Aznil - AJL berbaloi

ASSALAMUALAIKUM.

Tahniah buat Aizat AF5 kerana menjulang Juara Anugerah Lagu ke-24 (AJL) Ahad lalu. Wah, menang besar Aizat serentak sebagai Persembahan Terbaik.

Pada asalnya Paknil cuma ingin menonton persembahan permulaan saja tetapi perancangan AJL memang bijak bila meletakkan persembahan Datuk Siti Nurhaliza dan Lan The Typewriter sebagai pembuka tirai. Paknil akhirnya akur untuk bersengkang mata menonton AJL sehingga selesai!

Paknil terpanggil untuk berborak pasal AJL kali ini kerana ketika menontonnya, secara automatik kenangan pembabitan Paknil di AJL sebelum ini terpancar semula. Dua kali Paknil diberi peluang menghoskan AJL iaitu ketika bersama Azwan Ali dan Fauziah Datuk Ahmad Daud pada 1993 dan ketika bersama Sarimah Ibrahim 10 tahun kemudian.
Bagi Paknil, satu persembahan produksi yang hebat apabila ia dapat menarik minat penonton untuk terus kekal menonton sehingga ke penghujung. Selalunya, 15 minit pertama penonton akan bersikap ingin tahu dan jika pihak produksi berjaya meyakinkan penonton untuk terus kekal menonton, maka ia satu bahan yang berbaloi untuk ditonton sehingga tamat.

Paknil adalah antara penonton yang terjebak dalam situasi yang sama. Bermula dengan hanya ingin menonton 15 minit pertama tetapi akhirnya terjebak sehingga keseluruhan majlis selesai. Tahniah buat pihak penerbitan.

Mengenali penerbitnya, Ahmad Shaifullizam Arshad (Gbam), Paknil tidak musykil kenapa AJL tahun ini kelihatan lebih meriah dan berjaya setelah sekian lama kita impikan untuk menonton AJL yang akan dijadikan kenang-kenangan.

Ketelitian Gbam menggarap kerjanya terserlah dari saat awal AJL sehinggalah keputusan diumumkan. Standard kualiti yang tinggi diletakkan sebagai tanda aras yang tiada kompromi dalam produksi beliau dan ini menyebabkan artis yang bersaing terpaksa bersama memerah otak agar tidak mencacatkan persembahan.

Sememangnya kreativiti untuk persembahan artis diserahkan di bahu mereka tetapi jika idea yang dilemparkan tidak menepati tahap ekspektasi penerbitan, seharusnya idea itu ditolak atau dirombak.

Melihat konsep keseluruhan termasuk persembahan interlude, Paknil yakin Gbam adalah ‘mastermind’nya kerana ada unsur keseragaman dalam AJL secara keseluruhannya. Paknil selalu percaya bahawa penerbit sememangnya harus mempunyai kawalan pada setiap sudut.
Apa yang ada dalam kepala penerbit seharusnya disampaikan kepada semua bahagian yang terbabit secara jelas agar bentuk program yang dikehendaki terhasil. Jika penerbit gagal menterjemahkan apa yang ada di fikirannya, pasti hasilnya jadi carcamarba.
Bahagian penerbitan lain seperti kamera, pencahayaan, sistem bunyi, dandanan dan pakaian, pereka set dan pentas, skrip dan sebagainya seharusnya sentiasa bersedia untuk menerima idea baru yang kadangkala ‘luar dari kotak’.

Paknil sendiri pernah ditertawakan ketika Paknil mula perkenalkan konsep Melodi dulu, kerana ketika itu, banyak etika penerbitan yang kami langgar semata-mata untuk mendapatkan sesuatu yang ‘luar dari kotak’. Oleh kerana Paknil (Penolong Penerbit) dan Nik Ramzi (Penerbit) ketika itu berani mempertahankan idea kami, maka akhirnya Melodi menjadi rancangan yang berada di gelanggangnya tersendiri sehingga ke hari ini.

Paknil cukup suka dengan tatacahaya pentas yang diberikan untuk setiap persembahan AJL. Begitu ketara bahawa yang terbabit mempunyai ‘skrip pencahayaan lampu’ untuk kerjanya kerana lampu begitu seiring dengan irama dan konsep persembahan artis. Contohnya ketika persembahan lagu Rindu Terhenti nyanyian Tomok, lampu pentas disuramkan tepat pada waktu video Diana Danielle muncul di sisi Tomok yang dimainkan di skrin belakang.

Walaupun ada penonton di rumah yang bengang sebab tidak puas mengamati pergerakan tarian Stacy ketika menyanyikan lagu Pakai Buang, tetapi itu boleh dijadikan pelajaran buat Gbam kerana Paknil cukup teruja melihat keberanian produksi mencuba pertukaran shot yang pantas dan agresif.

