Hong Leong Bank beli EON Capital RM4.9b

Hong Leong Bank Bhd. (HLBB), bank yang keenam terbesar di Malaysia, hari ini mengumumkan tawaran untuk mengambil alih aset dan liabiliti EON Capital Bhd. (EON Capital) secara bayaran tunai berjumlah RM4.9 bilion.

Pertimbangan bayaran untuk menguasai pesaingnya yang lebih kecil dibuat berdasarkan modal saham terbitan dan berbayar EON Capital sehingga 30 September 2009 pada harga RM1.70 sesaham atau 1.4 kali nilai buku tahun lalu.

Harga tawaran itu mewakili premium sebanyak 31.5 peratus berdasarkan harga purata wajaran dagangan selama 180 hari saham-saham EON Capital pada 16 Disember 2009, iaitu tarikh pengumuman HLBB mendapat kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk memulakan rundingan dengan para pemegang saham utama EON Capital.

Bagaimanapun, tawaran berkenaan tertakluk kepada kelulusan para pemegang saham HLBB dan EON Capital serta badan pengawas selia negara.

Presiden Kumpulan HLBB, Raymond Choong berkata, sekiranya tawaran itu diterima, penggabungan HLBB dan EON Capital akan mewujudkan satu lagi entiti perbankan baru yang signifikan saiznya di Malaysia dan di rantau ini.

Pembelian itu akan menjadikan HLBB, bank yang keempat terbesar di negara ini.

Beliau menjelaskan, penggabungan dua bank itu bakal menawarkan kedudukan kukuh daripada aspek ekonomi, sektor perbankan, pelanggan, kakitangan dan para pemegang sahamnya.

‘‘Ini merupakan satu kisah mengenai pelaburan multi bilion dalam pertumbuhan domestik negara.

‘‘Kami yakin dan komited terhadap fundamental ekonomi dan potensi negara.

‘‘Penggabungan kedua-dua bank ini merupakan pelaburan untuk pertumbuhan potensi negara,’’ kata beliau dalam kenyataannya di sini hari ini.

Tambah beliau, penggabungan itu akan mewujudkan entiti besar dan ia akan menjadi institusi kewangan tersebut kukuh untuk terus menghadapi pelbagai cabaran dan perubahan pantas dalam landskap perbankan.

Jelasnya, penggabungan kedua-dua institusi perbankan itu juga akan mewujudkan daya saing lebih tinggi dengan meningkatkan fleksibiliti, memandangkan institusi perbankan akan berhadapan dengan liberalisasi dan undang-undang modal yang lebih ketat dan tinggi.

‘‘Persekitaran operasi (perbankan) akan menjadi lebih kompetitif dan dengan pengenalan piawaian tinggi, institusi kewangan domestik perlu mempunyai modal kukuh untuk kekal relevan,’’ jelasnya.

Choong menambah, penggabungan itu dijangka membolehkan para pelanggan mendapat akses produk dan perkhidmatan yang lebih baik, dengan kedua-duanya memiliki rangkaian lebih daripada 320 buah dan hampir 1,200 terminal khidmat layan diri.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url