Burj Khalifa pegang 15 rekod tertinggi

Tanggal 4 Januari yang lalu mengukir sejarah baru dalam ketamadunan manusia apabila dunia dipersembahkan dengan Burj Khalifa, binaan tertinggi pernah didirikan di atas muka bumi.
Selepas pembinaan hampir lima tahun, bangunan pencakar langit yang selama ini diperkenalkan sebagai Burj Dubai akhirnya dirasmikan dengan nama baru iaitu Burj Khalifa.
Gelaran diberikan sebagai menghargai sumbangan Sheikh Khalifa yang merupakan pemerintah negara Emiriyah Arab Bersatu (UAE).
Bangunan yang terpacak di tengah-tengah kota Dubai itu direkodkan dengan ketinggian 828 meter yang sebenarnya hampir menyamai ketinggian menegak satu kilometer (km).
Burj Khalifa jauh mengatasi ketinggian Taipei 101 di Taiwan setinggi 509 meter yang memegang gelaran bangunan tertinggi sejak 2004.
Sebagai struktur binaan paling tinggi, ia merampas dan mencipta 15 rekod tertinggi di dunia termasuk pencapaian terbaru dalam sejarah pembinaan bangunan moden.
Burj Khalifa menempatkan unit penginapan paling tinggi, pemasangan antena, cermin dan aluminium paling tinggi serta dek tinjauan luar, kolam renang dan masjid tertinggi di tingkat 158.
Selain itu, teknologi pembinaannya melibatkan pemasangan konkrit paling dalam, pemasangan lif terpanjang dan paling pantas di dunia dengan berkelajuan 18 meter sesaat bersamaan 64 km/jam.
Downtown Dubai
Kos pembinaannya dilaporkan mencecah AS$1.5 bilion (RM5.08 bilion) dengan menempatkan 3,000 unit pangsapuri, sembilan hotel termasuk penginapan mewah Hotel Armani dan 1,200 premis perniagaan.
Jika dihitung bersama pembangunan kawasan seluas dua kilometer persegi di sekelilingnya (Downtown Dubai), kos keseluruhan projek menelan belanja RM67 bilion.
Downtown Dubai merangkumi ruang perniagaan eksklusif, penginapan dan kemudahan persiaran yang menempatkan taman rekreasi, jambatan dan air pancut.
Antara lain adalah The Old Town, The Residences, South Ridge, Burj Lake Hotel & Service Apartments dan Dubai Mall Hotel & Service Apartments.
Mohamed Ali Alabbar selaku Ketua Pegawai Eksekutif Emaar Properties yang merupakan syarikat pemaju menganggarkan 90 peratus daripada lot bangunan itu telah pun dijual.
“Harga ruang pejabat di bangunan itu kini mencecah harga RM14,000 untuk setiap satu kaki persegi.
“Manakala harga bagi kediaman Armani dibuka pada harga RM12,250 pada saiz yang sama,” katanya.
Seperti kebanyakan menara tertinggi di dunia, Burj Khalifa juga menawarkan pemandangan dari udara yang memberi peluang kepada pengunjung untuk menyaksikan hampir keseluruhan bandar Dubai.
Ruang legar yang diberi nama At The Top pada tingkat 124 itu dibina dengan lantai cermin yang memberikan pemandangan telus pada sudut keliling 360 darjah.
Pelantar tinjau yang dibuka pada 5 Januari lalu kini boleh dikunjungi dengan bayaran 100 dirham (RM92).
Selain itu, konsep interaksinya juga memberi peluang kepada pelawat menyusuri sejarah pembinaan bangunan tertinggi itu. At The Top dijangka menjadi salah satu daripada tarikan utama di Dubai selepas ini.
Burj Khalifa yang boleh dilihat dari jarak kira-kira 100 kilometer itu direka oleh arkitek dan jurutera Adrian Smith dari syarikat Skidmore, Owings and Merill.
Turut terlibat pada fasa pertama pembinaan adalah Samsung C&T Korea Selatan yang membina Menara Berkembar Petronas dan juga Taipei 101.
Majlis perasmian
Sebagai meraikan kejayaan projek yang dimulakan pada September 2004, majlis perasmian oleh Naib Presiden negara itu, Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum baru-baru ini diadakan dengan penuh gilang- gemilang.
Majlis yang disaksikan kira-kira 2 bilion manusia di seluruh dunia itu bermula dengan paparan cahaya yang menggunakan 320 buah projektor.
Pencahayaan projektor pada permukaan Burj Khalifa sebagai skrin gergasi yang menggambarkan berkembangnya bunga Hymenocalis (inspirasi reka bentuk bangunan) yang menggunakan kuasa 72,000 watt itu dikatakan terbesar pernah dilakukan.
Sambutan itu dimeriahkan lagi dengan simbahan cahaya laser yang dipancar sehingga ketinggian 10 kilometer merentasi ruang udara Dubai yang disusuli dengan pancutan air berirama dan sinaran lampu berwarna-warni di sekitar Downtown Dubai.
Kemuncak perasmian adalah persembahan bunga api yang dilepaskan dari segenap penjuru bangunan itu. Tembakan 10,000 jenis bunga api yang direkodkan sebagai pertunjukkan bunga api tertinggi.
Persembahan dikendalikan oleh kontraktor bunga api terkenal, Christophe Berthonneau yang memiliki profil persembahan pada Piala Dunia 1998 dan Sukan Olimpik di Athen.
Temasya terhebat di bandar metropolitan yang disaksikan oleh keluarga di raja dan orang kenamaan Dubai pada malam itu disemarakkan lagi dengan muzik orkestra gubahan penerbit soundtrack filem terkemuka, Mike Lanaro.
- UTUSAN
