Shelldon saingan baru Doraemon
Setiap kali tibanya hujung minggu, ramai di kalangan kita yang tidak akan melepaskan peluang menonton siri animasi Jepun, Doraemon dan Shinchan yang ditayangkan di saluran ntv7.
Sama ada mahu percaya atau tidak, siri animasi Doraemon menarik perhatian 1.6 juta audiens setiap kali bersiaran pada hari Sabtu pukul 7.30 malam.
Animasi yang mencuit hati dan bermesej baik itu bukan sahaja digemari oleh kanak-kanak, malah digemari oleh orang dewasa.
Berteraskan formula kejayaan itu, ntv7 membawakan sebuah siri animasi yang terbaru, Shelldon yang juga menemui pentonton pada setiap hari Sabtu pukul 10 pagi.
Siri animasi 30 minit itu mengisahkan pengembaraan seekor siput laut, Shelldon di dasar laut bersama rakan-rakannya.
Menurut Pengurus Jenama ntv7, Emilya Abdul Rahim, siri animasi dari Thailand terbitan ShellHut Entertainment ini dipilih untuk menyertai barisan rancangan saluran berkenaan kerana nilai budaya di Thailand yang hampir sama dengan budaya rakyat Malaysia.
"Amalan budaya yang dikongsi kedua-dua negara ialah menitik-beratkan nilai-nilai murni dan adat ketimuran.
"Dan Shelldon menyebarkan mesej mengenai kepentingan imej diri, keperluan untuk hormat-menghormati di samping nilai persahabatan dan elemen positifnya sangat jelas. Kami percaya Shelldon akan diterima oleh rakyat Malaysia sebaik sambutan di Thailand," ujar Emilya pada sidang media memperkenalkan siri animasi Shelldon di Perkarangan Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambahnya, siri animasi 3D ini telah mencapai kejayaan jitu semasa pertama kali disiarkan di negara jiran itu dan baru-baru ini telah menembusi pasaran global termasuk di Amerika Syarikat dan Perancis.
Berlatarkan Laut Andaman, seekor siput laut menjadi anak yatim selepas kehilangan ibu dan bapanya semasa tragedi Tsunami.
Tragedi itu menemukan Shelldon dengan sebuah keluarga baru yang serba unik di Shell Land.
Bersama-sama pengembaraan dasar lautnya yang amat menggelikan hati, Shelldon menemui Herman dan Connie.
Sahabat karib ini mula menemui erti sebenar persahabatan dan kebahagiaan di Shell Land.
Di setiap episod, kehidupan Shelldon sarat dengan hiburan dan aktiviti menarik di samping mempelajari nilai-nilai murni dan pengajaran penting.
Selain mementingkan semangat kerjasama kumpulan, Shelldon juga sangat peka dengan penjagaan alam sekitar.
- UTUSAN