Pertarungan tiga penjuru Apiz, Tom, Sara
Debaran kini pasti dirasai oleh tiga anak muda, Muhamad Hafidz atau lebih dikenali sebagai Apiz, Raja Farah Afzal (Tom) dan Maisarah (Sara) apabila mereka bakal berentap sesama sendiri di gelanggang akhir My Starz LG musim ketiga (My Starz LG 3) Ahad ini.
Setelah tiga bulan bertarung dalam konsert mingguan, peringkat akhir My Starz LG akan menentukan individu yang layak diumumkan sebagai juara lalu membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000, televisyen paparan cecair kristal (LCD) - LG SL90 dan menerima kontak rakaman bersama Warner Music Malaysia.
Tempat kedua pula memenangi wang tunai RM15,000 dan barangan LG Chocolate Phone (BL40) manakala tempat ketiga menerima RM5,000 dan set teater rumah - HT964PZ sumbangan LG.
Menjadi peserta tunggal lelaki sambil diapit oleh dua bunga di pengakhiran pertandingan bukan bermakna Apiz, 22, menerima laluan mudah untuk bergelar sang juara My Starz LG edisi ketiga.
Apiz atau nama penuhnya Muhammad Hafidz Muhammed Kamal sebaliknya menyedari dua peserta wanita itu memiliki kelebihan masing-masing sekali gus tidak boleh diperlekeh begitu sahaja.
"Saya tak anggap jadi satu-satunya peserta lelaki maka boleh menang dengan mudah. Ia bagaimanapun lebih menakutkan saya kerana harus melipat ganda usaha bersaing dengan Tom dan Sara.
"Tak dinafikan, perasaan gemuruh memang ada dalam diri. Tapi saya tak mahu cepat patah semangat dalam soal ini. Paling penting, saya kena percaya pada kemampuan diri ketika berada di pentas akhir nanti.
"Saya bakal menyanyikan lagu medley Suci Dalam Debu dan Terharu secara solo. Untuk lagu duet pula, saya akan bergandingan dengan Tiar dari kumpulan Jinbara menerusi lagu Patri dan Farhana," ujarnya yang meminati lagu jalur balada dan rock.
Biarpun Raja Farah Afzal Raja Ikram atau lebih mesra disapa Tom pernah melangkahkan kaki pada World Championship Of Performing Arts (WCOPA) di Hollywood, Amerika Syarikat Julai lalu, dia tidak sesekali memandang rendah terhadap kelebihan peserta lain.
"Saya tetap buat persediaan untuk peringkat akhir My Starz LG dengan memantapkan vokal dan lihat laman web popular YouTube untuk belajar lagu-lagu yang ingin dinyanyikan.
"Saya akan mendendangkan lagu medley berentak rock daripada kumpulan Search dan Bunkface iaitu Isabella dan Revolusi. Saya juga akan berkolaborasi dengan Mus (May) melalui lagu Senja Nan Merah.
"Siapa saja tak mahu menang kalau dah bekerja keras sampai tahap sekarang. Walau apa jua keputusan kelak, saya tetap terima dengan hati terbuka kerana peluang dapat sertai My Starz LG sendiri dah jadi kebanggaan kepada diri," ujar wanita berusia 23 tahun itu.
Pemilik nama penuh Maisarah Ismail atau Sara, 22, bagaimanapun meluahkan perasaan teruja apabila berpeluang mara pada peringkat akhir setelah berhempas-pulas sejak beberapa bulan lepas.
"Buat persembahan di pentas besar dengan disaksikan penonton lebih ramai agak membimbangkan saya. Tapi selepas fikir tentang usaha yang dilakukan sebelum ini maka saya terus berfikiran optimis.
"Saya akan nyanyikan lagu medley Bunga-Bunga Cinta dan Senggol-Senggolan. Untuk lagu duet, saya akan mendendangkan lagu Penawar Rindu dengan susunan muzik baru bersama Adam (Akademi Fantasia 2).
"Insya-Allah, saya akan melakukan yang terbaik pada malam akhir. Kalau menang, nampaknya ia menjadi hadiah hari jadi paling bermakna kepada saya," jawabnya yang dilahirkan pada 2 Februari 1987.
Format pemarkahan My Starz LG ditentukan sebanyak 50 peratus daripada juri-juri, Azmeer, Ajai dan Mas Idayu. Markah selebihnya pula 50 peratus dinilai daripada undian khidmat pesanan ringkas (SMS).
Undian SMS mula dibuka kepada pengundi mulai 30 Januari dan ditutup sejurus berakhirnya persembahan daripada semua peserta pada 31 Januari.
Konsert akhir itu bakal dihoskan oleh Nazruddin Habibur Rahman atau Naz dan Puteri Andreanna Syigim (Anne).
Ia juga diserikan dengan artis jemputan seperti Jaclyn Victor pada pembukaan dengan lagu Gemuruh dan kemunculan dua penyanyi tersohor dari dua negara serumpun, Malaysia dan Indonesia - Datuk Siti Nurhaliza dan Krisdayanti.
Siti bakal mendendangkan lagu Cinta Ini manakala Krisdayanti pula menyanyikan lagu Aku Wanita Biasa. Sebelum tirai konsert akhir My Starz LG ditutup, audiens bakal dipersembahkan dengan gandingan mantap dua diva itu menerusi lagu Amarah.
Konsert akhir My Starz LG dipancarkan secara langsung melalui stesen TV3 dari Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur bermula pukul 9 malam.
- KOSMO!