E-Undi permudah pengundian

Pengundian secara elektronik atau E-Undi ketika pilihan raya kampus merupakan antara proses yang semakin mendapat tempat di IPT di negara ini.

Antara yang menggunakan E-Undi ialah Universiti Malaya (UM), UPM, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan UIAM.

Bagi mengetahui sejauh mana penerimaan para mahasiswa terhadap sistem itu, Utusan Malaysia baru-baru ini mendapatkan pandangan mahasiswa yang memilih secara E-Undi pada pilihan raya Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UIAM sesi 2009/2010, Khamis lalu.

Seorang penuntut, Ubaid Abd Aziz, 23, berkata, dia gembira dapat menggunakan sistem E-Undi untuk kali ketiga.

Penuntut tahun tiga Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Warisan itu berkata, sistem itu mempermudahkan cara mengundi dan mempercepatkan pengumuman keputusan calon yang menang.

"Kempen di fakulti berlangsung baik, cuma saya tidak berkesempatan menghadiri majlis dialog dan pengucapan awam," katanya sambil menyifatkan kempen tujuh hari sebelum hari pengundian berjaya menghangatkan pilihan raya sesi ini.

Penuntut Fakulti Ilmu Wahyu Dan Sains Kemanusiaan (Psikologi), Zatil Arifah Mohd. Amin berkata, 24, pula lega dan puas dapat menggunakan sistem E-Undi dan kini memahami mengapa satu undi itu penting pada setiap pilihan raya umum.

"Sistem E-Undi ini menjadi akses kepada saya dengan dunia teknologi terkini, cuma saya harap setiap keputusan tidak disalahgunakan ketika pengiraan undi dijalankan secara automatik.

"UIAM melaksanakan sistem ini sejak tujuh tahun tahun lalu dan ia terbukti berkesan tanpa mengganggu waktu belajar," katanya.

Seorang lagi pelajar, Fakhriyyah Ibrahim, 23, berkata, perjalanan pilihan raya kampus tahun ini lancar seperti tahun-tahun sebelumnya termasuk dibantu dengan kemudahan E-Undi.

Penuntut tahun empat ijazah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan (Fiq dan Usul Fiqh) itu berkata, kempen kali ini lebih meriah kerana ia turut dilakukan melalui laman sosial seperti Facebook, Friendster dan laman blog calon yang bertanding.

"Dengan laman sosial itu, saya lebih mengenali calon yang bertanding. Pandangan ramai mengenai calon faktor penting untuk mengenali calon selain membaca manifesto mereka," katanya.

Sementara itu, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar (HEP) UIAM, Profesor Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, 42 calon bertanding bagi merebut 29 kerusi yang dipertandingkan pada pemilihan Khamis lalu.

Pilihan raya itu menyaksikan calon-calon yang dikenali sebagai pro aspirasi menguasai majoriti kerusi dipertandingkan.

Seramai 13 calon pro aspirasi memenangi kerusi yang dipertandingkan di kampus Gombak termasuk satu di Kuantan.

"Calon yang menang dijangka membentuk barisan kepimpinan MPP baru dalam tempoh satu hingga dua minggu ini," ujarnya.

Dalam pada itu, Nik Ahmad Kamal berkata, jumlah pelajar yang keluar mengundi tahun ini menyaksikan sedikit penurunan iaitu 59 peratus berbanding tahun lalu iaitu 66 peratus.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url