas ini boleh melakukan pembayaran melalui Internet untuk memudahkan mereka kerana ia dapat menjimatkan masa serta dapat dilakukan dengan pantas.
''Potongan harga ini dikuatkuasakan sejak dua minggu lalu untuk memastikan pesalah lalu lintas membayar saman dengan segera," jelas beliau.
Mengulas lanjut mengenai program SKSJ, beliau memberitahu, seramai 672 peserta yang terdiri daripada warga penduduk Felda Raja Alias II dan masyarakat orang Asli hari ini diberikan lesen motosikal yang sah.
''Ia bertujuan membantu setiap warga Felda dan orang Asli yang kurang berkemampuan untuk memiliki lesen sekali gus mereka boleh menunggang dengan keadaan selamat dan dilindungi insurans.
''Program ini menyasarkan penyertaan individu yang berusia 45 tahun ke atas yang kurang berpengetahuan dan juga tidak berkemampuan," ujar beliau.
Menurut beliau, pelaksanaan program sedemikian adalah bagi membolehkan golongan tersebut memperoleh lesen terutama yang sudah berkali-kali gagal untuk mendapatkannya.
''Selain itu ia juga membantu golongan berpendapatan rendah untuk mendapatkan lesen. Bayaran serendah RM140 dikenakan berbanding yuran di sekolah memandu. Yuran ini berpatutan dan mampu untuk semua golongan miskin," kata beliau.
- UTUSAN