Kesedaran generasi muda daftar jadi pemilih masih berkurangan

Oleh Kamal Ahmad

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan ada kira-kira 4.3 juta rakyat Malaysia layak mengundi, tetapi belum mendaftar sebagai pemilih dan jumlah itu meningkat pada purata 400,000 setahun, kata Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Dengan mengandaikan jumlah sedia ada dan purata tambahan tahunan kekal sehingga 2013, Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 bakal menyaksikan kira-kira 5.5 juta rakyat layak mengundi, tetapi tidak mendaftar sebagai pemilih. Apakah kesan perkara ini? Sehubungan itu, SPR turut mengkaji kemungkinan setiap warga negara ini yang mencapai usia 21 tahun, diwajibkan mengundi, tetapi banyak pihak tidak bersetuju.

“Lagi pun apabila kita paksa (mewajibkan) mendaftar, SPR perlu menguatkuasakannya supaya mereka mengundi. Kalau tidak (mengundi), kena hukum. Ini yang rakyat tidak suka kerana bertentangan dengan kebebasan peribadi mereka,” kata Abdul Aziz sambil menyatakan pendirian SPR akhirnya kembali kepada asas iaitu mahu rakyat mendaftar atas kesedaran sendiri berhubung tanggungjawab dan hak mereka dalam proses demokrasi itu.

Siapa mereka dan kenapa sedemikian? Jawabnya, jumlah paling ramai berusia 22 hingga 30 tahun, berpendidikan, bekerja di sektor swasta serta tinggal di bandar. Mereka dianggap muda, mudah terpengaruh atau dipengaruhi. Berdasarkan sepasukan penyelidik dari Fakulti Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia Universiti Teknologi Malaysia (UTM), kajian memperlihatkan golongan terbabit mempunyai kesedaran, tetapi belum mendaftar sebagai pemilih atas 13 sebab atau alasan utama.

Berdasarkan rekod PRU Ke-12 lalu, ada 10.74 juta pemilih berdaftar dan 8.1 juta keluar mengundi. Sejumlah 7.942 juta undi diterima, 40,980 kertas undi tidak dikembalikan, manakala 177,256 kertas undi ditolak. Barisan Nasional (BN) memperoleh 4.081 juta undi (51.4 peratus) dalam PRU itu. Lantas BN perlu bekerja keras untuk meraih sebahagian besar daripada 4.3 juta orang yang layak menjadi pengundi itu. Kejayaan memikat dan meyakinkan mereka akan menambahkan sebahagian lagi jumlah undi kepada BN.

Mengulas perkembangan itu, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata parti itu turut mempunyai 661,000 ahli yang belum mendaftar sebagai pemilih. Namun beliau selaku Pengerusi Biro Keahlian dan Daftar Pemilih Umno berkata, perkara itu menjadi antara keutamaan parti sekarang.

“Saya sudah meminta cawangan, bahagian dan negeri serta sayap parti - Wanita, Puteri dan Pemuda mempergiatkan usaha supaya ahli terbabit mendaftar sebagai pemilih. Umno ada 3.4 juta ahli tetapi 600,000 daripadanya tidak mendaftar sebagai pemilih dan ini pastinya merugikan. Oleh itu, Umno kini memasuki fasa dua program khas untuk memastikan ahli terbabit mendaftar sebagai pemilih sekali gus mengurangkan jumlah berkenaan,” katanya.

Ketua Sekretariat biro itu, Datuk Dr Adham Baba, berkata alasan utama golongan berkenaan ialah malas mahu mendaftar kerana prosesnya memerlukan mereka meluangkan masa.

“Kedua, mereka sudah hidup dalam keadaan selesa sehingga tidak lagi terfikir soal kerajaan ataupun tidak ada pihak memberitahu mereka,” katanya sambil memberitahu Umno Pahang contohnya melaksanakan Program Penerangan dan Taklimat yang bertindak sebagai serampang tiga mata dalam usaha mencapai matlamat itu.

