Saudagar bayi
KUALA LUMPUR: ‘Beli’ RM2,000, jual RM20,000. Keuntungan lumayan itu diperoleh seorang wanita dikenali sebagai ‘Aunty’ yang bijak menabur janji manis memujuk warga asing sedang mengandung anak luar nikah, kononnya mahu mencarikan keluarga untuk memelihara bayi bakal dilahirkan.
Imbuhannya, wanita terbabit ditawarkan RM5,000 sebagai sagu hati, selain akan menjaga serta membawa mereka ke klinik bersalin swasta bagi menjalani pemeriksaan kesihatan sehingga melahirkan anak.
Bagaimanapun, bayi terbabit dijual pada harga antara RM15,000 hingga RM20,000 kepada pasangan terdesak yang mengimpikan cahaya mata termasuk golongan profesional seperti pensyarah, pengurus syarikat dan pembantu akaun.
Wanita terbabit pula hanya dibayar RM2,000 berbanding RM5,000 dijanjikan dengan alasan bayi yang mereka lahirkan perempuan serta tidak cantik.
Kegiatan sindiket didalangi wanita berusia 50-an dan keluarganya itu bagaimanapun dihidu pihak berkuasa dan mereka tumpas dalam beberapa serbuan di sekitar Banting, Klang dan Kajang melalui Ops Kasih yang dilakukan minggu lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata, taktik sindiket itu ialah dengan menawarkan perlindungan kepada wanita hamil luar nikah di kediaman mereka di Banting, Selangor.
“Kebanyakan wanita warga asing terbabit dari Indonesia, Vietnam dan Filipina dan terjebak dengan masalah sosial. Mereka tidak mahu bayi yang dikandung dan sindiket ini akan menjaga serta membawa mereka ke klinik bersalin swasta bagi menjalani pemeriksaan kesihatan sehingga melahirkan anak.
“Bayi yang dilahirkan akan diserah kepada keluarga angkat dengan bayaran RM15,000 hingga RM20,000, namun wanita terbabit hanya dibayar RM2,000 berbanding RM5,000 dijanjikan dengan alasan bayi itu perempuan serta tidak cantik,” katanya pada sidang media di Bukit Aman di sini, semalam.
Serbuan berasingan pada 4 dan 11 Disember itu menahan 13 suspek, termasuk wanita terbabit yang disyaki dalang utama bersama lapan ahli keluarganya, seorang doktor serta empat pembeli terdiri daripada pensyarah, pengurus syarikat, pembantu akaun dan pekebun.
“Polis menyelamatkan lima bayi berusia dua minggu hingga sembilan bulan serta seorang kanak-kanak tiga tahun yang dalam proses untuk dijual, selain dua wanita Indonesia yang hamil tujuh bulan.
“Selain itu, polis turut merampas telefon bimbit, pelbagai dokumen seperti salinan kad pengenalan, sijil kelahiran bayi, MyKid, buku bank serta salinan slip kemasukan wang ke dalam bank,” katanya yang percaya sindiket itu aktif sejak lima tahun lalu.
Menurut Mohd Bakri, semua yang ditahan berusia 30 hingga 50 tahun direman sehingga 18 Disember mengikut Seksyen 48(1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Akta Antipemerdagangan Orang 2007.
“Polis masih mengesan saki-baki anggota sindiket serta menjalankan siasatan terperinci termasuk pembabitan sebuah hospital swasta di Jalan Pasar dekat sini serta urusan dokumentasi kanak-kanak dan bayi terbabit.
“Bayi serta kanak-kanak yang diselamatkan itu kini dijaga di pusat perlindungan kanak-kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) manakala dua wanita warga asing terbabit dihantar ke Jabatan Imigresen kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah,” katanya.
- HARIAN METRO
Beginilah jadinya apabila wang menguasai diri.
Selagai ada permintaan..selagi itu da yang menjual...tetapi yang menjadi soalnya...cara ia menagguk di air keru! MasyaAllah!