Pengguna patut bijak manfaat Facebook, Twitter
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata beliau bukan melarang rakyat menggunakan Facebook atau Twitter, tetapi mengingatkan masyarakat semua yang didengar dan dilihat di laman itu tidak boleh diterima bulat-bulat.
“Apabila menggunakan alat ini, sifat kemalaysiaan kita, keislaman atau pegangan agama masing-masing dalam diri perlu kuat. Identiti diri bergantung kepada diri sendiri. Mereka (pengendali laman sosial) berniaga Facebook, Twitter dan juga menerusi angkasa lepas.
“Kita menerima semua ini dalam keadaan kejutan budaya. Kita jangan cepat memandang rendah mereka yang tidak menggunakan Facebook atau Twitter.
“Surat khabar tetap relevan dan begitu juga Facebook, tetapi jangan menerima semua pengisiannya seolah-olah yang lama tidak dipakai lagi,” katanya.
Bercakap selepas merasmikan Seminar Kesedaran 1Malaysia di Medan Selera PJ Perdana, dekat sini semalam, Rais berkata, kes seorang pelajar Akademi Seni, Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) didakwa di mahkamah kelmarin kerana memberi komen isu kalimah Allah dan cubaan membakar gereja dalam Facebook adalah contoh yang baik.
Beliau mengucapkan tahniah kepada agensi penguatkuasa, terutama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang meneliti kejahatan penggunaan Faceboook, Twitter dan aplikasi komunikasi lain termasuk SMS.
“Bukan bermakna kita dapat melepaskan diri daripada tanggungjawab apabila menggunakan Facebook atau Twitter. Keadaan tetap sama seperti menulis dalam surat khabar dari segi kesannya terhadap undang-undang dan jenayah,” katanya.
Rais mengakui kekurangan penguatkuasaan antara kekangan dihadapi dalam membanteras penyalahgunaan aplikasi komunikasi dan menyerahkan perkara itu kepada agensi berkaitan seperti Jabatan Peguam Negara, polis, SKMM, pihak berkuasa tempatan serta pihak yang boleh menggunakan Kanun Acara Jenayah.
- BERITA MINGGU