Namun begitu, penerbit harus berhati-hati kerana dalam kepantasan menukar shot ada ketikanya juga kita harus rendahkan ‘gear’ sedikit kerana takut ada pergerakan tangkas di pentas yang terlepas.

Selalunya kita dapat tonton perkara yang sama hanya pada penerbitan antarabangsa seperti American Idol. Wah! Baru Paknil teringat, Gbam berkesempatan menonton secara langsung pertandingan akhir American Idol ketika kunjungan kami ke Los Angeles bersama pemenang Anugerah Skrin tahun lalu. Jadi, memang tidak sia-sia pemergiannya ke sana.

Penggunaan props dan juga letupan bunga api yang bijak juga menjadi intipati kepada kejayaan produksi AJL. Penerbitan kelihatan seperti tidak kedekut untuk props dan set. Set bilik mekap di sisi pentas untuk Black dan podium di tengah penonton untuk Aizat memang menyerlahkan lagi kreativiti penerbit.

Kita sudah puas tonton penerbitan yang mengambil jalan mudah dan selamat dalam persembahan sebesar AJL sebelum ini. Kebanyakan penerbitan begitu selesa dengan mengambil jalan selamat dengan hanya bergantung kepada konsep persembahan yang diulang pakai.

Penerbit yang kreatif seharusnya berani mengambil risiko dalam percaturan penerbitannya kerana ‘manakan dapat sagunya jika ruyung tidak dipecahkan’. Namun sekali lagi ini adalah perjudian dalam berkarya.

Jika ia jadi tidak menarik, maka bersiap sedialah untuk berhadapan dengan kritikan dan komen negatif di dada akhbar keesokan harinya.

Tabik kepada TV3 kerana percaya kepada penerbit muda seperti Gbam untuk melunaskan kerjanya dengan cemerlang.

Satu perkara yang Paknil rasa kita tidak seharusnya lepas pandang adalah kehebatan tiga pengacara untuk AJL pada malam itu iaitu Ally Iskandar, Cheryl Samad dan Faizal Ismail. Gabungan antara ketiganya memang menjadi. Paknil akui, memang sukar untuk mendapatkan gandingan yang sesuai buat seseorang pengacara tetapi kali ini mereka menjadi.

Paknil yakin perancangan sudah diatur terlebih awal untuk membawa pengacaraan ini dengan satu hala tuju. Walaupun mereka sesekali diberikan ruang untuk keluar daripada skrip tetapi jalan cerita skrip yang asal masih jelas dan padu.
Hala tuju skrip begitu ketara sejak promo AJL ditayangkan lagi dan berdasarkan atas landasan cerita yang sama, garapannya dikembangkan lagi dalam penerbitan tiga jam itu.

Pengagihan ‘punch-line’ yang membuatkan penonton ketawa dan terhibur di kalangan tiga pengacara itu, cukup seimbang. Maka, kita tidak dapat lihat ada di antara pengacara ini yang berlumba untuk mencuri ‘limelight’ semata-mata untuk menenggelamkan rakan pengacara yang lain.

Untuk acara yang disiarkan secara langsung seperti ini, kawalan atas pengacaraan memang penting kerana nadi acara juga terletak di tangan mereka. Jika pengacara syok sendiri, maka nasib acara gemilang itu akan turut punah.

Paknil percaya, gandingan ini harus dikekalkan untuk AJL akan datang kerana bila kesesuaian sudah berlaku, seharusnya ia diasah lagi. Jadi sementara menanti kemunculan AJL tahun depan, gandingan ini harus dibiasakan dalam rancangan lain agar ‘kemesraan’ mereka dapat digilap lagi.

Paknil akan jadi orang yang paling sedih jika gandingan ini tidak dikekalkan kerana melalui pengalaman Paknil, memang sukar untuk mencari pengacara yang sesuai dan diterima penonton untuk acara besar seperti ini dan bila sudah ditemui, harap-harap gilaplah mereka lagi.

Menukar pengacara untuk sesebuah produksi sememangnya suatu risiko yang amat tinggi kerana untuk mendapatkan pengacara yang tepat dan ada kredibiliti, apa lagi pengacara gantian, kadangkala produksi terpaksa menunggu begitu lama sehingga yang tepat muncul.

Sejak Azwan Ali tidak mengacarakan AJL dari tahun 1996, kita terpaksa menunggu selama 14 tahun sebelum muncul pengacara yang tepat Ahad lalu! Paknil minta maaf kepada pengacara sebelum ini dan tahniah kepada pengacara yang baru.

Wassalam

- METRO AHAD
Next Post Previous Post
1 Comments
  • Sayang Amirah
    Sayang Amirah Ahad, 17 Januari 2010 pada 10:42:00 PTG SGT

    ajl tahun ni memang superb !

Add Comment
comment url