Sindrom prahaid boleh diatasi
Usah nak ambil pekerja wanita. Mereka banyak ambil cuti sakit. Datang haid pun pelbagai masalah yang dihadapi. Ini menyusahkan pekerja yang lain. Jadual kerja terpaksa disusun semula," keluh seorang majikan lelaki. Benarkah perkara ini berlaku?
Kedatangan haid setiap bulan adalah semula jadi dalam kehidupan seorang wanita normal. Ia tidak sewajarnya menjadi perkara yang membelenggu diri dengan pegangan tafsiran fikiran yang sempit mahupun bersikap negatif.
Namun, tidak dinafikan keadaan ini menyebabkan jadual seharian terganggu. Setiap wanita juga sepatutnya membuang tanggapan kedatangan haid setiap bulan sesuatu yang membebankan atau menyusahkan, sebaliknya perlu menerima kenyataan bahawa haid adalah sebahagian daripada kehidupan wanita dan perlu melalui semua itu.
Paling penting, elakkan diri atau cuba atasi dengan baik masalah premenstrual syndrome (PMS) atau sindrom prahaid yang dialami. Ini kerana PMS bukanlah penyakit, tetapi lebih kepada bagaimana wanita itu mengendalikan perasaan dan dirinya sendiri.
Pada masa sama, wanita perlu mengamalkan kaedah perlindungan kebersihan yang baik kerana ia penting bagi membentuk keyakinan, keceriaan dan kebebasan untuk melakukan apa yang mereka ingin ketika haid.
Hakikatnya, wanita dapat memperbaiki kehidupannya dan lebih berkeyakinan jika mengamalkan penjagaan kesihatan serta kebersihan yang betul. Di samping itu, mereka perlu mengekalkan emosi yang seimbang ketika kedatangan haid.
Kajian baru-baru ini di Australia, Hong Kong, Pakistan dan Thailand, mendapati bahawa satu dalam lima wanita menghidap PMS. Angka ini berbeza agak banyak dari satu negara ke negara lain dengan kelaziman tertinggi diperhatikan di Australia (43 peratus) dan yang terendah di Pakistan (13 peratus). Kajian itu juga menunjukkan bahawa sehingga 4 peratus wanita menghidap jenis PMS yang lebih teruk, dipanggil kecelaruan disforik prahaid (premenstrual dysphoric disorder, PMDD).
Kajian tersebut dijalankan dengan penyertaan 1,602 wanita berumur antara 15 dan 49 tahun di Australia, Hong Kong, Pakistan dan Thailand, merupakan yang pertama menentukan kelaziman PMS dan PMDD di Asia Pasifik.
PMS adalah suatu kecelaruan biasa yang dikaitkan dengan perubahan hormon akibat kitaran haid dan menjejaskan wanita pada usia biak mereka, lazimnya berumur antara 25 dan 352. Bagi ramai wanita simptom PMS biasa yang dialami tujuh hingga 10 hari sebelum haid termasuk sakit kepala, kekejangan abdomen, lesu, kembung, mengidam makanan, selera bertambah dan gangguan tidur. Sesetengah wanita juga mengalami simptom emosi seperti perubahan perasaan, keresahan dan kemurungan. PMS, dalam bentuknya yang lebih teruk, dipanggil PMDD, dan boleh menjadi cukup serius untuk memberi kesan negatif kepada perhubungan seorang wanita, aktiviti sosial dan produktiviti kerjanya.
Mengulas bahawa PMS adalah suatu keadaan perubatan biasa yang dihidap oleh jutaan wanita di seluruh dunia ketiga termasuk Malaysia, pakar obstetrik dan ginekologi, Profesor Jamiyah Hassan, berkata, apabila simptom-simptom ini menjadi cukup teruk sehingga menghalang aktiviti harian seorang wanita atau mempunyai kesan mudarat terhadap pandangan dan perhubungan hidupnya, mereka perlu mendapatkan bantuan perubatan.
Malangnya, kebanyakan wanita seperti ini menderita dalam senyap setiap bulan dan tidak berjumpa doktor untuk mengurus simptom itu dengan lebih baik.
Apa pandangan
pakar
"Kajian menunjukkan bahawa PMS menjejaskan wanita dalam prestasi kerja, pengurusan rumah serta perhubungan dengan keluarga dan pasangan mereka.
"Dan 63 peratus penghidap PMS tidak pernah berjumpa doktor untuk simptom mereka, manakala 44 peratus penghidap PMDD tidak pernah langsung berbuat demikian," katanya pada majlis pelancaran YAZ oleh Bayer Schering Pharma.
Ia merupakan satu lagi inovasi kontraseptif pertama dan tunggal yang terbukti secara klinikal boleh mengurangkan sindrom prahaid kedua.
Tambah Prof Jamiyah, ramai wanita di Asia Pasifik percaya bahawa PMS adalah pelopor 'normal' bagi haid, atau ia hanya suatu perkara yang mesti bagi seorang wanita.
Ini suatu persepsi yang sangat merosakkan kerana ia menghalang wanita daripada mencari dan mendapatkan kelegaan untuk ketegangan yang dialami.
"Kini, pengurusan PMS atau PMDD sepatutnya lebih daripada kelegaan sementara simptom itu sahaja kerana wanita moden yang aktif ingin menikmati kebebasan untuk menjadi diri mereka setiap hari dalam setiap bulan.
Sebagai pakar penjagaan kesihatan profesional, kami mengalu-alukan pilihan baru yang boleh membebaskan pesakit daripada simptom PMS dan PMDD yang menyedihkan itu supaya mereka boleh menikmati kualiti hidup yang lebih baik," tambah beliau.
Dalam pada itu, pengenalan YAZ dijangka memberi kelegaan kepada wanita Malaysia yang menghidap simptom prahaid fizikal dan emosi yang teruk setiap bulan.
YAZ diluluskan di Malaysia sebagai suatu kontraseptif oral, untuk merawat simptom emosi dan fizikal akibat kecelaruan disforik prahaid (premenstrual dysphoric disorder) sesuai dengan gaya hidup wanita moden.
Sementara itu, Profesor Lee P. Shulman dari Sekolah Perubatan Feinberg, Universiti Northwestern di Chicago, berkata, dengan pil hormon aktif baru itu, terdapat pengurangan turun naik paras hormon sepanjang kitaran bulanan wanita yang boleh membantu mengurangkan simptom berkaitan dengan PMS teruk sehingga 50 peratus.
"Dengan kemajuan dalam rawatan PMS dan PMDD, wanita perlu berjumpa pakar perubatan profesional mereka bagi menilai pilihan terbaik untuk merawat simptom prahaid mereka supaya mereka boleh menikmati kualiti hidup yang lebih baik," ujar beliau.
- UTUSAN