Berlari waktu malam

Budaya berlari di negara ini lazimnya pada waktu pagi atau petang. Ini berbeza dengan keadaan di negara luar terutama negara yang memiliki persekitaran berhawa sejuk.

Waktu makan tengah hari pun boleh dijadikan waktu untuk bersenam, tetapi ia mungkin payah dilakukan di negara ini dengan cuaca agak terik pada waktu itu.

Justeru, ada juga yang memilih waktu malam untuk berlari atau berjoging, tapi kelompoknya mungkin kecil. Mereka yang sukar mencari waktu untuk beriadah pada siang hari, malam memang jawapannya.

Bagi wanita pula, faktor keselamatan sering menjadi kekangan utama. Berlari di jalanan atau taman rekreasi pada waktu malam sememangnya bukan pilihan bijak, kecuali beberapa lokasi seperti kawasan kediaman berpagar atau gimnasium.

Untuk wanita berkeluarga, malam tentunya cukup payah untuk mencuri masa beriadah.

Lantas, kehadiran Maraton Malam Putrajaya yang julung kali diadakan di negara ini tentunya memberi peluang untuk pelbagai lapisan masyarakat merasai pengalaman beriadah di jalanan pada waktu malam pada 6 Februari ini.

Meskipun peserta dilepaskan sesudah Maghrib dan Isyak, larian di jalanan itu tetap ada cabarannya.

"Mungkin ramai yang menganggap berlari pada waktu malam agak mudah kerana lebih sejuk berbanding siang.

"Tetapi Putrajaya pada waktu itu tidaklah sesejuk mana. Saya fikir ini antara cabaran untuk pelari terutama mereka yang tidak biasa berlari atau keluar beriadah pada waktu malam," kata Pengarah Twenty First Century Sports Sdn Bhd, Nithiaseelan V.

Syarikat yang banyak terbabit dalam penganjuran perlumbaan jalanan sejak ditubuhkan sembilan tahun lalu itu adalah penganjur bersama maraton berkenaan.

Tidak hanya mengambil kira faktor suhu persekitaran, keperluan utama pelari iaitu air antara aspek yang menjadi perhatian penganjur.

"Sebelum mereka berlari pun, kami berikan mereka air terlebih dulu. Sepanjang laluan maraton sejauh 42km itu, ada 16 stesen air disediakan.

"Kami tidak mahu masalah air menyukarkan mereka berlari kerana dalam mana-mana pertandingan larian pun, masalah ini tidak seharusnya timbul," katanya.

Maraton berkenaan menyediakan empat kategori iaitu maraton 42 kilometer (km), separa maraton 21km, 7.7km dan lima kilometer. Jarak 42km dan 21km lazimnya pilihan mereka yang sudah biasa berlari manakala dua lagi jarak itu memberi peluang untuk mereka yang mahu beriadah bersama keluarga dan rakan.

"Untuk kategori maraton, ia turut menarik kehadiran peserta antarabangsa. Memandangkan ramai pelari tempatan yang mengambil bahagian dalam maraton di Singapura baru-baru ini, kebanyakannya dijangka tidak mengambil bahagian untuk kategori ini sebaliknya, ramai yang memilih 21km.

"Kami juga tidak pasti jika dapat mencapai bilangan 1,500 pelari untuk kategori maraton apatah lagi pendaftaran hanya berlangsung selama dua bulan. Tetapi setakat ini kami sudah menerima pendaftaran pelari dari beberapa negara termasuk China, Kenya, Venezuela, Singapura, Thailand, Filipina dan Australia.

"Kategori 21km pula dijangka paling popular yang kebanyakannya terdiri daripada pelari tempatan. Kami menjangka sekurang-kurangnya 70 peratus penyertaan adalah daripada rakyat negara ini," katanya yang memperuntukkan 3,000 penyertaan untuk kategori separa maraton dan jumlah serupa untuk kategori 7.7 km.

Jarak 7.7km berkenaan lebih popular dalam kalangan pelajar sekolah serta dewasa manakala jarak lima kilometer lazimnya dipilih golongan yang mahu beriadah bersama seisi keluarga.

Bagi golongan pelari serius terutama yang kerap menyertai pertandingan di negara jiran, Singapura sering dijadikan penanda aras.

Justeru, Nithiaseelan mengakui, penganjuran maraton di peringkat tempatan tidak harus kalah dengan pelbagai maraton yang berlangsung di luar negara.

"Persiapan untuk menganjurkan maraton ini saja mengambil masa kira-kira dua tahun malah dalam tempoh itu juga, kami meninjau sendiri penganjuran maraton di luar negara.

"Antaranya, maraton yang diadakan di Singapura, India, Australia, Hong Kong dan Indonesia.

"Di kalangan pelari, penganjuran yang baik bukan saja memberi kepuasan kepada peserta malah mereka tidak akan keberatan untuk bertanding pada masa depan. Apatah lagi di kalangan peserta 42km, mereka mengharapkan sesuatu yang istimewa terutama sesudah berjaya menamatkan larian yang bukan calang-calang jarak dan cabarannya itu," katanya.

>Info
# Maraton malam diadakan buat pertama kali di negara ini pada 6 Februari 2010 di Putrajaya.

# Penganjur bersama - World Action Sports Sdn Bhd, Twenty First Century Sports Sdn Bhd dan Perbadanan Putrajaya.
# Penganjurannya menerima sokongan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar serta Kementerian Belia dan Sukan.

# Diperakui Persatuan Olahraga Amatur Wilayah Persekutuan (FTAAA).

# Ada empat kategori - 42km, 21km, 7.7km dan 5km.

# Kategori 42km dan 5km dibuka untuk semua warga tempatan dan peserta antarabangsa.

# Selain warga tempatan, kategori 21km dan 7.7km turut dibuka kepada warga negara Asia Tenggara, penduduk tetap dan warga asing bekerja di negara ini. Pelajar luar negara yang belajar di negara ini dialu-alukan untuk menyertai kategori 42km dan 5km.

# Borang penyertaan boleh didapati di: - Pejabat FTAAA, Tingkat Dua, Wisma OCM, Jalan Hang Jebat, Kuala Lumpur

- Perbadanan Putrajaya

- Lobi, Presinct 3, Putrajaya

- Untuk pertanyaan, hubungi 012-7165808 atau e-mel enquiry@twentyfirstcenturysports.com

- Untuk pendaftaran dan bayaran secara dalam talian, layari www.hooha.asia

# Tarikh tutup pendaftaran

- 25 Januari 2010 atau sehingga mencapai jumlah 8,000 peserta.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url