Dr James dilantik ganti Sulaiman sebagai Timbalan Menteri Pelancongan

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Mambong, Datuk Dr James Dawos Mamit dari Sarawak dilantik Timbalan Menteri Pelancongan menggantikan Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Taib yang meletak jawatan pada 14 Disember lalu.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini berkata Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan atas pelantikan yang dibuat selaras Fasal (1) Perkara 43A Perlembagaan Persekutuan.

Pelantikan berkuat kuasa tarikh Yang Berhormat mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia di hadapan Seri Paduka pada 13 Januari, di Istana Terengganu, di sini.

Sulaiman, 41, anak Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, meletak jawatan sebagai Timbalan Menteri Pelancongan atas alasan peribadi selepas ibunya, Puan Sri Laila Taib, meninggal dunia kira-kira enam bulan sebelum itu.

Naib Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu dilantik sebagai Timbalan Menteri pada 19 Mac 2008 ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi memegang jawatan Perdana Menteri.

Apabila Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih jawatan Perdana Menteri April lalu, Sulaiman dikekalkan di jawatan itu dalam barisan Kabinet baru.

- Bernama
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url