Lebih 10,000 kunjungi Istana Besar, Johor Bahru
JOHOR BAHRU: Lebih 10,000 rakyat jelata pelbagai kaum dari dalam dan luar negara semalam, mengunjungi Istana Besar di sini, seawal jam 9 pagi bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Almarhum Sultan Johor, Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail, yang mangkat kerana gering malam kelmarin.
Rakyat jelata menyifatkan kemangkatan Almarhum Sultan sebagai perginya Raja berjiwa rakyat yang menyumbang sebahagian hayat bagi memastikan nasib rakyat, terutama yang miskin dan di luar bandar terbela sepenuhnya.
Bekas pekerja Almarhum Sultan di Istana Pasir pada 1987, Mohd Ibrahim Oyok, 79, berkata kemangkatan Almarhum satu kehilangan besar kepada rakyat di Johor berikutan sifat baginda yang terkenal sebagai pemimpin mengambil berat hal ehwal rakyatnya.
Katanya, pengalaman bekerja sebagai renjer hutan dengan Almarhum antara kenangan paling manis dalam hidup beliau kerana mempunyai seorang pemimpin yang sentiasa peka dan sudi mendengar segala aduan dan masalah dihadapi rakyat jelatanya.
"Almarhum seorang pemerintah berjiwa rakyat kerana bukan saja bertanggungjawab terhadap segala permasalahan rakyatnya, malah sikapnya yang sentiasa bertanya khabar dan mendekati masyarakat membuatkan Almarhum akan sentiasa dikenang.
"Justeru, saya berasa sangat sedih kehilangan Almarhum dan berharap Sultan Johor, Tunku Ibrahim Ismail akan menjadi seperti Almarhum ayahandanya yang sentiasa disukai rakyat jelata," katanya ketika ditemui selepas memberikan penghormatan terakhir kepada Almarhum Sultan Iskandar di Istana Besar di sini, semalam.
Warga emas, Ismail Abu Bakar, 74, berkata beliau berasa kehilangan dengan kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar yang disifatkan sangat mesra dan tidak pernah sombong walaupun berada pada kedudukan yang tinggi sebagai Sultan di negeri itu.
"Almarhum Sultan adalah seorang pemimpin yang sangat baik hati, malah Almarhum tidak pernah sekali pun menunjukkan sikap bongkak walaupun berhadapan dengan rakyat jelata daripada pelbagai kaum dan agama, mahupun darjat," katanya.
Pengarah Program Malaysia Persatuan Pemeliharaan dan Pemuliharaan Hidupan Liar, Dr Melvin Gumal, berkata kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar adalah kehilangan yang sangat besar apatah lagi Almarhum berminat dalam kempen untuk menyelamatkan hidupan liar.
"Saya mengenali Almarhum Sultan Iskandar sejak lebih 10 tahun lalu dan mendapati Almarhum sangat berwibawa, malah berhati penyayang kerana sering memberi perhatian terhadap kempen untuk menyelamatkan hidupan liar," katanya.
Timbalan Pengarah Program Asia Persatuan Pemeliharaan dan Pemuliharaan Hidupan Liar yang berpangkalan di New York, Amerika Syarikat, Peter Clyne, berkata beliau berasa sedih terhadap kemangkatan Almarhum Sultan yang disifatkan berpengetahuan luas dan berwibawa.
"Saya baru tiba dari New York pagi tadi (pagi semalam) bagi memberi penghormatan terakhir," katanya.
- BERITA MINGGU