Parti pembangkang difahamkan turut melaksanakan strategi dan pendekatan tersendiri untuk ‘memikat’ 4.3 juta calon pengundi terbabit. Dalam PRU Ke-12 lalu, Parti Keadilan Rakyat memperoleh 1.529 juta undi (19.3 peratus), Pas 1.140 juta undi (14.4 peratus) manakala DAP 1.097 juta undi (13.8 peratus). Dengan kedudukan 3.767 juta undi (47.5 peratus) diterima tiga parti pembangkang maka usaha menambah bilangan undi untuk BN perlu dilakukan segera secara sistematik, agresif dan strategi.

Namun Setiausaha Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Syed Ali Alhabshee, tidak selesa sikap golongan itu kerana mendaftarkan mereka sebagai pemilih bukan lagi tanggungjawab kerajaan atau mana-mana pihak.

“Di mana tanggungjawab mereka sebagai warga negara yang diberi hak mengundi apabila berusia 21 tahun. Ini hak mereka untuk mengundi. Apakah mereka tidak tahu soal nasib dan masa depan anak cucu generasi mereka jika tidak mengundi? Ini sangat penting dan perlu dilakukan oleh semua (untuk mengundi).

Kalau apa-apa terjadi kepada negara kita dan dia tidak mendaftar sebagai pengundi, siapa hendak dipersalahkan kalau mereka sendiri tidak mahu mengambil tanggungjawab, ” katanya sambil meminta ibu bapa memainkan peranan penting untuk memastikan setiap anak yang mencapai usia 21 tahun mendaftar sebagai pemilih.

Satu lagi tanggungjawab Umno dan parti komponen BN dalam tempoh sebelum PRU Ke-13 ialah proses persempadanan semula kawasan pilihan raya membabitkan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula Mei 2011. Tempoh 16 bulan ini memerlukan BN dan Umno memberi fokus khusus perjalanan dan kesan proses itu. Ia lazimnya membabitkan pertambahan kerusi Parlimen dan DUN. Ketika ini ada 222 kerusi Parlimen dan 576 kerusi DUN di seluruh negara. Jumlah pertambahan kerusi baru kedua-dua kawasan itu akan ditentukan SPR selepas melalui semua prosedur pewartaan selewat-lewatnya Mei 2013.

Laporan Kajian Semula Persempadanan dengan syor awal persempadanan dikemukakan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Perdana Menteri. Pada masa sama, notis dikeluarkan dalam sekurang-kurangnya satu akhbar dan disiarkan dalam Warta Kerajaan, serta dipamerkan di semua bahagian pilihan raya selama sebulan untuk pemeriksaan dan rayuan orang ramai.

Justeru, Umno mesti bersedia mulai sekarang untuk mengambil bahagian secara aktif dalam proses persempadanan semula itu dengan melakukan pemeriksaan dan membuat rayuan (jika perlu) sepanjang tempoh pameran. SPR pula mesti melakukan siasatan tempatan untuk mendengar rayuan yang diterima dalam tempoh pameran dari mana-mana kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan kumpulan 100 orang pemilih dan lebih dari bahagian pilihan raya yang terbabit dengan kajian itu.

“Umno memang akan mengemukakan cadangannya dalam proses itu. Ini dilakukan dalam semua proses persempadanan semula kawasan pilihan raya selama ini,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kempas, Datuk Osman Sapian.

Sebaik saja selesai siasatan itu, sebarang perubahan kepada syor persempadanan mesti dipamerkan semula kepada orang ramai untuk tempoh sebulan. SPR tidak perlu mengadakan lebih daripada dua siasatan tempatan.

Cadangan persempadanan yang akhir kemudian dikemukakan kepada Perdana Menteri untuk dibentangkan dalam Dewan Rakyat bagi mendapatkan kelulusan. Bahagian pilihan raya yang baru hanya terpakai apabila Parlimen atau DUN dibubar.

Dengan mengetepikan sama ada cadangan persempadanan ini dapat diluluskan Parlimen atau sebaliknya itu bukan persoalan kerana yang lebih utama BN mesti menyertai proses itu secara agresif bagi memastikan parti berupaya menang bagi setiap kawasan yang baru diwujudkan kelak.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url