Ummu Khalid meninggalkan Kota Habsyah

Nama sebenar Ummu Khalid ialah Amah binti Khalid. Bapanya bernama Khalid bin Said al-Ash merupakan seorang sahabat Nabi Muhammad. Ibunya bernama Umaimah binti Khalaf al-Khuzaiyah. Dia mempunyai saudara kandung bernama Said bin Khalid.

Ummu Khalid berkahwin dengan seorang lelaki bernama Az-Zubair bin al-Awwam. Hasil perkahwinan itu mereka telah mendapat dua orang anak iaitu Amru dan Khalid.

Ummu Khalid telah melaporkan sebanyak tujuh buah hadis dari Nabi Muhammad. Dia juga fasih berbahasa Habsyah kerana dia lahir dan tinggal bertahun-tahun di Habsyah.

Terjadi satu peristiwa ke atas Ummu Khalid iaitu semasa dia dan golongan Muhajirin berhijrah dari Habsyah ke Madinah.

"Segala kelengkapan dan persiapan ke Madinah sudah disiapkan," kata seorang lelaki Muhajirin yang akan berangkat ke Madinah.

Orang Islam yang tinggal di Habsyah sudah tidak sabar-sabar untuk berhijrah ke Madinah. Mereka berangkat meninggalkan kota Habsyah dengan menggunakan kapal. Sebanyak dua buah kapal digunakan menuju ke Madinah.

"Terima kasih tuanku kerana selama patik di Habsyah ini, tuanku telah memberikan layanan yang baik kepada patik dan orang Islam yang lain," kata seorang wakil Islam Muhajirin.

"Sama-sama. Beta juga berterima kasih kepada kamu semua. Beta sudah banyak mempelajari ilmu agama Islam selama kamu semua berada di negeri beta ini," titah Raja Najasyi.

"Hari ini patik dan rombongan orang Islam yang lain akan meninggalkan Habsyah. Banyak kenangan terindah yang tidak dapat dilupakan selama kami berada di sini," kata wakil itu lagi.

Raja Najasyi dan orang Islam Muhajirin bersalaman. Mereka masing-masing tidak mahu melepaskan peluang untuk mengucapkan selamat tinggal.

"Sebelum beta terlupa, tolong sampaikan salam saya kepada Nabi Muhammad dengan lafaz Assalamualaikum," titah Raja Najasyi lagi.

Pada masa itu Ummu Khalid turut mendengar titah Raja Najasyi lalu dia menjawab, "Insya Allah, patik akan sampaikan salam tuanku kepada Nabi Muhammad nanti."

Kemudian, Raja Najasyi melambaikan tangan sambil bertitah lagi, "Apabila ada masa nanti jemput datang ke Habsyah lagi. Beta sentiasa menerima kedatangan kamu semua."

"Selamat tinggal tuanku," kata para Muhajirin yang sedang berada di atas kapal mereka.

"Ya, selamat tinggal. Sampai berjumpa lagi," titah Raja Najasyi.

Lalu berlayar kapal orang Islam Muhajirin sehingga sampai ke satu tempat. Tempat itu bernama Khaibar. Mereka berjumpa dengan Nabi Muhammad di Khaibar pada tahun 7 Hijrah.

Sampai sahaja di hadapan Nabi Muhammad, Ummu Khalid pun berkata, "Raja Najasyi ada menyampaikan salam buat tuan dengan lafaz Assalamualaikum.

Waalaikum salam, jawab Nabi Muhammad.

Tentera Islam baru sahaja menghadapi musuh di medan perang Khaibar. Berita kejayaan tentera Islam di Khaibar disambut baik oleh orang Islam. Orang Islam Muhajirin turut mendapat sebahagian dari harta rampasan perang. Selepas itu mereka pulang ke Madinah bersama-sama dengan Nabi Muhammad.

Nabi Muhammad sangat menghormati Ummu Khalid. Pada suatu hari, Nabi Muhammad ingin memberikan hadiah kepada Ummu Khalid. Ummu Khalid telah dipanggil oleh Nabi Muhammad untuk berjumpanya.

"Hadiah ini untuk awak," kata Nabi Muhammad kepada Ummu Khalid.

"Terima kasih kerana memberikan hadiah yang sangat berharga buat saya," jawab Ummu Khalid. Hadiah itu berupa sejenis kain.

"Awak gunalah kain ini sehingga usang dan wariskan kepada orang lain," kata Nabi Muhammad lagi.

Nabi Muhammad berkata lagi, "Semoga awak dipanjangkan umur."

Ummu Khalid sangat gembira lalu memegang erat hadiah yang diberikan oleh Nabi Muhammad. Berkat doa Nabi Muhammad, Allah telah mengurniakan umur yang panjang kepada Ummu Khalid. Dia dapat hidup sehingga tahun 90 Hijrah. Sepanjang hayatnya dia banyak melakukan amalan-amalan yang diajar oleh Nabi Muhammad dalam kehidupan sehariannya.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url