Mutu web, portal kerajaan

Oleh AZMAN ANUAR
rencana@utusan.com.my

Rakyat Malaysia kini bercakap soal kadar bayaran perkhidmatan jalur lebar untuk mendapatkan maklumat terkini di dalam Internet termasuk meninjau laman web dan portal kerajaan.

Inilah masa rakyat menilai hasil projek kebangsaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) Perkhidmatan Pengurusan Portal (MPS) yang bertujuan meningkatkan penggunaan teknologi itu di kalangan rakyat. Projek tersebut telah dilancarkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak pada 29 September 2007.

Projek membabitkan peruntukan RM250 juta untuk tempoh enam tahun itu akan menyaksikan lebih 450 gerbang dan portal Internet kerajaan dan agensinya dinaikkan taraf oleh tenaga ICT tempatan.

Sebuah syarikat ICT tempatan, SKALI, dipertanggungjawab membangun, meningkat dan menyelenggara 102 laman web milik pihak berkuasa tempatan (PBT) di Semenanjung termasuk Labuan dan 471 laman web milik Kerajaan Persekutuan.

Usaha pihak kerajaan ini ternyata berkesan apabila laman web beberapa kementerian dan agensi di bawahnya, telah berjaya dinaik tarafkan melalui fasa pertama projek MPS tersebut.

Perkara ini terbukti melalui Laporan Penilaian Laman Web dan Portal Kerajaan Malaysia 2009 oleh Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) baru-baru ini yang menunjukkan peningkatan ketara laman web kerajaan terutama yang dimajukan melalui projek MPS.

Bagaimanapun masih terdapat beberapa laman web yang dilihat belum mencapai standard yang ditetapkan.

Sebab itu hanya tujuh atau 0.65 peratus laman web kementerian dan agensi kerajaan mendapat status lima bintang daripada 1,192 portal atau laman web dalam Laporan Penilaian Laman Web dan Portal Kerajaan Malaysia 2009.

Kedudukan itu jelas menggambarkan angka laman web yang mendapat kualiti tinggi adalah sangat kecil berbanding dengan jumlah keseluruhan.

Pada 17 November 2009, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan menyatakan laman web kendalian Kementerian Kewangan; Pejabat Perdana Menteri, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu); Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia; Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan; Pejabat Kerajaan Negeri Selangor, selain portal myGovernment menerima penilaian lima bintang.

"Hasil laporan ini satu cabaran kepada mereka, jika tujuh laman web ini boleh mendapat lima bintang, kenapa selebihnya tidak boleh," kata Mohd Sidek selepas merasmikan seminar "Perubahan 1Pengurusan Perkhidmatan Kerajaan Dalam Talian: Amalan Utama Untuk Berubah."

Kritikan KSU itu dituju kepada semua ketua jabatan supaya mengambil tindakan serius.

Berdasarkan Laporan Penilaian Laman Web dan Portal Kerajaan Malaysia 2009, sejumlah 1,192 portal atau laman web kerajaan dinilai termasuk 152 laman web di bawah projek MPS.

Format penilaian itu dibahagi kepada tiga bahagian iaitu Penilaian Utama, Penilaian Perkhidmatan Dalam Talian dan Penanda Aras.

Mengikut keputusan laporan penilaian MDeC, laman web MPS yang terbaik ialah portal Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang menunjukkan peningkatan bagi 2009 apabila menduduki rangking ketujuh berbanding tangga ke-14 pada 2007.

Laman web yang paling menonjol pen capaiannya ialah Majlis Bandaraya Petaling Jaya yang juga berada di tangga ketujuh berbanding tangga ke-32 pada 2007. Kedua-dua laman web itu berjaya mendapat status empat bintang.

Tiga lagi laman MPS yang mendapat rangking terbaik ialah Majlis Perbandaran Subang Jaya (tempat ketujuh) dan berstatus empat bintang, Majlis Bandaraya Johor Bahru (tempat kelapan, empat bintang), dan Majlis Daerah Gerik (tempat kelapan, empat bintang).

Untuk Penilaian Perkhidmatan Dalam Talian pula, 42 laman MPS berada di tempat 10 terbaik. Dalam kriteria ini, laman web dinilai berdasarkan kriteria yang dipecah kepada dua kategori iaitu utama dan pertengahan.

Laman-laman tersebut diberi markah gred A hingga E bergantung kepada bagaimana ia menepati kriteria dalam dua kategori tersebut. Terdapat 38 laman web MPS berjaya mendapat gred A dan B dalam penilaian awal itu.

Mengikut laporan MDeC itu, pihaknya masih membuat analisis lanjut untuk mendapat gambaran dan keputusan sebenar mengenai prestasi laman web projek MPS.

Selepas keputusan analisis awal, prestasi laman web dan portal di bawah MPS ialah 62 mendapat empat bintang, 78 tiga bintang, 9 dua bintang dan tiga tidak dapat dinilai.

Apa yang membanggakan ialah sebuah majlis tempatan yang kecil seperti Majlis Daerah Gerik menampilkan prestasi yang mengagumkan. Kini masyarakat tempatan dan antarabangsa mudah melawat dan mengetahui lebih mendalam mengenai daerah Gerik setelah laman webnya dinaik taraf.

Hakikatnya, laporan penilaian laman web dan portal kerajaan ini menjadi pendorong untuk jabatan kerajaan meningkatkan mutu dan perkhidmatan dalam talian masing-masing. Ia juga menunjukkan betapa projek MPS yang dirintis oleh kerajaan mampu meningkatkan kecekapan laman web dan portal.

Jelas, kerajaan telah memilih jalan yang betul dalam membenarkan sumber luar untuk membantu mereka meningkatkan taraf laman-laman web ini.

Rakyat akan mendapat manfaat apabila laman web kerajaan dinaik taraf kerana mereka boleh terus 'berkomunikasi' secara dalam talian dengan pegawai kerajaan tempatan atau kementerian tertentu untuk mendapat maklumat lanjut dan urusan secara talian.

Kebanyakan laman web jabatan kerajaan telah dikemas kini cuma fungsinya perlu diperluaskan. Kalau portal itu tidak dikemas kini atau berfungsi dengan baik, ia tidak boleh memberi khidmat yang diharapkan maka tentulah dianggap sebagai tidak berfungsi.

Malah ada wajah laman web bertukar setiap tahun tetapi isi kandungannya masih ditakuk lama. Proses mengemas kini laman web juga penting selaras dengan hasrat kerajaan mahu menjadikan rakyat Malaysia berilmu.

Sehubungan itu, Eksekutif Pembangunan Perniagaan Bernama System & Solutions Advisor, Mohamad Ghazali Zainal Abidin berpendapat elok tugas mengemas kini maklumat laman web atau portal jabatan kerajaan diswastakan kerana ia suatu kerja yang rumit dan memerlukan kemahiran tinggi.

"Amat penting kerajaan meneruskan program penyumberan luar tugas itu kepada syarikat yang berkelayakan terutama yang sudah terbukti keupayaannya," kata beliau.

Mohamad Ghazali menekan betapa ada baiknya ditinjau juga laman-laman web bukan di bawah projek MPS. Ada yang gagal memenuhi cita rasa dan standard yang diperlukan.

"Perhatian dan tindakan segera perlu diambil. Ini pun sebahagian daripada usaha untuk memperbaiki lagi perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat," kata beliau.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url