Peyatim perkenal wakaf bagi tapak KTB


Tahun 2010 membuka lembaran serta azam baru kepada Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Malaysia (Peyatim) sementelahan, ia bakal menyambut ulang tahunnya yang ke-20.

Malah bukan itu sahaja, pada pertengahan Mac ini, Peyatim akan mengadakan Sukan Anak-anak Yatim Malaysia (Sukya) di Stadium Tertutup, Kuala Terengganu.

Tambah mengujakan, Peyatim dalam program pembangunan jangka panjangnya sedang berusaha menaiktaraf Kolej Teknologi Bestari (KTB) di Setiu, Terengganu menjadi Universiti Kolej Bestari Malaysia (UKBM) berkonsepkan wakaf ala Universiti al Azhar yang melibatkan tapak kolej seluas 128 hektar.

Presiden Peyatim, Datuk Dr. Tengku Mahmud Mansor menjelaskan, konsep wakaf yang diluluskan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) pada Mei lalu itu merupakan usaha pertubuhan tersebut bagi membantu anak yatim dan miskin melanjutkan pelajaran di bidang akademik mahupun kemahiran secara berterusan.

Sejarah Peyatim, kata beliau bermula pada November 1990, hasil gabungan pertubuhan serta asrama anak-anak yatim di seluruh negara. Kewujudan Peyatim hakikatnya bermula dengan Pertubuhan kebajikan Anak-anak Yatim Negeri Terengganu (Perkaya), kira-kira 30 tahun lalu.

"Sehingga kini, Peyatim merupakan sebuah badan kebajikan yang bertindak sebagai badan penyelaras kepada 49 ahli gabungan dengan 53 asrama dari seluruh Malaysia termasuk di Sabah dan Sarawak.

"Malah terdapat lebih kurang 4,000 orang anak yatim yang tinggal di asrama-asrama kami. Jumlah ini sebenarnya sedikit berbanding jumlah terkini anak yatim seluruh Malaysia, yang dianggarkan lebih kurang 300,000 orang," jelasnya.

Malah katanya, bilangan itu bertambah dari semasa ke semasa terutamanya kerana kemalangan jalan raya dan pelbagai penyakit kronik.

"Kalau kita lihat senario anak-anak yatim di negara ini, memanglah mereka ini cukup dari segi makan dan pakai dan jarang sekali kita dengar ada yang mati kebuluran.

"Namun, apa yang sering diambil ringan ialah taraf pendidikan anak-anak yatim ini. Persepsi yang hanya melihat kepada aspek kebajikan dari segi fizikal inilah yang perlu diubah.

"Oleh kerana itulah, salah satu daripada wawasan Peyatim adalah meningkatkan taraf pendidikan golongan ini hingga ke peringkat tertinggi seperti menyambung pengajian ke peringkat kolej ataupun institusi pengajian tinggi," ujar Tengku Mahmud pada temu bual di Wisma Peyatim, Taman Nirwana, Ampang, Selangor, baru-baru ini.

Sejajar dengan matlamat Peyatim yang menitikberatkan soal kecemerlangan bidang akademik dan kemahiran, lantas penubuhan Kolej Teknologi Bestari (KTB) pada 1998. Empat tahun kemudian ditubuhkan pula Institut Teknologi Bestari (ITB), sekali gus memastikan usaha negara dalam melahirkan modal insan cemerlang terlaksana seiring pembangunan negara.

"Kami menyediakan 30 peratus peluang belajar di sini kepada anak-anak yatim, manakala selebihnya dibuka kepada anak-anak miskin dan terbuka," katanya.

Sehingga kini lebih 5,000 graduan dihasilkan menerusi KTB dan lebih 1,000 dari ITB. Peyatim juga sedang menggerakkan agar 53 asrama menumpukan kepada pencapaian sekurang-kurangnya lima kredit dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terutamanya dalam Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Agama.

Kata Tengku Mahmud, KTB adalah sebuah Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang menjalankan program kerjasama dengan beberapa universiti awam Malaysia.

Ia adalah kolej yang pertama berusaha memartabatkan anak-anak Melayu miskin, golongan PPRT (Program Pembangunan Rakyat Termiskin) dan anak-anak yatim di seluruh Malaysia yang berkemampuan dalam bidang akademik untuk mendapatkan peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

"Justeru, ini membuktikan penubuhan kolej ini bukan bermotifkan keuntungan semata-mata tetapi lebih ke arah kebajikan.

"Kita cuba untuk merealisasikan pembangunan keilmuan dalam arus perdana globalisasi negara supaya peluang pendidikan ini turut sama dikecapi oleh kumpulan sasaran kami ini," ujarnya, di samping para pelajar ini turut memiliki nilai tambah sebagai pelapis imam dan bilal.

Tambah Tengku Mahmud, ketika ini KTB menawarkan kursus-kursus peringkat sijil, diploma dan ijazah sarjana muda.

