Maybank tawar hadiah tunai RM2 juta

Malayan Banking Bhd. (Maybank) yang menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-50 tahun ini, menyediakan hadiah wang tunai RM2 juta sebagai ganjaran kepada pelanggan baru dan sedia ada apabila menggunakan produk dan perkhidmatan bank itu.
Pengerusi Maybank, Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd. Nor berkata, ganjaran itu merupakan tanda terima kasih bank tersebut kepada kesetiaan kepada para pelanggan, komuniti dan kakitangannya.
‘‘Pelanggan yang menggunakan produk dan perkhidmatan Maybank termasuk membuka akaun, mengambil perkhidmatan gadai janji atau pinjaman kereta serta memohon kad kredit secara automatik berpeluang mendapat hadiah-hadiah tersebut,’’ katanya.
‘‘Ini adalah tanda terima kasih kami kepada mereka kerana menjadikan Maybank sebagai jenama utama di Malaysia dan bakal menjadi kumpulan peneraju perkhidmatan kewangan di rantau ini,’’ katanya ketika pelancaran logo dan tema ulang tahun Maybank iaitu Close to you di sini hari ini. Turut hadir Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Abdul Wahid Omar.
Maybank berkata, pemilihan pemenang hadiah tersebut akan dilakukan secara rawak dan para pelanggan berpeluang memenangi wang tunai itu pada pada setiap minggu dan bulan.
Fasa pertama kempen ulang tahunnya sudah bermula sejak awal bulan ini dan akan diteruskan sehingga 30 April ini dengan jumlah hadiah tunai sebanyak RM500,000 termasuk hadiah utama sebanyak RM200,000.
Bank perdagangan terbesar negara ini kini memiliki pelanggan serantau sebanyak 16.3 juta termasuk 9.5 juta di Malaysia.
Abdul Wahid berkata, Maybank juga akan menawarkan produk-produk istimewa sempena ulang tahunnya termasuk pakej khas gadai janji, pengembaraan dan akaun baru deposit serta lain-lain pada tahun ini.
Katanya, bank itu juga akan memulakan aktiviti tanggungjawab sosial pada bulan ini dengan mempromosikan penggunaan bil dan penyata elektronik di kalangan pengguna Maybank2u.
Dengan kempen hijau itu, Maybank akan memberi sumbangan RM1 daripada setiap penggunaan urus niaga tanpa kertas dengan sasaran untuk mencapai sebanyak RM150,000 yang kemudian disumbangkan bagi tujuan sokongan alam sekitar.
- UTUSAN
