Douglas dedah petua jadi muda
LOS ANGELES - Jambangan bunga dan makan dalam suasana romantis bukan petua yang diamalkan aktor veteran Hollywood, Michael Douglas untuk memikat hati isterinya yang jauh lebih muda iaitu Catherine Zeta Jones, lapor sebuah akhbar semalam.
Sebaliknya, Douglas, 65, yang popular menerusi filem Wall Street memberitahu bahawa dia mendapat bantuan perubatan moden seperti pil Viagra dan Cialis bagi mengekalkan 'keharmonian' dalam rumahtangga mereka.
"Saya bersyukur kerana isteri saya sukakan lelaki lebih tua," kata Douglas ketika ditanya tentang rahsia perkahwinannya dengan Zeta Jones, 40 yang berkekalan hingga kini.
"Prestasi saya (di bilik tidur) juga bertambah baik sejak beberapa tahun lalu terima kasih kepada Viagra dan Cialis," tambahnya dalam satu wawancara dengan majalah AARP baru-baru ini.
Pasangan itu yang berkahwin sejak tahun 2000 telah dikurniakan seorang anak perempuan iaitu Carys dan anak lelaki, Dylan.
Sebelum ini, ramai pengkritik yang membuat spekulasi bahawa rumah tangga mereka tidak akan kekal lama kerana perbezaan usia yang ketara.
Bagaimanapun, Douglas yang bercerai dengan isteri pertamanya, Diandra Luker berkata, perkahwinan lewat itu menjadikan dia lebih fokus dan komited pada rumah tangga.
- Agensi