Persaraan diluluskan dengan syarat

Kerajaan memutuskan persaraan pilihan anggota sektor awam akan diluluskan dengan syarat mereka bersetuju dibayar 20 peratus daripada ganjaran atau RM10,000 terlebih dahulu, mengikut mana yang lebih, ketika bersara.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam berkata, bayaran selebihnya akan dibayar pada tarikh yang akan ditetapkan kerajaan tetapi tidak melampaui tarikh anggota mencapai umur bersara wajib.

Katanya, bagaimanapun wang tunai sebagai Gantian Cuti Rehat (GCR) dan pencen bulanan akan dibayar sepenuhnya mengikut peruntukan undang-undang pencen.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ismail menjelaskan bahawa ganjaran yang dimaksudkan akan dibayar kepada pesara selepas semua hutang piutangnya kepada kerajaan telah dijelaskan.

"Sekiranya ganjarannya didapati tidak mencukupi untuk menampung hutang piutang, maka baki hutang piutang akan ditolak daripada GCR, jika ganjaran dan GCR tidak mencukupi untuk menampung hutang piutang, bakinya akan ditolak daripada pencen pesara sehingga selesai," katanya.

Ismail berkata, kelonggaran boleh diberikan atas sebab anggota atau ahli keluarganya memerlukan rawatan perubatan (berdasarkan surat akuan bertulis oleh pegawai perubatan Kerajaan).

Katanya, anggota atau ahli keluarganya memerlukan perbelanjaan pendidikan (berdasarkan surat tawaran dan penerimaan pengajian) dan anggota yang memerlukan kewangan bagi mengelakkan diri daripada tindakan kebankrapan (berasaskan dokumen berkaitan tindakan undang-undang).

Sekiranya anggota bersetuju dengan syarat bersara itu, mereka hendaklah mengisi dan mengemukakan Surat Persetujuan/Permohonan Pengecualian Syarat Penangguhan Bayaran Sebahagian Ganjaran Berkaitan Persaraan Pilihan, katanya.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url