Semarak Melayu

OLeh Aznil Nawawi

ASSALAMUALAIKUM.

Terima kasih kepada pembaca yang memberi komen jujur dan bernas selepas mereka membaca Borak Paknil setiap Ahad. Bertambah teruja Paknil ingin berkongsi cerita dan pendapat setiap kali Paknil siapkan artikel untuk Selebriti Metro Ahad. Seronok bila tahu tulisan Paknil tidak dipinggirkan.

Beberapa perkara berlaku sepanjang minggu ini dan Paknil rasa terhutang pula jika Paknil lengahkan. Yalah, pada usia 48 tahun ini, kalau ditangguh, lupa pula kesudahannya nanti! Jadi minggu ini Paknil akan buat sedikit kelainan. Paknil cuba beri tumpuan kepada lebih daripada satu perkara dalam ruangan ini.

Bermula dengan apa yang berlaku hujung minggu lalu, Paknil berkesempatan ke Bali bagi menghadiri sesi ‘perah otak’ yang dianjurkan radio tempat Paknil bekerja. Paknil sedikit teruja dengan perjalanan ini, apa lagi bila banyak cerita kehebatan pulau ini yang Paknil dengar! Yang ingin Paknil kongsi di sini bukan cerita ulangan mengenai kehebatan pulau itu, tetapi populariti siri animasi Upin dan Ipin. Paknil diberitahu yang Upin dan Ipin ditayangkan di saluran Televisi Pendidikan Indonesia setiap Isnin hingga Sabtu.

Kerap di mana-mana tempat Paknil singgah, pasti ada yang bertanyakan Upin dan Ipin. Ada yang cuba bercakap ala-ala dua karektor ini bercakap. “Betul! betul! betul!”. Pada hal jika dilihat daripada pertuturan mereka, seharusnya ia berbunyi “Benar! benar! benar!” Daripada sini, Paknil lihat yang mereka mula mengguna pakai bahasa Melayu kita dengan sebutannya sekali. Untuk rekod, sebenarnya kartun ini tidak melalui proses alihan suara dan masih menggunakan versi asal, cuma dibantu dengan sarikata bahasa Indonesia.

Maka kini, penonton Indonesia dari sekecil-kecil penonton hinggalah dewasa teruja bercakap dalam bahasa Melayu kita. Contohnya perkataan ‘opah’ yang menjadi pengganti perkataan ‘kakek’. Begitu juga gelaran ‘Kak Ros’ yang seharusnya mereka sebut ‘Embak Ros’.

Bangga juga jadi rakyat Malaysia ketika mereka memuji-muji produksi Les Copaque ini kerana animasi ini masih mengekalkan nilai moral dan agama dalam penceritaan mereka. Paknil petik ulasan daripada apa yang Paknil baca mengenai Upin dan Ipin.

“Dengan bahasa Melayunya serta ‘keluguan’ khas anak-anak, Upin & Ipin dan kawannya menyampaikan beragam cerita yang ada di kehidupan sehari-hari secara ringan sehingga mudah ditangkap oleh anak-anak. Banyak ilmu agama dan pembelajaran yang sarat dengan pesan moral mengenai sikap dan perilaku sehingga patut menjadi contoh bagi ‘pemirsa’, khususnya anak,” “Selain sarat akan nilai pendidikan dan budi pekerti yang patut diserap anak-anak di tengah kisahnya yang menghibur, teknologi animasi yang lebih berwarna dan halus juga menjadi keunggulan dari tayangan berdurasi 30 hingga 60 menit ini. Diharap kehadiran siri kartun Upin & Ipin dan kawan ini dapat menjadi pilihan tontonan keluarga Indonesia yang dapat mencerdaskan, sekali gus mencerahkan.” Tentunya bila ada yang mengetahui Paknil dari Malaysia, ramai bertanya bila agaknya Upin dan Ipin akan bertandang ke negara mereka untuk promosi. Paknil rasa ini adalah masa paling sesuai untuk pengurusan Upin dan Ipin berkunjung ke sana.

Pada ketika hubungan Malaysia-Indonesia tegang dengan pelbagai isu, mungkin si comel Upin dan Ipin dapat menyatukan kita semula.

