Aznil-Azwan Bermaaf-maafan, Segala 'Dendam' Terlerai Sudah!
Sukar untuk mengetuk hati-hati yang menaruh dendam dan menyimpan kesumat. Selalunya hati yang bernoda akan membuat kita terus-terusan menaruh syak wasangka dan mencipta benteng pemisah.
Mungkin mulut tidak terzahir tapi hati meluap-luap bila terkenang wajah-wajah seteru.
Ketika menjenguk sejenak ke 'Majlis Penuh Rahsia Azwan Ali' minggu lepas, banyak mata menjadi saksi betapa syahdunya sebuah pertemuan ala jejak kasih dua sahabat, pengacara nombor satu Aznil Nawawi dan selebriti 'si mulut laser' Azwan Ali.
Keikhlasan dua sahabat berdakapan erat seperti jarak waktu yang berlalu begitu zalim memisahkan mereka.
Rupa-rupanya, mereka tetap berhubungan lewat hubungan SMS dan teks ringkas bertahun-tahun kebelakangan ini.
Tapi kesempatan berjumpa belum terdorong lagi hinggalah ke hari bersejarah petang itu.
"Kami saling memantau perkembangan masing-masing. Kalau ada yang tak kena di mata, saya akan tegur. Begitu juga dengan Azwan," jelas Aznil membuka topik yang tidak pernah disentuh selama ini.
Walau sebentar cuma, Aznil tetap menjenguk muka meskipun ada temujanji di tempat lain. Pertemuan bersejarah itu tidak mahu dipersiakan kerana bukan durasi waktu yang menjadi ukuran tapi pengisian dan kejujuran mencemar duli ke majlis sahabat lama yang lebih utama.
Rentetan kisah lama antara mereka seperti laporan polis lewat bertikam lidah dan sebagainya, seperti tidak mahu diimbau lagi. Biarlah semua itu tinggal sebagai kenangan pahit.
"Itu cerita lama.... janganlah diungkit lagi. Biarlah I dengan Azwan saja yang tahu," pinta Aznil separuh merayu.
Sebalik kekesalan yang terluncur di hujung bibir, Azwan dan Aznil akur, kisah 'permusuhan' dan dendam adalah sejarah silam. Tidak perlu diteruskan lagi sementelah, nama masing-masing utuh di persada seni.
"Kita semakin tua. Fikiran sepatutnya lebih matang. Saya sudah fikirkan masak-masak. Tidak ke mana apa-apa permusuhan sekalipun.
"Lagipun saya yang lebih tua. Jadi seharusnya, saya yang lebih matang dari Azwan dan mengorak langkah dulu," jelas Aznil sejujurnya.
Menurut Aznil lagi, sendainya ada kesempatan, sememang sebagai sahabat yang lebih tua akan menegur Azwan dulu.
"Saya tetap pantau kerja Azwan. Dan hari ini mengingatkan saya betapa rindunya saya kepada Mak Tom (ibu Azwan Ali). Saya mesra dengan Mak Tom, tidur baring rumahnya satu ketika dulu dan waktu-waktu itu lah yang paling saya rindu sekali," kata Aznil dalam nada separuh sebak sedang mata berkaca menahan segala rasa yang singgah ketika itu.
Akui Aznil, sahabatnya Azwan memang seorang yang vokal dan cepat melenting.
"Tapi saya selalu ingatkan diri saya agar tidak lupa jasa Azwan. Sejak awal penglibatan sebagai pengacara, Azwan lah yang banyak membantu saya, membawa saya ke majlis selebriti dan memperkenalkan saya kepada artis-artis dan wartawan," jelas Aznil.
Dan di kelopak mata Aznil yang berkaca bercerita tentang di mana silapnya, di sambut dengan pengakuan jujur Azwan dek keterlanjuran, terlerai sudah sebuah dendam.
Petang itu, bersaksikan beberapa mata di ballroom uniti, terjalin semula kasih yang sudah lama dibiar sepi.
Berseteru atau bersahabat selama ini? Semua terjawab lewat kemesraan yang terakam di mata kasar. Tiada dendam lagi kerana kedua-duanya sudah lebih matang kini.
Bagi Aznil, tidak mudah bagi seorang personaliti seperti Azwan untuk mengaku silap dan salahnya.
"Saya kagum sikap yang ditampilkan Azwan sekarang. Memang dia vokal dan hari ini dia lebih vokal. Orang lain tidak perlu mempertikaikan kenapa dia minta maaf setelah dia tersedar dan bangkit dari kesilapan lama. Itu antara dia dan tuhan. Bukan urusan kita untuk campur....," kata Aznil seolah membela Azwan.
Menurut Aznil, Azwan adalah seorang yang sangat telus.
"Bagi saya, Azwan ni begitu telus. Dia akan cakap apa yang ada dalam hatinya, lepas tu baru dia fikir. Tapi dia seorang yang menepati janji.
"Bagi saya, Azwan sudah banyak berubah. Kesanggupan untuk menuntut maaf daripada musuh-musuhnya adalah satu bukti yang nyata. Saya gembira melihat perubahan itu," jelas personaliti terkenal ini.
Malah, kata Aznil lagi, dia akan tetap menyokong Azwan dari belakang.
"I will always be there when he needs me....," jelas Aznil yang menghadiahkan sehelai selendang kepada Azwan ketika dia hendak menunaikan umrah.
Dan selendang itu lah yang selalu menjadi tanda ingatan mereka berdua.
"Setiap kali saya terlihat kain selendang itu di badan Azwan (seperti di blognya), hati saya akan tersentuh....Azwan begitu menghargai pemberian saya," kata Aznil.
Kata Aznil lagi, persahabatan yang terjalin antara mereka merupakan satu pusingan persahabatan yang 'tipikal'.
"This is total friendship. Kita melalui saat suka dan duka bersama. Ini lah yang dikatakan ujian sebuah persahabatan....an extreme case of friendship," kata Aznil sambil tersenyum.
Bila hikmah sudah ditemui dan di sebalik banyak petunjuk yang diberi, maka laluan demi laluan akan terbuka luas. Kalau peluang menyambut ukhuwah dibiarkan begitu saja, tepuk dada tanya selera.....
- MSTAR