Perolehan baru LIMA 2009
Belum pun penganjuran Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2009 (LIMA '09) membuka tirainya, cakap-cakap mengenai apa yang bakal diintai Kementerian Pertahanan (Kementah) pada pameran itu nanti rancak kedengaran.
Dua perolehan yang pasti mencuri tumpuan di sini adalah cadangan pembelian kapal sokongan logistik untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan penggantian pesawat pejuang pelbagai peranan (MRCA) bagi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Kemungkinan juga isu pengganti helikopter Sikorsky S-61 Nuri TUDM yang sememangnya perlu dipercepatkan bakal terjawab di sini. Firma Perancis melalui syarikat tempatannya, Eurocopter Malaysia masih yakin helikopter EC-725 Super Cougar berpeluang cerah merebut bajet berjumlah RM1.9 bilion itu walaupun ada pesaing terdekat seperti AgustaWestland AW101, H-92 Superhawk Sikorsy dan Mi-17V-5.
Untuk itu, pameran LIMA 2009 yang berlangsung di Pusat Pameran Antarabangsa (MIEC) di Pulau Langkawi mulai hari ini sehingga 5 Disember dijangka menggamit kunjungan beberapa firma besar luar negara untuk merebut kontrak bernilai berbilion ringgit.
Buat pertama kali juga, kedua-dua segmen udara dan maritim dilangsungkan di ruang seluas kira-kira 21,321 meter persegi berbanding dua lokasi sebelumnya oleh penganjur tunggal iaitu HW LIMA Sdn. Bhd., yang sebelum ini mempamerkan kejayaannya selaku penganjur edisi LIMA Maritim.
TLDM sejak lima tahun lalu telah pun merencanakan program memperoleh kapal logistik pelbagai guna terutama bagi melengkapi kegunaan Pasukan Angkatan Bersama (PAB) kerana kapal-kapal sedia ada tidak mampu menampung keperluan tersebut.
Malah, kegunaan mendesak bagi Operasi Fajar mengawasi keselamatan kapal-kapal dagang di Teluk Aden menyaksikan TLDM melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) terpaksa mengubah suai kapal kontena Bunga Mas 5 milik MISC Bhd. sebagai kapal bantuan pelbagai guna.
Ia dilengkapi hangar menempatkan helikopter Super Lynx dan bot tempur milik TLDM untuk melaksanakan operasi defensif mahupun menyerang jika diperlukan.
Antara yang mencuba peluang di LIMA 2009 ini nanti adalah firma Korea, Hanjin Heavy Industries & Constructions Co. yang sebelum ini hadir ke LIMA 2007 dengan kapal logistik terbaru kelas Dokdo milik Tentera Laut Republik Korea. Firma senegara, Daesun Shipbuilding and Eng. Co. Ltd Pusan yang berjaya menyiapkan kapal logistik KRI Tanjung Dalpele kepada Tentera Laut Republik Indonesia pasti ingin merebut peluang yang sama.
Tidak mahu ketinggalan adalah firma Fincantieri dari Itali (TLDM menggunakan empat kapal korvet buatan firma ini), firma DCN dari Perancis (pembuat kapal selam Scorpene TLDM) yang mengetengahkan model kapal logistik Siroco, serta China State Shipbuilding and Trading Corp yang sebelum ini pernah menawarkan kapal kelas Type 071 kepada TLDM dengan harga yang jauh lebih rendah berbanding pesaing lain.
Bagi merebut kontrak MRCA pula, Kosmo! difahamkan firma Saab dari Sweden menawarkan 18 pesawat JAS-39 Gripen NG M-MRCA termasuk opsyen membekalkan pesawat radar amaran awal udara (AEW) yang khabarnya menarik minat Kementah.
Tawaran serupa juga pernah diberi kepada negara jiran Thailand yang kini merupakan pemilik terbaru pesawat JAS-39 Gripen apabila bakal mengoperasikan 12 pesawat ini serta dua pesawat AEW Saab Erieye pada tahun 2011.
Namun, tiga firma lain turut menawarkan pakej yang juga hebat iaitu Dassault Aviation dari Perancis dengan pesawat Rafale, Boeing dari Amerika Syarikat (F/A-18E/F) dan konsortium Eropah, Eurofighter GmbH (Eurofighter Typhoon). Kesemuanya merupakan pesawat pejuang generasi terkini dengan ciri-ciri yang diingini oleh TUDM.
Walaupun Kementah membayangkan tidak akan membuat pembelian baru Sukhoi Su-30MKM bagi penggantian MRCA TUDM, tetapi bekas negara kuasa itu pastinya ingin merebut peluang sama dengan tawaran hebat. Rusia misalnya pernah meluluskan kredit bernilai kira-kira AS$2 bilion (RM6.8 bilion) kepada Venezuela bagi pemodenan angkatan tentera negara itu.
Ia bagi membeli 92 buah kereta kebal T-72 dan T-90, sistem peluru berpandu pertahanan udara S-300, Buk-M2 dan Pechora. Kelulusan yang sama juga pernah diberi kepada Indonesia bernilai kira-kira AS$2 bilion (RM6.8 bilion) pada tahun 2004 dan 2007 bagi membekalkan kereta kebal, helikopter, kapal selam dan pembelian tambahan enam pesawat Sukhoi Su-30MKI.
Firma pengeksport senjata tunggal Rusia, Rosoboronexport juga mengintai peluang serupa bagi menawarkan sistem pertahanan kepada Brunei dan pastinya kunjungan mereka ke Langkawi kali ini dengan hasrat yang cukup besar.
Dengan penyertaan 450 pempamer dari 24 negara dengan 14 pavilion, LIMA 2009 menjangkakan kehadiran kira-kira 80,000 pengunjung termasuk 30,000 pengunjung awam. Walaupun hanya sebuah tim aerobatik iaitu Sarang Aerobatic Team dari India (pasukan aerobatik menggunakan helikopter) dijangka hadir membuat pertunjukan udara. Orang ramai pastinya tidak dihampakan dengan aksi-aksi juruterbang TUDM menerusi Sukhoi Su-30MKM, MiG-29N dan F/A-18D.
Turut mencuri tumpuan nanti adalah penyerahan kumpulan akhir pesawat latihan termaju Aermacchi MB-339CM TUDM yang dibeli pada tahun 2006 bagi tujuan latihan penyesuaian bakal juruterbang pejuang.
Tirai LIMA 2009 bermula pada 29 November dengan Seminar Antarabangsa LIMA 2009 di Awana Porto Malai bagi membincangkan mengenai perubahan cabaran keselamatan maritim dan aplikasi teknologinya dan disusuli dengan Seminar Peranan Pertahanan Udara dalam Keselamatan Maritim keesokannya.
Bagi sektor maritim, LIMA 2009 kali ini bakal menampilkan penyertaan terbesar dengan 94 buah kapal dan bot, selain demonstrasi keupayaan TLDM, Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Kastam Diraja Malaysia (KDRM) dan Jabatan Imigresen.
Ia juga dianggap sebagai penutup tirai kepada sambutan ulang tahun penubuhan TLDM ke-75 pada tahun ini dengan penyertaan 39 buah kapal dan 55 bot termasuk sembilan kapal perang dari tujuh buah negara.
- KOSMO!