SPR ganti undi pos
Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, berkata pihaknya sedang mengkaji kedua-dua sistem itu yang kini dilaksana di beberapa negara, termasuk Thailand dan Indonesia.
Katanya, fokus utama SPR adalah untuk menggantikan undi pos dengan menambah bilangan pengundi yang layak untuk mengundi awal.
"Hakikatnya, pada hari pilihan raya diadakan, tidak semua pengundi berdaftar yang dapat membuang undi kerana terikat dengan komitmen lain seperti bertugas pada hari itu dan sebagainya," katanya.
Wan Ahmad berkata, mereka mempunyai hak di sisi Perlembagaan dan adalah menjadi tanggungjawab SPR untuk mencari jalan bagi membolehkan setiap rakyat mengundi.
Wan Ahmad dan beberapa pegawai SPR melawat Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand akhir tahun lalu bagi mempelajari dan mengkaji proses pengundian awal yang digunakan negara itu serta undang-undang berkaitan.
"Tujuan lawatan saya ialah untuk mempelajari dan mengkaji peraturan dan perundangan berhubung proses pengundian awal di Thailand kerana negara itu berjaya mengendalikan sistem berkenaan dengan cukup baik," katanya.
Beliau berkata, SPR akan mengemukakan cadangan sistem itu kepada kerajaan selepas dipersetujui di peringkat suruhanjaya.
Selain menukar nama pengundian pos kepada pengundian awal, katanya, SPR juga akan cuba mengesyorkan kemasukan pengundi kategori lain bagi mereka yang layak melakukan pengundian awal seperti wartawan, doktor, jururawat, juruterbang dan pramugari
Pada masa ini, mereka yang layak mengundi secara pos ialah anggota polis dan pasangan, anggota tentera dan pasangan, pelajar dan pegawai kerajaan yang berada di luar negara.
Pada pilihan raya umum 2007 di Thailand, hampir tiga juta daripada 45 juta pengundi berdaftarnya mengundi awal pada dua hari yang ditetapkan.
Mengikut peraturan pilihan raya negara itu, semua pengundi berdaftar layak mengundi awal, terutamanya mereka yang mendaftar di wilayah lain tetapi tidak dapat pulang pada pilihan raya umum dan mahu mengundi awal di tempat mereka bekerja atau bermastautin.
Wan Ahmad berkata, SPR juga sedang mengkaji cadangan untuk menetapkan dua hari sebagai tempoh bertenang tanpa sebarang kempen pada sesuatu pilihan raya.
Walaupun peraturan sekarang menetapkan kempen pilihan raya perlu tamat menjelang tengah malam sebelum hari pengundian, beliau berkata, budaya politik yang diamalkan di negara ini tidak menghormati peraturan itu.
- BERNAMA