PNB umum agihan ASN 5.20 sen seunit

KUALA LUMPUR 23 Dis. 2009 - Permodalan Nasional Berhad (PNB) hari ini mengumumkan agihan pendapatan Amanah Saham Nasional (ASN) sebanyak 5.20 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2009.

Jumlah agihan itu adalah lebih rendah jika dibandingkan dengan 5.55 sen yang diumumkan pada tahun lalu tetapi jumlah peruntukan bayarannya meningkat kepada RM81.52 juta berbanding RM79.9 juta pada tahun lalu.

Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, pembayaran itu dijangka akan dimanfaatkan oleh 1.19 juta pemegang unit yang melanggan lebih 1.57 bilion unit ASN, dana amanah yang harganya mengikut pasaran.

Berdasarkan nilai aset bersih (NAB) ASN iaitu sebanyak RM0.7586 seunit dalam tempoh kewangan, kadar hasil agihan pendapatan yang diperoleh pemegang unit adalah 7.36 peratus, manakala pulangan harga ASN bagi tempoh yang sama adalah sebanyak 25.75 peratus.

''Berdasarkan kenaikan NAB ASN daripada RM0.5619 seunit pada 31 Disember 2008 kepada RM0.7586 seunit pada 22 Disember 2009, jumlah pulangan yang dicatatkan ASN adalah 35.01 peratus," katanya ketika mengumumkan agihan pendapatan ASN di sini hari ini.

Turut hadir Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Ahmad Sarji berkata, sehingga 22 Disember lalu ASN telah memperolehi pendapatan kasar RM87.91 juta.

Pendapatan daripada jualan saham menyumbang RM55.46 juta, atau 63.09 peratus, diikuti oleh pendapatan dividen yang diterima dari syarikat pelaburan sebanyak RM23.75 juta atau 27.02 peratus. Baki RM8.70 juta atau 9.89 peratus adalah pendapatan dari pelaburan jangka pendek, kata beliau,.

Beliau berkata, semua urus niaga ASN ditangguhkan mulai hari ini sehingga 3 Januari tahun depan bagi pengiraan agihan pendapatan tahun 2009.

''Pemegang unit boleh mengemaskan buku pelaburan ASN masing-masing di ibu pejabat dan pejabat-pejabat ASNB atau ejen-ejen ASNB di seluruh negara mulai 4 Januari 2010," katanya.

ASN merupakan tabung pertumbuhan yang dilancarkan pada 20 April 1981 yang bermatlamat menjana pengagihan pendapatan dan peningkatan modal yang berpatutan melalui pelaburan dalam pelbagai portfolio.

- UTUSAN

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url