Agrobank sasar deposit RM8.7b

Agrobank menyasarkan jumlah deposit bank pada tahun ini mencecah RM 8.7 bilion berbanding RM5.9 bilion pada tahun lalu.

Pemangku Pengarah Urusannya, Datuk Ahmad Said berkata, peningkatan itu berikutan pelancaran beberapa produk baru dan kempen yang dijalankan sepanjang tahun ini.

Beliau berkata, pihaknya menetapkan sasaran yang besar pada tahun ini sejajar dengan proses pemulihan ekonomi negara.

"Kami yakin tahun ini Agrobank mampu menunjukkan prestasi yang lebih baik berbanding tahun lalu,'' katanya selepas menghadiri majlis pelancaran kempen 'Simpan...Dapat Kereta' di sini, hari ini.

Kempen tersebut dilancarkan oleh Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah.

Agrobank mempunyai pendeposit seramai 2.1 juta orang.

Bercakap mengenai kempen tersebut, Agrobank menyasarkan untuk mengutip deposit sebanyak RM1.6 juta daripada pendeposit seramai dua juta orang yang membuat simpanan sekurang-kurangnya RM100 bagi setiap deposit, katanya.

Katanya, 50 peratus daripada pendeposit sedia ada dijangka turut menyertai kempen tersebut manakala bakinya di kalangan pendeposit baru.

Mengenai perancangan Agrobank, Ahmad berkata, pihaknya merancang melengkapkan kemudahan perbankan elektronik di 30 buah cawangannya pada tahun ini bagi memenuhi keperluan pelanggannya.

Katanya, sebelum ini, hanya 10 buah bank mempunyai kemudahan lengkap sistem tersebut.

Ditanya mengenai pembukaan cawangan baru, beliau berkata, pihaknya mempunyai perancangan itu namun ia bergantung kepada lokasi dan keperluan.

Agrobank kini mempunyai 121 buah cawangan.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url