Antaranya; kerjasama dengan Universiti Putra Malaysia - Bacelor Pentadbiran Perniagaan, Diploma Sains Kompuer dan Diploma Pengurusan Perniagaan, Universiti Utara Malaysia - Ijazah Sarjana Muda Multimedia, Ijazah Sarjana Muda Kewangan dan Diploma Kewangan & Perbankan, Universiti Kebangsaan Malaysia - Diploma Teknologi Maklumat, Universiti Teknologi Malaysia - Diploma Perakaunan, Universiti Sains Malaysia - Diploma Kejururawatan dan Universiti Teknologi Mara - Diploma Pengurusan Hotel dan Diploma Pengurusan Pelancongan.

Bagi anak yatim yang kurang cemerlang dalam akademik, mereka berpeluang meneruskan pengajian di IKB. Ia menjalankan program Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK) di bawah kelolaan Kementerian Sumber Manusia.

Walaupun masih belum dikenali di seluruh negara, Tengku Mahmud yang sebelum ini pernah memegang jawatan sebagai guru besar serta aktif berpolitik, meyakini pada akhirnya, dua pusat ini pasti mampu setanding dengan pusat pengajian tinggi awam peringkat profesional dan antarabangsa. Selaras dengan cogankatanya iaitu, 'Kebajikan Anak Yatim Tanggungjawab Bersama'.

Pada masa sama, pelbagai strategi telah dirangka oleh pihak pengurusan bagi meningkatkan keberkesanan pengajaran dan keefisienan pentadbiran bagi merealisasikan hasrat menjadi kolej universiti dan melahirkan lepasan pelajar yang berkualiti serta berdaya saing

"Turut ditekankan juga aspek pembangunan sahsiah pelajar terutama dari segi persatuan pelajar dan ko-kurikulum bagi melahirkan pelajar yang seimbang dari segi akademik dan pembangunan peribadi. Seperkara yang nyata tentang anak-anak yatim ini mereka ini tinggi perasaan rendah diri.

"Sebab itulah perlunya mereka diberi lebih pendedahan menerusi pelbagai aktiviti berpersatuan serta disediakan dengan kursus-kursus motivasi, lebih elok lagi yang diturunkan oleh bekas-bekas pelajar.

"Secara tidak langsung, kata-kata mereka ini menjadi pembakar semangat, sekali gus menjadi role model, mentor dan seterusnya idola pelajar," akui Tengku Mahmud antara cabaran melaksanakan amanah Allah selain kekangan kewangan.

Menyentuh konsep wakaf kata beliau, Maidam telah meluluskan penjualan tapak KTB seluas 128 hektar dengan kadar RM30 bagi 1/10 meter persegi (RM30 sekaki persegi) untuk diwakafkan dan kini dibuka kepada seluruh masyarakat Islam di negara ini.

"Peyatim dijangka mengutip kira-kira RM300 juta jika semua 128 hektar tapak yang diwakafkan itu dibeli dan ia dapat digunakan untuk membangunkan KTB sebagai universiti dalam tempoh lima tahun akan datang serta menempatkan 5,000 pelajar," ujar Pengerusi Eksekutif KTB.

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dijangka akan melancarkan konsep wakaf ini dalam masa terdekat.

Tengku Mahmud juga berkata, Peyatim juga telah melantik ejen bertauliah di seluruh negara untuk tujuan itu. Orang ramai juga boleh melayari laman web www.waqafktb.org atau email waqafkat@gmail.com untuk maklumat lanjut.

Orang ramai juga berpeluang mengikuti wakaf yang dikenali Wakaf Batu-Bata dengan pergi ke mana-mana cawangan Agro Bank. Wakaf ini telah bermula sejak 2001 dan sehingga Disember 2009, sejumlah hampir RM400,000 berjaya dikumpul.

Mulai pengambilan pertama Januari ini, KTB akan menerima pelajar luar negara termasuk; Nigeria, Indonesia dan Palestin yang sebelum ini hanya dibuka kepada pelajar negara ini.

"Peyatim berharap masyarakat yang prihatin dengan nasib dan tanggungjawab sesama Muslim sama-sama meneruskan usaha murni menjaga kebajikan anak-anak yatim," kata beliau.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
1 Comments
  • Tanpa Nama
    Tanpa Nama Rabu, 14 September 2011 pada 11:43:00 PTG SGT

    Satu usaha yg bijak dan ianya memberi peluang kepada perseorangan utk menyumbang kepada pendidikan anak yatim dan anak kurang mampu, sambil menjadi pemilik kepada sebuah institusi pendidikan yg semestinya dikekalkan kewujudannya sehingga bila-bila. Syabas. Diharap org Melayu akan mengambil peluang ini.
    Razali Wahab Sbubang Jaya

Add Comment
comment url