Kerajaan Tidak Cadang Tubuh Suruhanjaya Agama

Kerajaan tidak bercadang menubuhkan Suruhanjaya Antara Agama pada masa ini kerana dialog tertutup yang dilakukan berterusan sekarang sudah memadai untuk menangani isu berbangkit, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata dialog tertutup itu juga dapat membantu mewujudkan persefahaman, menimbulkan suasana aman dan saling hormat-menghormati di kalangan rakyat majmuk di negara ini.

"Kita tidak perlukan Suruhanjaya Antara Agama. Pada ketika ini kita tidak fikir yang ia sesuatu yang perlu, tetapi dialog berterusan antara kumpulan yang mewakili agama-agama...Islam dan bukan Islam...sudah memadai," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Dialog Idealisme Generasi Muda di Angkasapuri di sini, hari ini.

Ditanya isu kalimah Allah yang melibatkan sensitiviti penganut agama Islam dan Kristian di negara ini, Muhyiddin berkata perbincangan secara tertutup antara pertubuhan kedua-dua agama itu sudah diadakan dan akan diteruskan.

"Kadang-kadang faedahnya lebih baik begitu (secara tertutup)...ini cara berhemah pasal bukan ada kepentingan politik.

"Ini untuk mencari satu titik pertemuan, mewujudkan persefahaman, menimbulkan suasana yang aman dan saling hormat-menghormati," katanya.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut berdialog dan menjelaskan pelbagai isu semasa yang dibangkitkan mahasiswa Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Teknologi Mara serta wakil pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Terdahulu, Muhyiddin melancarkan laman web politik rasmi pertama beliau My-Malaysia, yang antara lain memaparkan aktiviti kemasyarakatan dan politik, koleksi ucapan dan liputan berita dalam dan luar negara mengenainya.

Laman web itu juga mempunyai medium interaksi dua hala di antara Muhyiddin dengan rakyat dan boleh dilayari di http://www.my-malaysia.com.my.

"Hari ini, saya telah lancarkan laman web peribadi sebagai wadah untuk kita berkomunikasi.

"Saya berharap saudara-saudari akan menggunakan laman web ini untuk kita memberikan pandangan secara langsung mengenai apa sahaja isu," katanya ketika berucap melancarkan laman web itu.

Muhyiddin berkata penubuhan laman web itu juga sebagai usaha untuk mendekati dan berinteraksi dengan dengan anak-anak muda dengan menerima pandangan dan kritikan mereka.

"Anak-anak muda sekarang inginkan kerajaan yang telus, dalam erti kata lain menjelaskan dan menjawab apa saja isu yang dibangkitkan (dan) kerajaan komited untuk berbuat demikian.

"Dan untuk itu, kita akan terus mendekati anak-anak muda melalui media sosial," katanya.

Menurutnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga aktif berinteraksi melalui laman web 1Malaysia, Twitter dan Facebook dan anggota-anggota Kabinet juga telah diminta untuk berinteraksi dengan rakyat melalui media sosial itu.

"Justeru itu, saya ingin ingatkan anak-anak muda untuk menggunakan media sosial dan membuat kritikan secara berhemah. Walaupun kita berbeza pendapat, usah ketepikan adab dan budaya," katanya.

- BERNAMA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url