Dalam keghairahan bercerita pasal Upin dan Ipin, tiba-tiba nama Ayah Pin pula yang terselit dalam perbualan kami. Rupanya, ada juga antara warga Bali mengaku mereka beragama ‘Ayah Pin’. Alamak, siapa nak jawab tu? Cabut! Daripada cerita yang membanggakan kita, Paknil ingin menarik perhatian pula kepada cerita yang menyayat hati. Bertitik tolak daripada segmen Merisik Khabar di Riuh Pagi Era, Isnin lalu, Paknil dikejutkan dengan pengadu berusia 21 tahun yang menghantarkan SMS mengenai dirinya yang ditinggalkan kekasih setelah kemalangan.

Ketika Paknil menghubunginya, Muhd Saiful Rizwan memberitahu, dia mengalami kecacatan kekal pada wajahnya. Daging betisnya diambil untuk menggantikan bibir dan dagunya yang hancur. Dua tulang rusuk kanan dan dua tulang rusuk kirinya patah. Lebih parah apabila limpanya turut dibuang! Kini dengan kecacatan kekal ini, kehidupan Saiful tidak seperti dulu. Lebih teruk apabila kekasih hatinya pula beralih arah kepada kawan Saiful. Dengan kehilangan tempat sandaran harapan, Saiful mengalihkan sumber kekuatannya pada Paknil pula.

Paknil rasa terharu kerana kepercayaan pada Paknil oleh pendengar Era rupa-rupanya melangkaui sangkaan batas kemampuan Paknil. Tidak pernah Paknil fikir yang Paknil boleh menjadi sumber kekuatan baru bagi seorang yang tidak mahu meneruskan kehidupan lagi.

Kata Saiful: “Kalau Saiful nak jumpa Paknil, boleh tak? Saiful nak dapatkan kekuatan Saiful baliklah, Paknil.” Tanpa melengahkan masa, Paknil bersama beberapa kakitangan Era berkunjung ke rumah Saiful di Shah Alam. Sepanjang perjalanan ke sana Paknil tak putus-putus berdoa semoga dilancarkan mulut ini oleh Allah supaya dapat menaikkan semangat Saiful dan cepat meninggalkan episod luka ini lalu bangun menghadap hari muka.

Sedia menanti ialah Saiful yang menyorokkan wajahnya di sebalik topeng mulut dan hidung. Bila Paknil minta Saiful buka topeng, Saiful akur walau ada riak keberatan.

Ya Allah! Besar dugaan yang Kau berikan pada Saiful dan keluarganya dan aku yakin Kau mempunyai sebab terbaik kenapa Kau memilih untuk menduga remaja ini.

Paknil bersyukur kerana Saiful menghubungi Paknil kerana menurut ibunya, tindakan Saiful setiap kali melepas geram seperti ingin meragut nyawa sendiri. Hampir dua jam Paknil menyelam hatinya dan akhirnya Paknil ditunjukkan dengan sajak karangan Saiful sebagai saluran untuknya melepas geram. Sangat menarik! “Jiwang juga mamat ni,” bisik Paknil.

Ketika itu bermulalah episod baru dalam hidup Saiful apabila Paknil dan Era mendapat idea untuk menghubungi komposer terkenal Ajai. Ajai akhirnya bersetuju menyerahkan melodi ciptaannya supaya Saiful boleh curahkan kehebatannya menulis lirik.

Kita nantikan episod terbaru cerita luka Saiful untuk kita sama-sama belajar erti bangun selepas jatuh! Lupakan seketika cerita duka Saiful kerana Paknil ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada penyokong Paknil. Sekali lagi mereka meletakkan Paknil bersama barisan calon Top 5 yang lain dalam kategori Penyampai Radio Lelaki Popular dan Pengacara TV Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009.

Tentu Paknil sangat menghargai kepercayaan ini dan Paknil rasa tidak terbalas budi baik mereka. Terbayang di mata Paknil bagaimana penyokong Paknil membeli akhbar Berita Harian, memangkah, menggunting keratan borang dan mengirimkannya ke Berita Harian.

Paknil bagaikan terlihat kesusahan mereka melakukan rutin itu setiap kali tiba musim mengundi ABPBH dan sekali lagi tahun ini ia berulang. Kini kaedah mengundi ditambah lagi dengan cara SMS. Ditanya wartawan akan rahsia Paknil sekali lagi tercalon ke peringkat akhir ini, Paknil kata sukar untuk menilai diri sendiri.

Wassalam.

- METRO AHAD
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url